Friday, May 14, 2010

PAS Boleh Guna Masjid Untuk Parti, UMNO Tak Boleh.

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

Masjid Rusila, dekat rumah Presiden PAS Marang, Terengganu.

SESEORANG bertanya saya, bolehkah PAS gunakan masjid untuk politik partinya, berkempen pilihan raya menangkan PAS dan sebagainya?

Saya jawab "Boleh.. tapi kalau UMNO tak boleh!"

"Kenapa?" Dia terkejut. "Kamu jangan taksub kepada PAS sangat!" Komennya.

"Baiklah.." Saya jawab.

Inilah jawapannya.

Orang bertanya kepada Nasrudin Hassan at-Tantawi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, "Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ? Apakah dalil keharusannya, jika hukumnya harus ? Atau dalil pengharamannya, jika ia ditegah?"

Beliau menjelaskan...

Satu: "Masjid adalah Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi (s.a.w.) Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan pusat kegiatan Jamaah Muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah (s.a.w.) menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran."

Hal ini ramai dah tahu dan akui!

Kedua: Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan politik.

(a) Masjid Di Zaman Kegemilangan:

Begitu juga di zaman Khulafa Ar Rashidin selepas Rasulullah (s.a.w). Masjid dijadikan sebagai tempat pelbagai aktiviti sama ada aktiviti politik dan sebagainya. Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya.

Beliau berkata: “Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah aku.”

Umar bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di masjid, beliau berkata: “Wahai manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!”

Lalu seorang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!”

Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedangnya.”

Masjid terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan di zaman kegemilangannya.

(b) Masjid Di Zaman Kemunduran.

Tetapi ketika luputnya bintang tamadun Islam dan umat Islam menjadi mundur dalam segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah. Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang sahaja. Khutbah yang diucapkan mati tidak bertenaga. Kerana ia bukan menyampaikan khutbah tetapi membaca khutbah. Tajuknya hanya berligar di sekitar zuhud di dunia, mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab akhirat.

Oleh kerana itu sewaktu ruh kebangkitan Islam mula meresapi tubuh umat ini, kita dapati sebahagian daripada khatib bercakap tentang permasalahan umat Islam, mengkritik suasana penyelewengan kehidupan umat, khususnya kezaliman pemerintah, kebisuan ulama dan kedinginan cendikiawan.

Oleh itu kata Ustaz Nasrudin Hassan...

"..kita dapati, setengah orang berkata: Khatib itu bercakap tentang politik…! Politik Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak. Kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’, seolah-olah ia merupakan satu kehinaan atau jenayah ?! Sedangkan ilmu politik adalah satu cabang ilmu yang paling mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang paling mulia.

Yang peliknya lagi ialah sebahagian ahli politik sendiri yang bertanya: Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ? Sedangkan mereka bergelumang dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki. Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor, apabila ia mengikut garisan-garisan yang telah ditetapkan oleh prinsip-prinsip Islam dan berada di dalam lingkaran hukum dan nilai-nilainya. Politik yang ditolak ialah politik ‘Micheavelli’ yang menyatakan matlamat menghalalkan cara, tidak beriltizam dengan akhlak serta nilai-nilai kebaikan dan mengenepikan halal dan haram."

Pada saya (Ibnu Hasyim), disitulah timbulnya kekeliruan, tidak boleh berpolitik dalam masjid. Kerana politik maksud mereka ialah 'politik Macheavelli' atau 'politik menghalalkan cara'. Itulah politik yang diamalkan oleh UMNO dan geng parti-parti sekular sekandang dengannya. Jadi tidak hairan bila pemimpin UMNO atau agennya berucap dan melarang 'jangan jadikan masjid sebagai pentas politik'.

Betul kata mereka, kerana mereka memahami politik itu seperti politik parti mereka yang sekular dan jijik, tidak sesuai langsung dengan agama Islam yang mulia.
Jadi berkempen politik parti UMNO dalam masjid memang kotor dan jijik. Menerangkan hakikat UMNO boleh. Menarikkan orang kepada parti politik yang menjijikkan itu tidak boleh. Hukumnya? Cari ulama atau mufti minta fatwa.

Tetapi kalau parti atau gerakan Islam dan dakwah yang beroperasi dalam masjid, memang baik, sesuai dan dibolehkan. Kerana menarikkan orang kepada badan atau parti tersebut adalah sama seperti menarikkan orang kepada Islam. Di situlah timbulnya 'undi PAS dapat pahala' seperti kata tok Guru Nik Aziz.


Ketiga: Menurut Ustaz Nasrudin lagi, manakala politik dengan maksud mentadbir urusan seluruh manusia dengan menjaga kepentingan mereka dan menghilangkan keburukan serta menegakkan keadilan di kalangan mereka, maka ia adalah selari dengan agama, bahkan ia adalah sebahagian daripada agama kita, kerana Islam itu adalah aqidah, ibadah, akhlak dan sistem hidup yang lengkap. Risalah masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar tidak dapat digambarkan bahawa ianya boleh dipisahkan daripada politik dengan pengertiannya yang di atas.

Keempat: Menurut Ustaz Nasrudin lagi, masjid diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat Islam dan setiap yang memberi kebaikan dalam urusan agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Sila lihat lanjutan huraiannya di .. Harakahdaily.net Berpolitik Dalam Masjid. Mei 14 10.

Kelima: Semenjak dahulu lagi masjid berperanan meniupkan semangat jihad fi sabilillah dan semangat menentang musuh yang menceroboh. Intifadhah yang diberkati, yang berlaku sekarang di bumi ambiya’ ‘Palestin’ bermula dari masjid. Seruan pertamanya bergema dari menara azan. Pada permulaannya kebangkitan ini dinamakan sebagai kebangkitan masjid.. Demikian, menurut Ustaz Nasrudin lagi.

Begitu juga jihad di Afghanistan dan lain lain tempat lagi, masjid mempunyai peranannya yang tidak dapat dinafikan. Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian.

Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan. Masjid didirikan untuk meneguhkan syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan. Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan. Tidak harus sama sekali masjid ditegah daripada haknya yang tradisi, logik dan bersejarah ini.

Iaitu hak memberi kesedaran dan peringatan kepada umat daripada taghut-taghut yang tidak melaksanakan syariat Allah dan meghukumkannya mengikut hawa nafsu mereka atau tuan-tuan mereka yang sedikitpun tidak mempunyai kekuatan ketika berhadapan dengan kekuatan Allah (s.w.t.)

Keenam: Menurut Ustaz Nasrudin lagi, di sesetengah negara Islam, kerajaan mengeluarkan enakmen berhubung hukum kekeluargaan yang bercanggah dengan syariat Islam, lalu ulama bangkit menentangnya dan mengkritik di masjid-masjid, kerana media massa yang lain dikuasai oleh kerajaan. Tindakan kerajaan tersebut terhadap ulama-uama yang berani ialah hukum bunuh dan bakar! Perkara ini secara tepatnya berlaku di Somalia.

Pemerintah menggunakan masjid sebagai trompet untuk mengembar-gemburkan polisinya. Apabila mereka mahu berdamai dengan Israel, maka mereka mengatakan bahawa perdamaian adalah satu kebaikan berdasarkan firman Allah (s.w.t): Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah.” (Al-Anfaal: 61)

Ketika hubungan mereka dengan Israel menjadi tegang, maka mereka mengatakan bahawa bangsa Yahudi adalah musuh yang paling ketat kepada orang-orang yang beriman. Perdamaian dengan mereka adalah haram dan khianat. Demikianlah apa yang terjadi. Masjid tidak lagi menjadi lidah yang benar bagi risalah Islam, bahjan ia menjadi agensi dakyah kepada polisi kerajaan.

Keadaan ini menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di dalam masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga menjatuhkan kemuliaan ulama dan pendakwah kepada jalan Allah. Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan keselamatan kepada agama dan dunia kita.

Demikan pandangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, disedut dari Harakahdaily.net Berpolitik Dalam Masjid... dan sedikit ulasan tambahan dari saya.

Sekian.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL. Mei 14, 10.

4 comments:

  1. salam ziarah, salam perkenalan dan salam perjuangan, best laa artikel ni... :)

    ReplyDelete
  2. Sokong. memang best. Santai & bantai.

    ReplyDelete
  3. Masjid adalah Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi (s.a.w.) Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan pusat kegiatan Jamaah Muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah (s.a.w.) menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran."

    ReplyDelete
  4. Keadaan ini menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di dalam masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga menjatuhkan kemuliaan ulama dan pendakwah kepada jalan Allah. Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan keselamatan kepada agama dan dunia kita.

    ReplyDelete