JAKARTA, 18 Mac — Seorang pembantu rapat Noordin M Top, yang dituduh pengganas mati ditembak tahun lalu, memberitahu mahkamah bahawa pengeboman dua hotel di sini Julai lalu sebenarnya digerakkan oleh rangkaian al Qaeda, bukannya Jemaah Islamiah (JI) yang disangka ramai selama ini.
Amir Abdillah, yang memandu kereta dinaiki penyelaras serangan ketika hari pengeboman ke atas hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton pada 17 Julai menyatakan demikian semalam.
Defendan bersama ini memberi keterangan di Mahkamah Daerah Selatan Jakarta.
“Pengeboman dijalankan oleh sebuah organisasi di bawah rangkaian al Qaeda,” kata Amir ketika menjawab soalan panel hakim.
Apabila mereka bertanya sama ada kumpulan itu JI, Amir menjawab: “Tidak, ia al Qaeda.”
Bagaimanapun dia tidak memberi butiran lanjut.
Kemudian Amir hanya menjawab “saya tidak tahu” bagi kebanyakan soal yang dikemukakan kepadanya termasuk berhubung soalan sama ada kumpulan itu ada hubungan dengan suspek pengganas utama Hambali ataupun Abu Bakar Bashir yang didakwa oleh beberapa pihak sebagai pemimpin JI.
Hambali kini berada di bawah pengawasan Amerika Syarikat.
Amir, 34, berkata dia bekerja di Hotel Mulia di Jakarta Selatan antara 1999 dan 2007, tempoh di mana dia berkenalan dengan Noordin.
Dia diambil menyertai kumpulan itu oleh Saefudin Zuhri, yang menurut polis merupakan penyelaras lapangan serangan pada hari kejadian.
Saefudin juga merupakan individu yang mengarahkan pengebom berani mati dan mengaktifkan serangan dengan menggunakan telefon bimbit dari kereta yang dipandu Amir.
Saefudin terbunuh dalam operasi polis dua bulan selepas pengeboman itu.
“Saya memandu kereta. Dia (Saefudin) menggunakan satu telefon bimbit dengan menggunakan sistem 3G. Saya mendengar perkataan 'sedikit lagi sahaja', kemudian dia menjerit ‘Allahuakbar’ dan menangis,” kata Amir.
Amir memberitahu dia mengenali Saefudin pada 2005.
Ketika ditanya sebab dia bersetuju untuk menyertai kumpulan Noordin, Amir menjawab: “Jihad.”
Noordin terbunuh dalam serbuan polis kira-kira tiga bulan selepas serangan ke atas kedua-dua hotel berkenaan.
Menjawab soal tentang perasaannya mengenai serangan itu, Amir berkata dia menyokong penuh tindakan mereka.
“Tidakkah anda rasa kesal? tanya Hakim Haswandi.
“Saya kesal selepas saya ditahan,” kata Amir lagi.
Hakim juga bertanya mengenai sebahagian rakaman video yang menunjukkan persiapan mereka untuk mengadakan serangan, yang turut menunjukkan satu kotak makanan segera restoran KFC.
“Anda berkata anda membenci orang Amerika tetapi anda makan Kentucky?” soal hakim itu dengan berseloroh.
Amir berkata, dia tidak tahu apa-apa tentang kotak makanan segera itu.
Amir hadir di mahkamah sebagai saksi dalam perbicaraan kes Aris Susanto yang dituduh membantu Noordin sebelum dan selepas serangan ketika rakyat Malaysia itu bersembunyi di Solo.
Selain peranannya dalam pengeboman hotel-hotel itu, bulan lalu Amir didakwa bersubahat dalam usaha mahu membunuh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Dia didakwa ditugaskan oleh kumpulan itu supaya menyelidik laluan digunakan kereta presiden dari Cikeas, kediaman peribadi Susilo dekat Bogor ke Istana Presiden.
Amir didakwa membantu kumpulannya mendapatkan rumah persinggahan dekat dengan Cikeas dan menyediakan bahan letupan untuk serangan tersebut.
Susilo menjadi sasaran mereka kerana “beliau telah memberikan restu dan bertanggungjawab ke atas pelaksanaan hukuman mati terhadap pengebom-pengebom Bali 2002.”
Letupan itu telah mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan 50 lagi, termasuk 18 rakyat asing.
Wujud beberapa spekulasi yang mengatakan kumpulan militan JI yang pernah melakukan serangan seumpama itu di Indonesia termasuk letupan bom di Marriot pada 2003 yang bertanggungjawab dalam kejadian hari ini.
Serangan letupan bom itu berlaku selang dua minit antara satu sama lain pada 7.45 pagi dan 7.47 pagi waktu Indonesia Barat, 17 Julai lalu.
Komen Blog Ibnu Hasyim: Mereka yang tertuduh dibawa ke pembicaraan di mahkamah terbuka, bukan ISA tanpa bicara seperti di Malaysia. Maka tiada sebab ISA mesti dikekalkan di negara demokrasi tiruan ini. (AK)
No comments:
Post a Comment