Tuesday, March 23, 2010

Guan Eng Rasmi Makmal Sains Pertama SAR

PERMATANG PAUH, 23 Mac: Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah merasmikan makmal sains pertama sekolah agama rakyat (SAR) di Pulau Pinang, kelmarin.

Sekolah agama rakyat, Madrasah Al-Aminiah yang terletak di jalan Permatang Nibong-Permatang Pauh merupakan antara beberapa buah sekolah agama rakyat yang telah menerima bantuan kerajaan negeri.

“Kita percaya dan yakin bantuan yang diberikan kepada sekolah agama rakyat digunakan dengan telus, dan kita juga percaya ianya digunakan tanpa sebarang kebocoran.

“Maka kerana itu kita memberi bantuan dan ini adalah bantuan pertama seumpamanya kerajaan negeri kepada sekolah agama rakyat,” kata Guan Eng.

Beliau turut memetik ungkapan daripada Khalifah Umar Abdul Aziz: “Ilmu adalah pakaian jasad orang kaya, penolong bagi orang fakir, bukan aku menyatakan bahawa ilmu untuk mencari kekayaan tetapi untuk kenaan, panduan bagi orang miskin”.

Sementara itu, Ustaz Salleh Man selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri (MAIPP) turut merasa bangga kerana selama ini bantuan ke sekolah agama rakyat disekat. Malah, katanya sekolah-sekolah agama terpaksa melancarkan kempen derma bagi menampung keperluan pembelajaran anak-anak yang belajar di sekolah berkenaan.

Kini, tambahnya kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat telah memberi bantuan kepada semua sekolah agama bagi meningkatkan kemudahan dan keperluan untuk pembelajaran di sekolah-sekolah agama. (AK)

No comments:

Post a Comment