Wednesday, March 24, 2010

Skim Cepat Kaya Guna Nama Islam Tipu Pelajar Pula..

PENGGUNA

IPOH, 24 Mac — Sebuah syarikat di sini dikesan menjalankan skim cepat kaya menggunakan nama “Islam” yang beroperasi aktif di Perak sejak Januari lepas dengan menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak, Mokhtar Sulaiman, berkata syarikat yang dipercayai beroperasi dari sebuah pejabat di sini menjalankan aktiviti berkenaan melalui kaedah wang pos.

“Beberapa peserta telah membuat laporan selepas menyedari mereka ditipu. Pengasas skim itu sangat bijak kerana menggunakan agama Islam dalam pelaburannya bagi menarik perhatian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cabaran Pengguna Di Pasaran peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Mokhtar berkata siasatan awal mendapati antara pelajar yang terjebak telah menggunakan wang pinjaman pendidikan untuk melabur dalam skim itu.

Beliau berkata siasatan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia sedang dijalankan terhadap syarikat berkenaan.

Setakat ini, katanya, aktiviti itu dipercayai terhad di Perak dan belum menular ke tempat lain. —Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails