Monday, May 31, 2010

Rakyat Malaysia Antara Diserang Kapal Perang Israel



ISTANBUL, 31 Mei 10— Dua orang terbunuh manakala 30 yang lain cedera dalam serangan terbaru tentera laut Israel terhadap konvoi kapal yang dalam perjalanan ke Gaza hari ini. Laporan saluran televisyen CNN menyebut konvoi enam kapal yang membawa bekalan bantuan untuk rakyat Palestin dengan diketuai oleh kapal Turki bersama 600 orang penumpang diserang ketika meneruskan perjalanan ke Gaza tanpa mempedulikan halangan dan amaran rejim Yahudi semalam.

Sementara itu, Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam konvoi kapal yang membawa bantuan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan dua orang terbunuh manakala 30 lagi cedera. Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza. Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera. Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan. Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Di Malaysia, 12.30 tengah hari tadi, waktu Malaysia, menurut HARAKAH, Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada Isnin (31/5) pagi, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana. Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup saat mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan. “Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan.” katanya.

Saat ini ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai 8 orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama 4 orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care. Pihak Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) Malaysia masih belum menerima sebarang berita akan situasi dan keadaan mereka di sana memandangkan jalur perhubungan dengan pihak kapal telah terputus.

Sementara itu Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media tergempar pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600. (Pelbagai sumber)

IHH Insani Yardim Vakfi

Insani yardım gemilerini bu kanaldan canlı izleyin

Premium Channel

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails