Wednesday, March 31, 2010

Pelakon Ditahan, Isteri Harap Suaminya Berubah.. Alhamdulillah.


HALAMAN HIBURAN
Cekup di restoran

AMPANG: Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak seminggu lalu, pelakon kacak Badrul Muhayat, 41, akhirnya berjaya diberkas ketika berada di sebuah restoran di Taman Nirwana, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, polis menahan pelakon terbabit kira-kira jam 11 malam ketika dia berseorangan di restoran berkenaan.

“Kita menerima panggilan daripada orang awam yang ternampak pelakon itu dalam restoran berkenaan.

“Berikutan itu, sepasukan polis bergegas ke restoran berkenaan dan pelakon terbabit yang ditahan ketika itu memberikan kerjasama baik,” katanya kepada Harian Metro di sini, tengah malam tadi.

Abd Jalil berkata, Badrul Muhayat atau nama penuhnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, kemudian dibawa ke balai dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan dalam dua kes iaitu ugutan dan memukul isterinya.

Harian Metro Isnin lalu melaporkan pelakon lelaki terbabit dikehendaki polis bagi membantu siasatan empat kes masing-masing dua jenayah ugutan dan dua kes pukul yang dilakukan terhadap isterinya, sekali gus memungkinkan dia bakal ditahan di mana-mana tempat. Malah, Badrul Muhayat boleh dianggap licik kerana setiap kali polis ke rumah untuk menahannya, pelakon terbabit seolah-olah dapat 'menghidu' kehadiran pihak berkuasa sebelum menghilangkan diri.

Bagaimanapun, selepas berita dia menjadi buruan polis tersebar, pelakon lelaki terbabit semakin susah untuk menyembunyikan diri dan akhirnya dia berjaya ditahan, malam tadi. Akhbar ini kelmarin turut melaporkan yang isteri pelakon itu, Julia Daud, 28, mengaku masih menyayangi Badrul walaupun dia dikatakan sering menjadi mangsa belasahan suaminya.

Julia berkata, dia tetap mengharapkan yang suaminya berubah menjadi seorang bapa yang baik demi masa depan dua anak mereka. Namun, wanita itu mendakwa dia terpaksa membuat laporan untuk menyedarkan suaminya mengenai sikap buruk yang perlu diubah selain lebih bertanggungjawab terhadap kedua-dua anaknya, Siti Norbatrisyia, 2, dan Rohidayat, berusia dua bulan.

Julia berkata, dia tidak pernah berniat mengaibkan suaminya dengan mendedahkan perkara itu, namun tidak mampu menanggung derita sendirian apabila dibelasah lelaki terbabit, baru-baru ini. Badrul sebelum ini dikatakan memukul isterinya yang masih dalam pantang selepas wanita terbabit bertanya mengenai hubungannya dengan seorang wanita. Isterinya kemudian dibantu beberapa jiran yang membawanya ke hospital dan juga balai polis untuk membuat laporan.

Selain kes terbaru itu, Harian Metro turut pernah melaporkan kes membabitkan pelakon terbabit yang berlaku dua tahun lalu apabila dia didakwa pernah mengugut membunuh dan mencederakan isterinya. (myMetro/AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Moga-moga harapan isteri terkabul. alhamdulillah.

Bekas jaguh bina badan, Abdul Malek Noor berkata sesuatu kepada ratu rock, Ella selepas majlis penganugerahan darjah kebesaran negeri Pahang sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, di Pekan, 30 Mac. Malek menerima pingat DIMP yang membawa gelaran Datuk manakala Ella menerima pingat SMP. - Utusan/MAHATHIR ALI

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails