Tuesday, May 11, 2010

Ayam Pakai Baju Di Sibu, Sambut Pilihan Raya?



Ayam pakai baju, antara cara pemasaran tersendiri peniaga-peniaga di Sibu.

SIBU, MEI 11, 10: Peniaga-peniaga ayam, itik dan angsa di Sibu mempunyai cara unik memasarkan ternakan tersebut. Jika selama ini kita melihat haiwan itu diletakkan dalam sangkar plastik di pasar-pasar, di Sibu haiwan itu dibungkus dengan kertas surat khabar seekor-seekor dan diikat.

Keunikan ini dapat dilihat di Pasar Awam bandar Sibu setiap hari apabila lebih 20 penjual ternakan itu memasarkan ayam, itik atau angsa dengan cara itu. Selepas dibungkus dengan surat khabar, ternakan itu disusun rapi di atas meja jualan di pasar berkenaan.

Ada juga memanggilnya sebagai ‘ayam berbaju’. Seandainya tidak biasa, pengunjung luar tidak perasan ternakan itu dijual di pasar tersebut kerana tidak dengar bunyi kokokan haiwan tersebut. Ramai turut tertarik dengan keunikan cara peniaga-peniaga memasarkan haiwan itu. Seorang peniaga memberitahu, mereka berbuat demikian bagi memudahkan pembeli terutama pemilik restoran sekitar Sibu.

Mereka mampu menjual sehingga 50 ekor sehari dan bilangan bertambah pada musim perayaan termasuk Hari Gawai dan Tahun Baru Cina. Harga seekor ayam antara RM13 hingga RM15 bagi ayam tua manakala ayam kampung RM22 sekilogram. Harga itik pula RM14. Pembeli perlu membeli ayam atau itik hidup ini untuk di bawa pulang kerana peniaga tidak menyembelih haiwan itu di pasar. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails