Friday, May 07, 2010

Samseng Junior: Lagi Dasar Pendidikan Gagal

Perangai samsengkah ini?? Bapak borek...

MEI07,10 AMPANG: ‘Samseng Junior’. Itu gelaran yang layak diberikan kepada empat pelajar apabila mereka yang masih menuntut di bangku sekolah sudah berani berjinak-jinak dengan kumpulan samseng. Kumpulan samseng cilik terbabit mula menunjukkan ‘taring’ mereka apabila meminta wang perlindungan daripada rakan yang juga pelajar di sekolah sama di Ampang.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu tidak bertahan lama apabila semua pelajar terbabit diberkas polis, kelmarin selepas kegiatan mereka itu dilaporkan seorang mangsa yang tidak berpuas hati kerana kerap diugut supaya memberikan wang.

Menurut sumber, semua pelajar terbabit yang berusia 13 hingga 14 tahun mengugut beberapa pelajar sekolah berkenaan dengan meminta mereka memberikan wang sebagai perlindungan.

“Seorang daripada mereka yang bertindak sebagai ketua sering mengugut rakan sekelasnya menyerahkan wang kononnya sebagai perlindungan dan juga yuran untuk kumpulan yang disertai mereka.

“Pelajar terbabit yang berlagak samseng itu meminta rakan sekelasnya membayar RM100 dan jika berdegil dia akan memanggil ahli kumpulan lain untuk memukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, kejadian meminta yuran sebagai jaminan untuk mendapat perlindungan daripada kumpulan yang dianggotai pelajar terbabit berlaku sejak Januari lalu.

“Mangsa tertekan dengan perangai rakannya yang berlagak samseng dan mengugut akan memukulnya jika dia enggan menyerahkan wang yang kononnya hanya diambil sekali dalam setahun.

“Berikutan itu, mangsa hanya mampu memberikan RM50 kepada kumpulan pelajar terbabit dan dia diminta membayar baki selebihnya jika tidak mahu dipukul,” katanya.

Sumber terbabit berkata, sejak itu mangsa mula tertekan dan dia sentiasa dibayangi kumpulan pelajar terbabit membuatkannya terpaksa membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana takut diganggu.

“Selain itu, mangsa turut diberitahu beberapa rakannya yang mereka juga diperlakukan sedemikian oleh kumpulan pelajar terbabit.

“Tiga rakan mangsa mendakwa mereka turut membayar RM100 setiap seorang kepada kumpulan terbabit kononnya sebagai yuran perlindungan,” katanya.

Menurut sumber itu, mangsa diugut menyerahkan wang ketika dia menjalani latihan sukan. Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahan empat pelajar terbabit.

“Kami memandang serius perbuatan samseng yang membabitkan pelajar sekolah dan gejala tidak sihat seperti ini perlu dibendung kerana faktor usia yang muda dan mereka sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Antara siri kegagalan dasar pelajaran dan pendidikan negara..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails