Wednesday, April 07, 2010

Makmal Lengkap Syabu, Benjy Bagai Saintis. K/Polis KL


Benjy umpama 'saintis'

BUKTI KUKUH...Mohammad Sabtu (tengah) menunjukkan peralatan makmal  membuat syabu disyaki  dimiliki  Benjy.

Mohammad Sabtu (tengah) menunjukkan peralatan makmal membuat syabu disyaki dimiliki Benjy.

KUALA LUMPUR: Polis semalam menyifatkan pelakon terkenal, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, atau Benjy yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sebelum ini, tidak ubah seperti ‘saintis’ berikutan penemuan peralatan makmal lengkap untuk menghasilkan syabu dalam jumlah yang besar.

Lebih mengejutkan apabila Benjy didakwa mendapat ilham untuk menghasilkan resipi syabu melalui rujukan di laman web sebelum maklumat itu dipindahkan ke dalam pemacu storan mini (pen drive). Difahamkan, maklumat menghasilkan syabu dalam pen drive itu boleh dijadikan buku setebal lebih 300 muka surat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman, berkata pendedahan terbaru penemuan peralatan makmal dadah milik Benjy terpaksa dilakukan bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan polis dalam menyiasat kes membabitkan artis popular itu.

Menurutnya, polis menahan semula Benjy pada jam 2.25 petang pada 25 Mac lalu di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, sejurus dia dibebaskan dengan ikat jamin kerana memiliki dadah seberat 0.24 gram.

“Dia ditahan semula mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) LLPK 1985 kerana dikaitkan dengan aktiviti pengedaran dadah berbahaya.

"Ketika dia ditahan dan disoal siasat semula, polis yang berpandukan maklumat diberikan Benjy melakukan pemeriksaan di sebuah kondominium di Segambut bagi mengesan bahan bukti lain yang mengaitkannya dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah,” katanya.

Menurutnya, pada kira-kira jam 3 petang 31 Mac lalu, polis ditunjukkan sebuah stor elektrik di tingkat 10 kondominium itu yang dipercayai digunakannya untuk menyimpan semua peralatan terbabit.

“Hasil pemeriksaan, dia menyembunyikan peralatan membuat dadah berkenaan dalam dua kotak besar bersama beberapa botol bahan kimia.

Dalam kes ini, Benjy sendiri yang menunjukkan lokasi peralatan dan bahan kimia itu disembunyikan.

“Dia mungkin amat berhati-hati dan bimbang jika peralatan itu ditemui di rumahnya di tingkat enam kondominium itu,” katanya pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini, semalam. Menurutnya, anggota unit forensik polis turut diminta membantu menimbulkan kesan cap jari pada peralatan makmal dadah yang ditemui serta menganalisis bahan kimia dan sisa yang terdapat pada beberapa peralatan itu bagi memastikan ia digunakan suspek untuk memproses syabu.

"Pada masa sama, polis merampas satu ‘pen drive’ milik suspek yang mengandungi bahan dan video mengenai kaedah membuat syabu. Hasil siasatan mendapati ‘pen drive’ terbabit mempunyai 11 artikel termasuk gambar berhubung kaedah serta alatan digunakan untuk memproses dadah.

“Kita percaya dia baru cuba untuk mendalami ilmu menghasilkan dadah itu sejak enam bulan lalu. Maklumat yang dipercayai diambil melalui Internet itu amat lengkap dan berbahaya berikutan ia boleh dijadikan rujukan untuk menghasilkan syabu,” katanya.

Antara peralatan lain ditemui ialah puluhan balang tabung uji, alat penimbang elektronik, lesung batu, tiub getah, penyedut minuman dan pelbagai kimia cecair termasuk ethanol dan bendosen. Mohammad Sabtu berkata, Benjy masih ditahan mengikut LLPK selama 60 hari bermula 23 Mac lalu bagi siasatan lanjut.

“Kami (polis) akan memajukan laporan berhubung kes ini kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan terpulang kepada kementerian untuk membuat keputusan. Ada kemungkinan suspek boleh dikenakan tindakan tahanan selama dua tahun di pusat pemulihan akhlak sama ada di Muar atau Simpang Renggam, Johor.

“Apa yang ingin saya tekankan polis menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang. Ini bukan perbuatan khianat dan polis tidak memperdaya sesiapa,” tegasnya.

Menurutnya, masyarakat perlu faham tanggungjawab polis walaupun ada spekulasi mendakwa pasukan itu tidak menangani kes berkenaan dengan baik.

“Hari ini, kami bersedia untuk menunjukkan semua bukti yang ditemui dan suspek sendiri sudah disahkan positif oleh Jabatan Patologi mengambil syabu. Semua bukti ini diharap dapat mematikan tohmahan terhadap polis,” katanya.

Mohammad Sabtu yakin penangkapan suspek menyekatnya daripada terus memproses dan mengedarkan syabu di sekitar Lembah Klang. (AK)

Lihat terbaru...

No comments:

Post a Comment