Monday, May 24, 2010

Enakmen Agama Ketinggalan Zaman, Syor Pindaan -Khalid Samad


Enakmen Islam: Khalid serah syor pindaan 2 minggu lagi

KUALA LUMPUR, 24 Mei 10— Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dijangka mempersembahkan syor pindaan terhadap Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 termasuk yang menyentuh aspek penggunaan kalimah “Allah” kepada Sultan Selangor dalam dua minggu ini.

“Kajian syor pindaan ini sudah selesai, saya sedang mengemaskinikan input-input yang telah pun diberikan... saya harap dapat selesaikan sebelum sidang Parlimen bermula,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Ya, mungkin dalam dua minggu lagi,” katanya lagi.

Usaha yang mencetuskan kontroversi itu dimulakan Februari lalu.

Tanpa memberikan butiran terperinci kandungan syor pindaan ini, Khalid berkata, beliau sebenarnya bercadang untuk mengemukakan pandangannya bulan lalu tetapi tertangguh ekoran tumpuan ke atas dua pilihan raya kecil iaitu Hulu Selangor dan Sibu.

“Syor ini tidak melibatkan pindaan keseluruhan enakmen tetapi saya memberikan komen tentang perkara-perkara yang boleh diteliti untuk dipinda... saya akan menyerahkan kepada Mais (Majlis Agama Islam Selangor) untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dibantu oleh dua hingga tiga pakar dalam menyenaraikan syor pindaan ke atas enakmen itu.

Laporan sebelum ini menyebut kajian syor pindaan ini memberi tumpuan ke atas soal penggunaan kalimah “Allah”, kriteria mengeluarkan tauliah menyampaikan ceramah dan kuliah agama di Selangor, garis panduan penyertaan guru dan murid-murid di sekolah agama negeri dan kriteria pelantikan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sebelum ini Khalid pernah mendakwa enakmen itu sudah ketinggalan zaman, menyebabkan ia mencetuskan kontroversi sehingga dipertikaikan oleh beberapa pihak termasuk Jais.

Khalid menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 22 Jan lalu dan baginda menitahkan bahawa tidak mahu isu mengenai kalimah “Allah” berpanjangan sehingga menjadi polemik politik.

Oleh itu baginda menitahkan Khalid mengemukakan syor mengenai pindaan yang difikirkan sesuai sekiranya ada.

Selangor merupakan antara negeri yang mengguna pakai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Ia antara lain melarang orang bukan Islam menggunakan secara bertulis atau lisan 25 perkataan.

Antara perkataan itu adalah, Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, syeikh, imam dan dakwah.

Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 perbahasan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan. (AK)

2 comments:

  1. Saya seorang Nasrani & banyak perkataan yg dilarang itu memang kami gunakan, iaitu:

    Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, wahyu, Kaabah, rasul, iman, Injil, dakwah

    Mengapa penggunaan perkataan ini dilarang?...Mengapa perlu mencampuri urusan agama lain?...Ini satu PENINDASAN!...

    ReplyDelete
  2. Inilah kesilapan pemimpin lama kami dari Borneo apabila dgn mudah menyertai Malaysia!...Suatu masa nanti penindasan agama ini pasti merebak ke Borneo...Mungkin sudh sampai masanya Borneo patut berkerajaan sendiri.

    ReplyDelete