Sunday, March 07, 2010

P/Hiburan: Artis Terkenal Dalang Tak Bermoral. Siapa?

HALAMAN HIBURAN
Berpeluk dalam khayal


KL:Ahad, 07 Mac 2010 myMetro: Berpeluk Dalam Khayal.


Penahanan lebih 20 pasangan kekasih beragama Islam dalam keadaan khayal serta berpelukan dan melakukan mukadimah zina ketika serbuan pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan eksklusif dekat sini, membongkar pembabitan seorang artis terkenal yang dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan tidak bermoral di situ.

Menurut sumber Jais, serbuan mengejut itu menyebabkan sebahagian pengunjung beragama Islam bertempiaran lari menggunakan pintu belakang bagi mengelak ditahan kira-kira 20 anggota penguat kuasa. “Bagi pengunjung wanita yang khayal dan mabuk, mereka bukan saja ‘merapu’ apabila ditanya, malah bertindak berani dan cuba menggoda penguat kuasa yang menjalankan siasatan,” katanya.

Menurutnya, artis wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai ‘mengalibabakan’ nama rakannya bagi mengelak pihak berkuasa mengesan pembabitannya dengan pusat hiburan berkenaan yang menawarkan suasana romantik bagi pasangan kekasih selain menyediakan pelbagai jenis minuman keras berjenama terkenal.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan kekasih beragama Islam menari dan berpelukan dalam keadaan khayal, dipercayai di bawah pengaruh minuman keras. Kebanyakan pengunjung wanita pula berpakaian seksi sehingga menampakkan bahagian dada dan bawah tubuh.

“Hasil serbuan, 55 pengunjung beragama Islam diberikan kaunseling oleh penguat kuasa walaupun mereka negatif ujian alkohol yang dijalankan.

“Lebih 30 pengunjung lelaki dan wanita pula diambil keterangan dan diarah hadir ke pejabat Jais selepas didapati minum minuman keras,” kata sumber itu.

Menurutnya, Jais menerima aduan mengenai pusat hiburan dipercayai milik artis terbabit menjadi tumpuan pasangan kekasih beragama Islam melakukan kegiatan tidak bermoral, termasuk menari sehingga mabuk.

“Cuba bayangkan, apabila sudah mabuk, pasangan kekasih beragama Islam ini tidak sedar mereka melakukan pelukan ghairah.

“Dalam keadaan suasana lampu yang samar pada pagi itu, pengunjung yang berpakaian seksi sehingga menampakkan bahagian dada, tidak segan silu bercumbu dan berpelukan dan boleh dianggap sebagai mukadimah zina,” katanya yang tidak menolak kemungkinan ada pengunjung menggunakan dadah bagi mendapatkan kesan khayal berlebihan.

Beliau berkata, Jais melakukan serbuan itu hasil siasatan dan risikan selepas menerima aduan mengenai kegiatan tidak berakhlak membabitkan pengunjung Islam di pusat hiburan berkenaan. Malah, pemantauan yang dijalankan juga mendapati, pusat hiburan itu dipercayai turut menjadi tumpuan artis berstatus elit untuk ‘bersantai’.

“Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, tidak ada artis ditemui dan kami tidak menolak kemungkinan ada yang sempat melarikan diri.

“Yang pasti, apabila serbuan dilakukan, puluhan pengunjung bertempiaran lari bagi mengelak ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber itu berkata, ada antara pengunjung wanita yang merayu supaya dilepaskan, termasuk memberikan pelbagai alasan ‘bodoh’ kononnya mahu bertemu kekasih bagi mengelak imej dan nama keluarga tercalar. Ada juga yang cuba menggunakan pengaruh pihak tertentu yang ada kuasa, tetapi tindakan itu tidak berjaya kerana mereka tetap akan dikenakan tindakan jika disabitkan dengan kesalahan yang dilakukan.

Selain itu, katanya, Jais sudah mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi membekalkan maklumat mengenai pembabitan artis terbabit dengan pusat hiburan itu.

“Kami percaya artis terbabit bukan pengurus premis berkenaan, tetapi dia memiliki kepentingan dan menyalurkan wang bagi memastikan pusat hiburan itu beroperasi.

“Berdasarkan siasatan awal, artis terbabit memang ada kaitan dengan pusat hiburan berkenaan dan kita kini mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk melakukan semakan lesen pusat itu,” kata sumber berkenaan.

Menurutnya, Jais mempunyai enakmen yang boleh mengaitkan artis beragama Islam terbabit dengan kegiatan tidak bermoral, terutama jika dia menjadi tauke pusat hiburan itu. Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 18(1), Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/95 kerana minum minuman yang memabukkan.

“Sehingga kini beberapa pengunjung tampil di pejabat Jais bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum mereka dituduh di Mahkamah Rendah Syariah dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, ketika mengesahkan serbuan itu berkata, ia sebahagian siri serbuan dan operasi pencegahan maksiat, termasuk di pusat hiburan, yang dilakukan pihaknya tanpa mengambil kira status pemilik premis, termasuk artis.

“Serbuan dilakukan selepas Jais mendapat aduan orang ramai mengenai kegiatan maksiat dan penjualan minuman keras kepada orang Islam di pusat hiburan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Beliau berkata, Jais tidak membuat serbuan dengan sewenang-wenang, sebaliknya ia dilakukan selepas siasatan terperinci dan memperoleh maklumat mencukupi.

“Memang sukar untuk kaitkan individu beragama Islam sebagai pemilik pusat hiburan berkaitan jika ia menggunakan nama orang lain pada lesen premis. Namun yang pasti, Jais tetap bertindak tegas jika ada bukti,” katanya. (Sumber myMetro)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Pusat hiburan perlu diubahsuai supaya sesuai dengan kehendak pelbagai agama dan moral penduduk di bumi timur ini.. Lihat Kelantan sebagai contoh kecil...

2 comments:

J3batDerhaka said...

siapakah artis tersebut?

J3batDerhaka said...
This comment has been removed by the author.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails