Saturday, May 29, 2010

Peguam B/Islam, Pendapat Saya Tak Disiar -Dr Mohd Asri


Oleh:
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Penulis adalah bekas pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia. Mendapat ijazah Ph.D dalam Islamic Revealed Knowledge And Haritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIA (2003) dan lulusan Ijazah Hadith dengan mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India

LIHAT, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam. Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.

Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam. Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?

Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?

Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam! Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?

Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina 'Ali dalam pertikaian baju besi. Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.

Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu. Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.

Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama. Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.

Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam! Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan 'sijil awak tidak laku'. Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam. Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.

Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam. Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam. Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

Tulisan ini adalah cabutan dari sebahagian dari tulisan beliau bertajuk 'Ulama Umno bakar kapal' diangkat dari Malaysiakini.com sebagai lanjutan dari himpunan pandangan tentang forum dan perbincangan mengenai isu peguam bukan Islam di mahkamah Syariah. (2MA)

Lihat sebelum ini...

2 comments:

TokTam said...

Ass. Umpco memang terang dan jelas sesat dan meyeleweng, tapi Asri ni sesat secara tersembunyi, berhati-hati.

zane said...

Mengapa orang yang melemparkan tuduhan tidak membuktikan tuduhan itu jika benar Dr MAZA sesat dalam sembunyi?

Apa tindakan beliau yang salah itu, mana ayat Al Qurannya, hadisnya, pendapat ulamak lainnya?

Tok Tam, sila huraikan lebih lanjut. Ini perbincangan ilmiah, bukan sembang kedai kopi!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails