Saturday, March 27, 2010

Judi: MPSJ, TNB & SYABAS, Tahniah & Syabas!!

RAMPAS...antara mesin judi yang dirampas MPSJ dalam serbuan  baru-baru ini.
Antara mesin judi yang dirampas MPSJ dalam serbuan.

myMetro Online, MAC27,10: Potong elektrik kafe siber judi

KUALA LUMPUR: Pemilik kafe siber yang menyalahgunakan premis mereka untuk kegiatan judi diberi amaran keras supaya tidak mengulangi kegiatan mereka atau berdepan bekalan elektrik dipotong.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pemilik yang masih berdegil walaupun pernah dikenakan denda sebelum ini.

“Kami akan meningkatkan kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menanggalkan meter elektrik premis masing-masing dan seterusnya dalam kerjasama dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) supaya bekalan air premis dipotong.

“Tindakan ini dilakukan kerana tidak mahu memberi peluang kepada premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram tumbuh kembali,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini, MPSJ menghapuskan kegiatan seumpama itu dan akan memastikan ia terus berkubur melalui operasi bersepadu.

Adnan berkata, pihaknya sentiasa memantau setiap kawasan dengan menjalankan operasi berterusan dan akan terus ke lokasi yang dilaporkan serta-merta jika menerima aduan.

“Kami mempunyai lebih 200 pegawai yang sentiasa memantau seluruh Subang Jaya, malah mereka juga ditempatkan bergilir-gilir 24 jam mengikut sesi atau syif.

“MPSJ turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi membanteras kegiatan haram ini selain meminta Jawatan Kuasa Penduduk (JKP) membantu menyalurkan maklumat jika terdapat operasi kafe siber yang mencurigakan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 99 pusat siber tanpa lesen di Subang Jaya diserbu dan hampir keseluruhannya menjalankan kegiatan judi haram dari Januari hingga Februari lalu. Daripada jumlah berkenaan 1,060 sitaan dilakukan pihaknya memerlukan kerjasama orang ramai untuk membantu membasmi kegiatan kafe siber yang menjadi tempat perjudian haram.

Manakala, Rabu lalu enam premis di USJ 21 dan USJ 1 diserbu MPSJ dalam operasi bersepadu membabitkan 25 anggota penguatkuasa MPSJ yang diketuai Pengarahnya, Mohd Zulkarnain Che Ali.

Sebanyak 109 mesin perjudian dari enam premis berkenaan disita dan semua premis dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 termasuk pemotongan bekalan elektrik.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tahniah MPSJ, TNB, dan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) bekerjasama dalam membanteras kegiatan judi haram. Suatu tugas mulia yang patut dijadikan contoh untuk jabatan atau perbadanan lain, walaupun masih ada judi yang halalnya (dari sudut undang-undang negara, bukan hukum agama.) Tahniah dan syabas!! (2MA)

No comments:

Post a Comment