Thursday, May 27, 2010

Berita Ini 888888888, Bawa Virus Rosakkan Aqidah.


Gambar menunjukkan mayat Konstantin Dishliev yang mati ditembak di Armsterdam, Belanda pada 2003.

Tajuk Berita ini: Nombor 888888888 bawa kematian

SOFIA, MEI 27 10- Nombor telefon bimbit 888888888 telah digantung perkhidmatannya di Bulgaria selepas tiga pengguna yang memiliki nombor itu tidak hidup lama, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketua-ketua perkhidmatan telekomunikasi telefon bimbit telah menggantung nombor itu kerana tiga pemilik nombor tersebut mati dalam tempoh 10 tahun.

Pemilik pertama nombor itu, Vladimir Grashnov yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telefon bimbit Mobitel yang mengeluarkan nombor tersebut mati pada 2001 kerana penyakit kanser semasa berusia 48 tahun.

Seorang ketua mafia Bulgaria, Konstantin Dimitrov yang merupakan pemilik kedua nombor itu mati pada 2003 selepas ditembak di Armsterdam, Belanda dalam satu lawatan untuk memeriksa empayar dadahnya semasa berumur 31 tahun. Dia ditembak semasa makan bersama seorang model wanita yang cantik, seperti gambar di atas.

Seorang ahli perniagaan, Konstantin Dishliev yang mengendalikan operasi penyeludupan kokain dan menjadi pemilik nombor itu turut ditembak mati di luar sebuah restoran India di sini pada 2005. Dia mati selepas sejumlah dadah miliknya dipintas oleh polis semasa dalam perjalanan ke Bulgaria dari Colombia.

Sejak Dishliev mati, nombor itu tidak digunakan lagi. Pemanggil yang menghubungi nombor itu akan menerima satu mesej bagi memberitahu bahawa telefon bimbit bernombor 888888888 berada di luar kawasan liputan. - Agensi

Komen Blog Ibnu Hasyim: 'Tidak hidup lama' atau 'membawa kematian' kerana memiliki dan menggunakan nombor telefon 888888888 ini, adalah suatu kepercayaan karut, tidak logik dan jauh dari sifat manusia yang berfikiran tamadun. Di dalam Islam di sebut 'tatayyur/ tiyarah' atau 'sial menyial' antara virus yang boleh merosakkan aqidah.

Tatayyur atau Tiyarah berasal dari perkataan ( الطَّيْرُ ), iaitu burung. Menurut kepercayaan orang Arab jahiliah jika mereka akan mengadakan safar atau memulakan sebuah perjalanan, maka mereka terlebih dahulu akan melepaskan burung. Jika burung itu terbang ke arah kanan rumah maka mereka akan gembira. Tetapi jika sebaliknya terbang ke arah kiri maka mereka akan bersedih hati kerana itu tandanya musibah akan menimpa. Selanjutnya mereka akan menangguhkan pemergian atau perjalanan tersebut.

Sempena perbuatan ini, maka muncul istilah Tatayyur atau Tiyarah. Islam melarang keras tatayyur/tiyarah. Rasulullah SAW bersabda..

اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ

"Tiyarah itu syirik , tiyarah itu syirik" HR Abu Daud dan Tarmidzi - Menurut Tarmidzi: Sahih.

Tiyarah, Tatayyur atau ‘sial menyial' ini, dalam akidah bukan hanya terbatas pada rasa sedih atau pessimis ( اَلتَّشَاؤُمُ ) terhadap burung, tetapi juga yang berkaitan dengan nama-nama tertentu, ucapan-ucapan, tempat-tempat, orang-orang tertentu dan sebagainya.

Jadi jika ada perasaan murung mengenang nasib malang (musibah) yang akan menimpa (bad luck-unlucky) yang dikaitkan dengan hari, bulan, angka, ucapan, orang tertentu dan lain-lain seperti keyakinan kenan, kesialan angka 13, bulan-bulan tertentu tidak elok mengadakan walimah atau kenduri, membina rumah, maka contoh-contoh itu boleh dimasukkan ke dalam tiyarah. Termasuk seperti kepercayaan 'tidak hidup lama' atau 'membawa kematian' kerana memiliki dan menggunakan nombor telefon 888888888 itu.

Tiyarah dihukumkan syirik kerana mengaitkan musibah yang menimpa kepada selain Allah dan meyakini musibah berpunca dari makhluk yang tidak sedikitpun memiliki kuasa mendatangkan manfa'at atau mudharat. Sebenarnya tiyarah berpunca daripada was-was syaitan yang menimbulkan perasaan takut. Jika hal ini terjadi maka ia dapat merosakkan tawakkal seseorang kepada Allah ‘Azza Wa Jalla.

Tiyarah adalah penyakit yang muncul sejak zaman silam lagi. Allah menerangkan orang-orang kafir telah melakukan tiyarah terhadap manusia pilihan Allah dari kalangan para rasul dan orang-orang yang beriman.

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ (18) قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (19)

Mereka menjawab : " Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), niscaya kami akan merajam kamu dan kamu pasti akan mendapat siksa yang pedih dari kami ". Utusan-utusan itu berkata: " Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas ". ( Yaasiin: 18-19 )

Oleh itu Rasulullah SAW mengajar umatnya jika ditimpa perasaan tersebut maka ia jangan hiraukan perasaan tersebut dan hendaklah ia segera berserah diri kepada Allah dengan membaca doa ini :

اَللَّهُمَّ لاَ يَأْتِى بِالْحَسَنَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ يَدْفَعُ السَّيِّئَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِك .

Ya Allah, tiada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Engkau, dan tiada yang dapat menolak keburukan kecuali Engkau, dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Engkau. HR Riwayat Abu Daud.

Yang sama dengan ini, yang kini berlaku di masyarakat kita, seperti bertenung nasib dengan menggaris-garis di tanah, bernazar ke kubur, dan sebagainya, semua ini perbuatan mungkar yang oleh Islam telah lama diharamkan. (2MA)

Lihat juga ini...

1 comment:

Anonymous said...

Tapi khurafat bagi setengah2 Cina Malaysia suka dengan no. 8 kerana percaya ada ong!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails