Wednesday, March 17, 2010

Pemberimilikan Tanah: Orang Asli Bantah.




Hari ini, mereka bantah di Putrajaya.

PUTRAJAYA 17Mac10: LEBIH 2,000 Orang Asli kini di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri berhubung dasar pemberimilikan tanah. Bagaimanapun kehadiran sesetengah mereka sejak jam 12.45 tengah hari tadi, dengan beberapa bas telah dilencongkan oleh pihak polis ke sebuah auditorium di kompleks Jabatan Perdana Menteri.

Kira-kira seribu daripada mereka disuruh berdialog dengan menteri yang berkaitan, Datuk Seri Shafie Apdal di auditorium itu. Kira-kira seribu lagi kini berada di persiaran di hadapan pejabat Perdana Menteri bersedia untuk berarak bagi menyampaikan memorandum berkenaan. Mereka bersiap sedia untuk berarak tetapi dihalang berbuat demikian oleh anggota polis yang bertugas sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun setelah perbinacngan kira-kira 15 minit, pihak polis memberi jaminan untuk membenarkan lima orang wakil Orang Asli untuk menghantar memorandum berkenaan. Keputusan itu disambut dengan pekikan "boo" oleh Orang Asli. Polis juga meminta Orang Asli supaya tidak berarak dan mempamerkan kain rentang serta sepanduk mereka.

Kumpulan itu bagaimanapun akur untuk tidak menghalang laluan ke JPM dan berkumpul di bahu jalan. Pada perhimpunan ini, orang Asli membawa sepanduk dan kain rentang yang antaranya berbunyi “ Hak Kami Selaku Orang Asal Perlu dihormati”, “ Jangan Hapuskan Akta Kami” dan “Iktirafkan Wilayah Adat Kami”.

Ada juga Orang Asli yang memakai pakaian tradisional mereka. Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjug Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak. Seorang koordinator POASM, Jenita Engi berkata, perhimpunan itu adalah untuk menyuarakan bantahan kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung kandungan dasar berkenaan memandangkan rundingan dengan JHEOA awal bulan ini, gagal membuahkan hasil.

Dasar tanah tersebut disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun ini sebagai cadangan pindaan Akta 134 Kanun Tanah Negara. Perhimpunan hari ini adalah perhimpunan kedua seumpamanya, selepas mereka mengadakan satu demonstrasi di hadapan pejabat JHEOA di Gombak pada 24 Februari lalu. Kira-kira 2.30 petang, mereka berjaya menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri yang diterima oleh pegawai tugas-tugasnya, Datuk Ghazali Ibrahim.

Memorandum tersebut diserah oleh presiden POASM, Majid Sujud. Kemudian kedengaran tepukan gemuruh mereka yang hadir selepas dimaklumkan bahawa memorandum tersebut telah berjaya diserahkan. Lima minit kemudian satu lagi memorandum diserahkan kepada Shafie oleh penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak, Tijah Yak Chopil.

Memorandum itu, pada umumnya, menuntut supaya dasar pemberimilikan tanah Orang Asli dimansuhkan. Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Tijah berkata, memorandum yang diserahkan Majid itu adalah yang sama yang dihantar kepada perdana menteri pada 9 Disember berhubung pelantikan senator dari kalangan Orang Asli.

Manakala Shafie pula, ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan hari ini, sambil tersenyum berkata, mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan 'kita juga bagi mereka makan-makan.'(Malaysiakini/AK)

2 comments:

  1. Kezaliman BN/UMNO sudah merata...sampai Orang Asli pun tahu.

    Kita?

    Hiduplah prihatin & membela orang lain supaya hidup ini lebih gemilang bersama2...

    ReplyDelete
  2. memorandum mengenai cadangan: Meminda perkara 45(2), perkara 153, perkara 160(2), dan senarai bersama jadual 9, perlembagaan malaysia Meminda akta Orang Asli (akta 134); dan Mengusul penggubalan akta perizaban Orang Asli. dikemukakan kepada YB Dato Seri Abdul Aziz bin Shamsuddin, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, 7 Ogos 2005 oleh POASM

    ReplyDelete