Perkhidmatan itu bagaimanapun terhad kepada beberapa ketika, malah pengusaha terbabit akan menutup sementara premis terbabit sekiranya mengetahui kehadiran pihak berkuasa. Bagaimanapun, kegiatan peniaga terbabit dihidu pihak berkuasa sebelum serbuan dibuat bermula jam 12 malam semalam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Roslan Ibrahim bersama 18 anggota hasil maklumat orang ramai. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata polis menahan empat wanita warga China ketika sibuk melayan lapan pelanggan.
Turut ditahan seorang lelaki dan wanita tempatan dipercayai penjaga mereka dan semua mereka dibawa ke IPD Klang untuk tindakan lanjut. Menurutnya, pihaknya menerima maklumat terdapat 10 wanita warga asing menjalankan kegiatan tidak bermoral di kawasan itu sebelum polis mengatur strategi bagi memberkasnya.
"Kami percaya premis terbabit mula beroperasi sejak setahun lalu dengan membuka dan menutup perniagaan mengikut kesesuaian masa bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
“Namun, kami dapat menahan empat wanita warga China berusia dalam 20-an manakala selebihnya dipercayai sudah dibawa keluar pelanggan lebih awal untuk berhibur di lokasi lain,” katanya di sini, semalam.
Kedudukan kawasan terbabit agak tersorok jauh dalam hutan berhampiran kawasan menternak ayam daging dan hanya boleh dimasuki melalui jalan tidak berturap. Mohamad berkata, semua wanita warga asing itu kini ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana bekerja tanpa permit manakala penjaga mereka pula ditahan mengikut akta sama kerana melindungi warga asing.
“Kami akan meminta kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mengenal pasti sama ada premis itu beroperasi secara sah kerana kami tidak menjumpai lesen atau sebarang permit,” katanya.
Komen Blog Ibnu Hasyim: Syabas dan tahniah pihak polis Klang. Penahanan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana bekerja tanpa permit manakala penjaga mereka pula ditahan mengikut akta sama kerana melindungi warga asing. Bahkan perlu juga kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Cuma teringat kepada kata-kata yang menyebutkan, kalau seseorang pelacur meletakkan tulisan 'aku seorang pelacur' di dahinya, tiada undang-undang di Malaysia boleh menahannya. Pihak polis pun tidak boleh bertindak kalau tidak terbabit dengan akta-akta lain seperti di atas. Jadi peratuaran mengenai hubungan seks bebas masih boleh. Di situlah cacatnya sistem perundangan di Malaysia menurut Islam. (AK)
No comments:
Post a Comment