Monday, May 03, 2010

Ramli Sarip, Papa Rock, Tentukan Arahmu..

HALAMAN HIBURAN

Sesuaikah mereka ini disebut artis Islam?

RAMLI SARIP membuktikan kepada lebih 10,000 peminatnya yang hadir di Teluk Danga, Johor Bahru baru-baru ini bahawa dirinya layak memegang status Papa Rock. Meskipun konsert tersebut dipersembahkan secara percuma, namun beliau mampu menawarkan hiburan yang pastinya menjadi kenangan indah kepada peminat yang hadir.

Seperti diduga, penonton yang hadir bukan sahaja terdiri daripada anak-anak muda sebaliknya persembahan Ramli tempoh hari turut ditonton oleh orang-orang lama atau 'otai' yang sememangnya membesar dengan muzik yang dibawa beliau. Bandar raya Johor Bahru yang dilanda hujan lebat diselangi guruh dan petir seakan-akan merasai aura Papa Rock apabila ia reda menjelang Maghrib sekali gus menjayakan konsert pada malam tersebut.

Tambahan pula konsert yang dibawakan oleh penerbit filem seram 2 Alam, Datuk Dr. Rozmey Che Din turut menampilkan dua figura hebat dunia hiburan tanah air iaitu termasuk Amy Search. Kemunculan Ramli Sarip yang meraih sorakan hangat penonton. Dengan gaya bersahaja dan penuh bertenaga, Ramli mengalunkan lagu pertamanya pada malam tersebut, Ufuk Nurani, diikuti lagu Fantasi Tapi Kenyataan, Seruan, Layarkan, Bukan Kerna Nama, Iqra dan Budaya.

Ramli tidak ketinggalan mempersembahkan kemampuan bermain gitar tua selain berbicara dengan penonton. Walaupun sudah berusia 58 tahun, figura itu berjaya mempesonakan penonton dengan vokal yang mantap, malah penonton turut menghayati setiap bait lirik lagu yang dipersembahkan Ramli.

Kemunculan Amy selepas itu menyemarakkan lagi kemeriahan konsert. Tanpa dapat disangsikan, kemunculan Amy dapat mengubat rindu para peminat. Lagu-lagu yang didendangkan seperti Sejuta Wajah dan Musibah begitu menyentuh jiwa, selain vokalnya yang 'berbisa'.

Ramli kemudian membuat kemunculan kedua dan lebih hebat dengan menampilkan rangkaian lagu-lagu popularnya suatu ketika dahulu termasuk,lah Teratai, Jikalau Berkasih, Syair Laila Majnum, Kamelia, Istilah Bercinta dan Doa Buat Kekasih. Ramli tidak lupa berwadah dan berbicara dengan mengingatkan para penonton tentang jati diri sebagai masyarakat Timur.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sampai masanya, penganjur dan artis-artis kita memikiri bagaimana menyesuaikan perkembangan dan hiburan tanah air sesuai dengan kehendak agama negara, yang membawa keseronokan kekal di dunia hingga ke akhirat. Apalagi bagi mereka yang sudah tidak termasuk golongan remaja lagi, dengan pengalaman yang mereka lalui mungkin dapat menyelamatkan remaja ke arah yang wajar. (AK)

No comments:

Post a Comment