Thursday, May 20, 2010

Bung Mokhtar: Komen Dr Mohd Asri & PKR.. PAS?

Membendung ketidakadilan poligami dengan menghalang poligami.

MEI 20 10: Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan perasaan simpatinya terhadap Datuk Bung Mokhtar dan isterinya Zizie Izette A Samad yang didapati bersalah menikah tanpa kebenaran oleh mahkamah rendah syariah.

Menurut Dr Mohd Asri (kiri), kedua-dua pasangan sensasi itu terpaksa menerima hukuman "hanya kerana berpoligami".

"Dalam masa yang sama, kita boleh melihat berbagai filem dan aktiviti seni yang berpelukan dan bermesraan atas pentas, ditonton ramai tidak pernah diambil tindakan.

"Jika pun pihak jabatan agama ingin membendung salah laku atau salah guna poligami, buatlah peruntukan undang-undang yang tegas kepada suami yang berpoligami tetapi tidak menjalankan tanggungjawab," katanya.

Semalam, selain dijatuhi penjara sebulan, Bung Mokhtar - ahli parlimen Kinabatangan - didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Isteri keduanya, Zizie - seorang pelakon - pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan. Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagaimanapun membenarkan permohonan Bung Moktar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sebulan terhadapnya.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Mohd Asri berpendapat, bagi membendung ketidakadilan poligami dengan menghalang poligami hanyalah meningkatkan maksiat semata-mata.

"Malanglah, jika yang berkahwin diambil tindakan, tetapi 'ada yang ternama tidak berkahwin' bebas dengan pasangannya yang ternama," kata Pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Sementara itu Wanita PKR Selangor pula mempunyai pandangan berbeza dengan tokoh agama yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Seragamkan undang-undang, elak kekeliruan

Dalam kenyataannya semalam, sayap wanita PKR negeri itu "mengucapkan tahniah kepada Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad kerana tegas menangani isu berkaitan poligami."

"Wanita Keadilan Selangor memandang serius isu poligami tanpa izin. Perkara ini boleh menjelaskan keharmonian keluarga sekiranya tidak ditangani. Dengan kadar penceraian yang sangat tinggi di Selangor hal ini perlu dipandang serius.

"Pandangan isteri pertama harus diambil kira, kerana jika isteri pertama tidak memahami keperluan poligami bagi suami mereka ia akan menjejaskan institusi keluarga," kata ketuanya Haniza Talha (kiri).

Dalam satu kenyataan semalam, Haniza yang juga timbalan speaker Selangor turut mencadangkan supaya undang-undang berkaitan poligami diseragamkan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Jika seorang ahli parlimen (Seperti Bung Mokhtar) boleh melakukan pelanggaran terhadap undang-undang berkaitan poligami mungkin kerana keliru, apa lagi masyarakat biasa yang mungkin tidak jelas dengan undang-undang yang ada," kata ADUN Kampung Medan itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Itu pendpat Dr Mohd Asri & Keadilan. Apa kata PAS pula?

Sebelum ini...

1 comment:

Anonymous said...

Ramai yang bercakap dengan emosi tanpa nas Quran dan amalan Rasulullah.
Ramai yang terikut-ikut budaya Kristian Eropah yang mengharamkan poligami tetapi menghalalkan perzinaan.
Banyak kenyataan umat Islam sendiri yang melambangkan penjajahan minda Anti agama barat dan neokristian barat tanpa sedar.
Sampai bila Menteri Wanita mahu melihat pelacur di Kuala Lumpur berterusan dan rumah-rumah maksiat dengan arak dan judi bergelimpangan di Malaysia ini?
Kenapa pernikahan kedua dianggap hina dan keji sedangkan kelahiran bayi tanpa nikah dan pengguguran ratusan bayi setiap hari di Kuala Lumpur sahaja tidak pernah menjadi agenda besar kepada Menteri Wanita?
Bukankah ini budaya anti Islam?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails