Wednesday, May 05, 2010

20 Perkara Kpd Dr M 'Saya Bukan Melayu' -Bong Chan Siong


by Bong Chan Siong

Surat terbuka kepada Dr M: ‘Kaki Dalam Kasut’ (atau dalam mulut?) — Bong Chan Siong

5 MEI — Kehadapan Tun Dr Mahathir Mohamad,

Saya merujuk kepada artikel Tun bertajuk “Kaki Dalam Kasut” yang ditulis pada 20 Julai 2009 di laman web Tun. Izinkan saya berkongsi pendapat saya berkenaan apa yang ditulis oleh Tun.

Dua: Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan “ketidakadilan” terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).

Orang bukan Melayu mempunyai alasan yang kukuh untuk berasa amat tertekan dan kecewa dengan ketidakadilan terhadap mereka di Malaysia. Malah Bumiputera bukan Melayu, khususnya Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, juga berkongsi perasaan yang sama kerana mereka turut tidak diberikan layanan yang sama seperti orang Melayu sedangkan mereka merupakan penduduk asal negara ini. Berapa banyakkah individu Bumiputera bukan Melayu yang diterima masuk dalam sektor kerajaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Petronas?

Tiga: Saya tidak tahu sama ada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.

Tun, kata kunci di sini ialah “yang termiskin dan ketinggalan” dan itu tidak mengira kaum Melayu atau bukan Melayu. Sekiranya bantuan diberikan kepada mereka yang berhak tanpa mengira kaum, warna kulit, dan agama dan didapati majoriti yang miskin adalah orang Melayu, ianya akan diterima baik.

Tiada sesiapa akan mempersoalkan dasar sedemikian. Tetapi adalah salah untuk membuat dan memperalatkan sesuatu dasar yang memberikan keutamaan kepada sesuatu kaum tanpa mengira taraf hidup dan keperluan. Malah jika sesuatu dasar itu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan dan merit, majoriti orang Melayu secara automatis yang akan mendapat manfaatnya.

Sudah lebih 30 tahun DEB dilaksanakan dan masih yang banyak orang Melayu yang miskin dan ketinggalan. Bukankah ini memberi petunjuk bahawa DEB telah gagal dalam perlaksanaannya dan sesuatu yang drastik perlu dilakukan? Jurang antara yang miskin dan kaya semakin bertambah, di mana kekayaan hanya tertumpu kepada sekumpulan individu Cina, India, dan Melayu.

Malah Tun sendiri ketika berkuasa banyak memberikan kontrak kepada rakan-rakan Tun yang bukan Melayu yang kini gah tersenarai antara individu-individu paling kaya di Malaysia. Mengapa? Mengapa Tun semasa berkuasa tidak memberikan kontrak-kontrak tersebut kepada orang Melayu?

Dan dengan menggunakan hujah individu-individu paling kaya di Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang bukan Melayu, Tun beranggapan adalah patut untuk meneruskan DEB dengan memberikan keutamaan kepada orang Melayu dan menghukum orang bukan Melayu yang miskin dan ketinggalan? Bukankan intipati asal DEB adalah untuk membantu semua yang miskin dan memerlukan pertolongan ekonomi tanpa mengira kaum? Sejak bila DEB itu khusus untuk orang Melayu sahaja?

Oh ya, bukankah mengikut kajian antropologi dan sejarah, kebanyakan orang Melayu di Malaysia dan nenek moyang mereka sebenarnya berasal dari dari Indonesia, Thailand, dan India? Malah China? Jadi negara nenek moyang mereka sepatutnya bukan Malaysia, sama seperti saya? Contohnya: Tun sendiri, Khir Toyo, dan Syed Hamid Albar?

Empat: Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Apakah dengan adanya DEB sepanjang 30 lebih tahun ini, orang Melayu sudah maju dalam erti kata sebenarnya dan tidak ketinggalan dalam pelbagai bidang? Pernahkan direnungkan bahawa bilangan orang Melayu yang maju dan tidak ketinggalan sudah bertambah adalah disebabkan pengurangan aras pengukur atau “standard” serta pemberian kuota oleh kerajaan bagi membolehkan mereka diterima masuk menyertai bidang-bidang tertentu? Apakah ini boleh dianggap sesuatu pencapaian yang membanggakan? Bukankah ini menipu diri sendiri?

Lima: Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.

Apakah amat penting untuk orang Melayu dan bukan Melayu yang semuanya rakyat Malaysia berebut-rebut menjadi tuan yang sebenar? Mengapa PEMIMPIN-PEMIMPIN POLITIK Melayu seperti Tun begitu taksub dengan misi untuk menjadi “tuan”? Tun hampir betul dengan mengatakan (SEGELINTIR) orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar walaupun sudah 30 tahun DEB diperalatkan untuk memberi keutamaan kepada orang Melayu. Persoalannya, mengapa ini boleh berlaku?

Orang Melayu memegang tampuk pemerintahan melalui Umno. Keutamaan diberikan kepada orang Melayu dalam perniagaan, ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, dan sebagainya melalui DEB, tetapi yang masih menjadi tuan adalah segelintir orang bukan Melayu? Mengapa ini boleh berlaku? Bukankah itu sesuatu yang pelik dan aneh? Sedangkan yang berkuasa adalah orang Melayu dan dasar-dasar melibatkan sektor-sektor penting memberikan keutamaan kepada orang Melayu?

Dan Tun, sila perbetulkan kenyataan “orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar” dengan menambah “segelintir.” Saya orang bukan Melayu dan saya langsung tidak merasakan diri saya adalah tuan.

Enam: Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.

Tun, tolong jelaskan “yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.” Kenyataan ini amat mengelirukan dan tidak bertanggungjawab. Keutamaan-keutamaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sudah termaktub dalam perlembagaan dan tiada sesiapa boleh mengubah dan meminda fakta tersebut melainkan dengan kuasa 2/3 parlimen.

Apa yang sering dipertikaikan di sini adalah layanan kurang adil dan perlaksanaan yang terpesong daripada peruntukan-peruntukan yang sebenar serta kecenderungan pemimpin-pemimpin politik yang cuba memutarbelitkan fakta yang ada mengikut tafsiran serong demi kepentingan masing-masing.

Tujuh: Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30 peratus bagi Bumiputera (walaupun mereka adalah 60 peratus dari penduduk) dan 40 peratus bagi kaum lain serta 30 peratus bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20 peratus, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50 peratus, walaupun mereka hanya 26 peratus dari jumlah penduduk.

Terima kasih kerana berkongsi statistik ini, Tun. Ini dengan jelas membuktikan bahawa, dasar DEB yang dilaksanakan selama ini GAGAL! Sekiranya ia dilaksakanakan tanpa mengira kaum tetapi memandang kepada keperluan, nescaya yang mendapat paling banyak manfaat adalah orang Melayu kerana banyak mereka yang miskin adalah terdiri daripada mereka yang “60 peratus dari penduduk.” Mengapa Tun masih degil mempertahankan perlaksanaan DEB yang telah gagal dan cuma menguntungkan segelintir individu?

Sejajar dengan logik Tun (putar belit statistik untuk menyokong hujah dan dijadikan “fakta”), saya merupakan penduduk generasi ke-3 di Malaysia, sama seperti Tun. Mengapa saya tidak boleh mendapat layanan yang sama seperti yang diterima oleh Tun? Saya tiada statistik rakyat bukan Melayu yang lahir di Malaysia yang merupakan generasi ke-3, ke-4 berbanding orang “Melayu” yang berhijrah ke Malaysia, tinggal di sini dalam tempoh kurang dari 3 generasi tetapi mendapat layanan setaraf dengan penduduk asal? Contohnya, Khir Toyo? Syed Hamid Albar? Ramai warga asing di Sabah yang mempunyai MyKad dan berstatus “Bumiputera Melayu”?

Rasanya kenyataan bahawa agihan kekayaan korporat sebanyak 30 peratus untuk Bumiputera adalah kurang tepat, sebaliknya 30 peratus untuk Umnoputra adalah lebih tepat. Jumlah keahlian Umno adalah lebih kurang 2 juta orang dan ini bermakna agihan kekayaan korporat 30 peratus ini dinikmati oleh Umnoputra ? Mewakili hanya 7 peratus daripada penduduk Malaysia. Setuju?

Dan adakah Tun dengan sengaja memanipulasi statistik yang menunjukkan sebahagian besar agihan kekayaan korporat itu tertumpu hanya kepada satu kumpulan individu sedangkan Tun patut sedar adalah satu fakta bahawa dalam konteks ekonomi dunia sekalipun, sehingga 80 peratus kekayaan dunia itu adalah tertumpu hanya kepada 20 peratus penduduk dunia? Malah senario ini berlaku di kebanyakan negara di dunia, dimana agihan kekayaan korporat sesebuah negara adalah dimiliki sekumpulan kecil penduduk negara tersebut, termasuk Amerika Syarikat dan Jepun. Kekayaan korporat adalah tidak relevan dan tidak menjadi isu untuk rakyat biasa seperti saya.

Lagi, adakah ia salah orang bukan Melayu mereka dibawa ke sini dan beranak-pinak di sini? Mengapa “kesalahan” yang dilakukan oleh orang lain (British) perlu ditanggung oleh orang bukan Melayu, khususnya generasi baru seperti saya? Orang bukan Melayu tidak mempunyai pilihan melainkan untuk mencurahkan bakti setia kepada negara Malaysia dan apa yang diminta adalah layanan yang adil dan saksama seperti yang telah diperuntukkan kepada mereka di dalam perlembagaan. Itu sahaja, Tun.

Lapan:Nilai harta milik Bumiputera pula berjumlah 15 peratus sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan Bumiputera disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.

Adakah menjadi satu kesalahan menjadi kaya dan merupakan bukan Bumiputera dalam suasana ekonomi yang berasaskan prinsip kapitalis dan pasaran bebas? Masih relevankan persoalan kaum dalam ekonomi global yang Tun sentiasa canangkan, umpamanya ketika mempertahankan PPSMI? Mengapa setelah sudah 50 tahun kerajaan BN (yang dipegang oleh orang Melayu) dan 30 tahun DEB dilaksanakan, kekayaan negara masih tidak sampai kepada penduduk luar bandar yang rata-ratanya orang Melayu? Adakah ini salah orang bukan Melayu?

Sekali lagi Tun cuba mengelirukan pembaca. Bukankah harta di mana negara sekalipun di dunia ini, milikan hartanah yang bernilai tinggi di terutamanya di kawasan bandar adalah dimiliki oleh peratusan kecil daripada jumlah populasi? Perkara ini adalah benar dan ia berlaku di seluruh dunia termasuk negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, bukan sahaja di Malaysia. Adakah Tun terlepas pandang akan fakta ini ataupun Tun sengaja buat buat lupa?

Sembilan: Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.

Ya Tun, mengapa? Adakah ini juga salah orang kurang Melayu kerana mampu terus bersaing dan memonopoli kekayaaan walaupun tidak diberikan tongkat ekonomi? Pernahkan Tun membandingkan taraf hidup orang Melayu yang kaya dengan yang miskin, dan orang bukan Melayu yang kaya dengan yang miskin, manakan yang lebih besar jurang perbezaannya?

Mengapa masih ramai orang Melayu yang tinggal di kawasan setinggan tetapi pemimpin-pemimpin politik seperti Tun hidup mewah? Mengapa anak Tun boleh mengadakan parti “house warming” yang mewah tetapi masih ramai orang Melayu yang hidup merempat? Mengapa pemimpin politik seperti Zakaria Deros dan Khir Toyo yang mampu membina istana indah berharga jutaan ringgit sedangkan masih ramai orang Melayu yang tinggal di rumah setinggan?

Sepuluh: Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.

Betul. Mengapa peluang-peluang masih diberikan kepada mereka yang “tidak pandai, kurang mahir, dan tidak layak?” Apakah ini akan membantu mereka untuk berjaya? Tun, niat baik untuk membantu orang Melayu memang disambut baik dan berpatutan. Tetapi cara yang digunakan adalah tidak betul, seperti yang dinyatakan oleh Tun sendiri “jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.”

Sebelas: Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?

Tun, sekarang ialah tahun 2009, bukan 1959. Social engineering perlu berubah mengikut realiti semasa. Jika kita asyik berbalik kepada sejarah kita dan hidup dibayangi masa lampau kita tidak ada maju. Adakah orang India Navajo perlu meminta supaya kerajaan Amerika Syarikat membuat dasar seperti DEB dengan alasan sejarah lampau?

DEB betul dilaksanakan tanpa kekerasan dan rampasan, tetapi ia juga secara sistematik telah menidakkan peluang ramai rakyat Malaysia hanya kerana mereka bukan Melayu! Berapakah bilangan rakyat Malaysia bukan Melayu yang bijak pandai diambil dan dimanfaat oleh negara jiran Singapura dalam membangunkan negara tersebut kerana mereka tidak diterima di negara sendiri? Bukankah ini satu pembaziran? Malaysia “membesarkan,” memberikan pelajaran dan tempat tinggal kepada mereka hampir 20 tahun, dan selepas mendapat keputusan cemerlang tidak digunakan dengan baik oleh Malaysia sebaliknya “diserahkan” kepada negara jiran?

Tentangan orang bukan Melayu, malah juga oleh ramai orang Melayu yang tidak mendapat manfaat DEB adalah terhadap perlaksanaannya yang cuma membantu segelintir pihak. Merujuk kepada statistik yang dikongsi oleh Tun, jurang kemiskinan semakin besar dan bukannya bertambah baik setelah DEB dilaksanakan.

Duabelas: Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82 peratus dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan — kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).

Bukankah itu sesuatu yang wajar dilakukan sejajar dengan konsep perkongsian kuasa antara kaum yang dicanangkan oleh Barisan Nasional? Saya memang tidak setuju dengan konsep BN yang memilih calon berdasarkan kaum, bukannya kebolehan dan kelayakan. Ini tidak harus dianggap suatu “pengorbanan,” sebalik rakyat Malaysia yang “terkorban” kerana ramai calon-calon dan pemimpin-pemimpin dipilih mewakili mereka hanya kerana mereka adalah dari kaum tertentu, tanpa melihat kepada kemampuan individu tersebut.

Tigabelas: Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82 peratus kepada 60 peratus. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?

Tun, bolehkah Tanah Melayu (pada ketika itu) mencapai kemerdekaan daripada British tanpa persetujuan bahawa kerakyatan turut diberikan kepada kaum lain? Bukankah kerakyatan itu diberi dengan bersyarat di mana keutamaan-keutamaan akan diberikan kepada orang Melalyu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Malaysia? Mengapa Tun mengatakan ia diberi tanpa syarat biasa sedangkan Tun tahu itu tidak benar? Mengapa Tun masih mengungkit peristiwa lampau? 50 tahun orang bukan Melayu tinggal di Malaysia, masih tidak cukupkan untuk membayar budi orang Melayu menganugerahkan kerakyatan dengan syarat tersebut? Berapa lama lagi perlu diungkit isu “penduduk asal” dan “pendatang” ini, Tun? Setiap kali BN atau Umno merasakan ia akan hilang tampuk pemerintahan?

Empatbelas: Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan? Tanah Melayu? digugur dan cantuman negeri? Negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.

Tun, adakah ini relevan untuk dipersoalkan? Bukan masih ramai orang Melayu yang gah mengaitkan nama Malaysia sebagai Malay (Melayu)-sia? Mengapa sesuatu yang telah dipersetujui satu masa dahulu oleh semua pemimpin-pemimpin Malaysia, dijadikan isu oleh Tun?

Limabelas:Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.

Bukankah ini juga telah dipersetujui oleh semua pemimpin-pemimpin — Melayu, Cina, dan India ketika Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British lalu dimasukkan dalam perlembagaan negara? Mengapa Tun perlu mempersoalkan isu ini? Bukankah ini adalah syarat supaya Bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan, satu trade-off?

Enambelas: Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.

Berapa lama dan banyakkah lagi korban yang juga perlu dibuat oleh orang bukan Melayu supaya orang Melayu puas hati?

Tujuhbelas: Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?

Apakah Tun fikir yang orang bukan Melayu tidak berkorban demi membantu saudara-saudara Melayu mereka? Apakah mereka berpuas hati ditidakkan banyak peluang mereka hanya kerana mereka dilahirkan bukan Melayu? Apakah perasaan Tun sekiranya Tun bukan Melayu?

Lapanbelas: Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.

Dengan rencana ini, terbukti Tun masih berada di takuk lama. Tun masih berfikiran bahawa dalam era dunia globalisasi tanpa sempadan yang mencabar ini, isu dan politik perkauman masih sesuai diperkatakan? Mengapa Tun hanya menyentuh kepada pengorbanan orang Melayu? Mengapa Tun tidak menyentuh jasa dan pengorbanan orang bukan Melayu dalam membangun dan memajukan negara ini?

Sembilanbelas: Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya? Lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.

Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, kenyataan berbaur perkauman dan yang boleh membawa perpecahan harus dielakkan, terutama yang datang daripada pemimpin seperti Tun.

Agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hanya akan adil sekiranya ia berlandaskan keperluan, bukannya identiti kaum dan warna kulit. Tun membuat kenyataan yang bercanggah apabila menyatakan “mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya” sedangkan Tun nampaknya cuba membuat hujah-hujah untuk menyokong perbuatan tersebut dari poin 2 hingga 18 dengan alasan ia adalah patut dan wajar kerana “orang Melayu lebih banyak berkorban berbanding orang bukan Melayu.”

Apakah tujuan Tun menulis artikel di atas dengan melagakan orang Melayu dan bukan Melayu yang boleh menimbulkan rasa curiga dan kurang puas hati antara kaum? Adakan ini membantu membina perpaduan negara ke arah suasana yang aman damai?

Duapuluh: Di forum anjuran Gempita dan Umno bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.

Oh ya, Tun masih belum menjawab soalan pensyarah tersebut, apakah Tun pernah fikir untuk meletak diri Tun di tempat orang bukan Melayu bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.

Sekian,

Saya, rakyat Malaysia yang bukan Melayu.

Blog Ibnu Hasyim: Setuju dengan pandangan di atas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails