Saturday, May 29, 2010

Kajian Separuh Penggal: PR Gagal Laksana Dasar Bersama.

KOTA BARU, 29 Mei 10: IDEA telah dicetuskan agar diadakan kajian separuh penggal Pakatan Rakyat (PR), yang mencipta sejarah dengan menguasai 5 kerajaan negeri dan menafikan BN majoriti 2/3 di Parlimen dua tahun lalu, akan diutarakan pada mesyuarat kepimpinan PR Selasa depan, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Kami akan membincangkan idea agar diadakan kajian separuh penggal kerajaan negeri Pakatan Rakyat selepas dua tahun memerintah,” kata Lim pada sidang media bersama pemimpin-pemimpin PR di sini hari ini.

“Kita sudah memerintah selama dua tahun dan ada baiknya kita melakukan kajian separuh penggal ini... masa yang sesuai untuk menilai prestasi kerajaan negeri... pendekatan, cara... untuk melihat prestasi dari segi aspirasi, harapan rakyat,” kata beliau. Pandangan itu disokong oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang berkata, “kami akan membincangkannya.”

Sidang media itu diadakan selepas majlis perasmian Kongres Nasional Keenam PKR di sini. Presiden PKR Datukn Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan dasarnya. Lim berkata kajian separuh penggal itu akan melibatkan keempat-empat kerajaan negeri yang masih diterajui PR iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor. Perak yang dikuasai PR telah jatuh ke tangan BN awal tahun lalu. Lim yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, bagi tujuan itu PR boleh mengambil perkara-perkara yang ditekankan oleh Wan Azizah dalam ucapannya.

“Ucapan Wan Azizah adalah paling komprehensif, tepat pada masanya dan sesuatu yang mengejutkan,” kata Lim.

“Saya rasakan kita boleh mengambil beberapa perkara yang dibawa oleh Presiden (PKR) dalam ucapannya,” katanya.

Mengenai rasa kecewa Angkatan Muda Keadilan (AMK) bahawa PR tidak melaksanakan Dasar Bersama dengan efektif, Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata:

“Angkatan Muda memberikan beberapa cadangan supaya mematuhi beberapa dasar yang telah diputuskan oleh kepimpinan Pakatan.

“Perkara itu sebagaimana dikatakan tadi, akan dibincangkan dalam mesyuarat Selasa ini.”

PR yang mengadakan konvensyen sulungnya Disember lalu telah meluluskan Dasar Bersama. Bagaimanapun Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata PR gagal untuk melaksanakan kandungan Dasar Bersama dengan efektif dan menyeluruh. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails