KOTA BARU, 6 Mac — Kerajaan negeri membenarkan Konsert Jom Heboh anjuran TV3 diadakan di Kelantan pada 26 dan 27 Mac ini sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, tetapi melarang penyanyi wanita membuat persembahan.
Kerajaan negeri juga menetapkan syarat supaya penonton diasingkan mengikut tiga kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata persetujuan kerajaan itu hasil perbincangan antara pihak Media Prima dan kerajaan negeri.
“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin menyambut ketibaan penumpang penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang murah Silver Fly, milik Berjaya Air dari Ipoh ke Kota Baru.
Beliau berkata keputusan kerajaan negeri menerima pertunjukan Konsert Jom Heboh TV3 itu mulai tahun ini menunjukkan kerajaan tidak mengharamkan hiburan sebaliknya mengawal pertunjukan hiburan mengikut enakmen hiburan yang diterima pakai di Kelantan.
Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri pernah menolak permohonan TV3 untuk menganjurkan Sure Heboh kerana ia bertentangan dengan konsert hiburan yang dikehendaki oleh Enakmen Hiburan di negeri ini.
“Tetapi setelah pihak berkenaan (TV3) memperakukan segala peraturan dan syarat-syarat pertunjukan itu, kerajaan negeri sedia menerima konsert itu tahun ini,” katanya.
Takiyuddin berkata pada konsert itu, pihak berkenaan akan mengadakan satu slot khas bercorak agama yang melibatkan penyertaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. — Bernama
Komen Blog Ibnu Hasyim: Hendak 1000 daya, tak nak 1000 dalih. PAS nak hiburan sesuai dengan Islam dengan pelbagai daya, BN tak nak hiburan menurut Islam dengan macam-macam dalih. Mana baik?
1 comment:
satu perubahan yang patut di contohi oleh negeri negeri lain..
Post a Comment