Monday, May 10, 2010

Undi DAP Bererti Undi PAS & Negara Islam..

SIBU, 10 Mei: Sebagaimana dijangka, SUPP memulakan serangan ke atas DAP dengan menggunakan isu yang sudah bukan menjadi isu di Semenanjung apabila berkata, 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam'.

Kempen ini dimulakan oleh Ketua SUPP Sibu yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh. Pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, memang benar Negara Islam adalah matlamat PAS tetapi ia bukannya matlamat Pakatan Rakyat.

Beliau mengaku, tema 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam' berkesan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi ia sudah dikebumikan apabila tsunami politik melanda negara dalam pilihan raya umum 2008.

Atas dasar itulah, katanya, di Kuala Sepetang, Perak, 84 peratus pengundi Cina telah memberikan undi kepada calon PAS, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang. Atas dasar itulah juga, 82.5 peratus penduduk Cina Rasa, Hulu Selangor memberikan undi kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Atas dasar itulah juga, 82.5 peratus penduduk Cina Rasa, Hulu Selangor memberikan undi kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim. "Nampaknya pemimpin SUPP yakin, apa yang tidak laku lagi di Semanjung masih lagi laku di Sibu," kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

Beliau yakin, SUPP sangat bimbang dengan perkembangan yang berlaku dalam pilihan raya Sibu apabila sokongan untuk calon DAP semakin meningkat. Dari 40% : 60% antara DAP : BN kini sudah meningkat kepada 44% : 56%. Ini sangat bimbangkan SUPP sehingga mengeluarkan serangan yang dianggap sebagai senjata pemusnah (killer weapon) ini, kata Kit Siang.

Di Sibu, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad antara pemimpin PAS yang paling diyakini untuk menjelaskan isu ini. Ini kerana, Khalid adalah antara pemimpin PAS yang mula-mula memasuki gereja untuk bertemu dengan pengundinya selepas menang di Parlimen Shah Alam dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Semalam, Khalid bersama Dr Mariah Mahmud, anggota Parlimen Kota Raja menemui penganut Kristian di gereja Sacred Heart, gereja yang terbesar di Sibu. Ekoran itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Johnity Ongkili mempertikaikan tindakan PAS itu.

"Sebenarnya, mereka (PAS) patut datang ke Sabah dan Sarawak untuk belajar dari kita bagaimana cara untuk menguruskan hubungan antara agama. Ia bukan isu di sini," katanya kepada media.

53 peratus dari 54,649 pengundi Sibu adalah Krsitian. Isu nama Allah menjadi penting di sini apabila kerajaan BN yang dipimpin oleh Umno menolak penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian. Ia bermula apabila majalah Kristian Herald yang berpangkalan di Sabah memohon perintah mahkamah agar mereka dibenarkan menggunakan perkataan Allah untuk ganti kepada 'God' dalam edisi bahasa Melayu majalah mereka.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak permohonan itu. Dalam masa yang sama, pelbagai kenyataan dari pemimpin Umno mengguris hati penganut Kristian. Turut menimbulkan kemarahan adalah tindakan membakar beberapa gereja Kristian. Namun begitu, PAS dalam mesyuarat mereka telah memutuskan, penggunaan nama Allah tidak bertentangan dengan Islam dengan syarat ia tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islam.

"Sejak isu itu, banyak ceramah oleh mubaligh Kristian dalam gereja mereka di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak mengajak penganut Kristian menolak Umno atas tindakan mereka," kata seorang penganut Kristian di Kuala Lumpur.

Kini, isu agama dimainkan semula di Sibu dan nampaknya ia akan memihak kepada calon DAP kerana terbukti, rakan SUPP di Semenanjung iaitu Umno yang sepatutnya dipersalahkan. (AK)

3 comments:

Anonymous said...

"memang benar Negara Islam adalah matlamat PAS tetapi ia bukannya matlamat Pakatan Rakyat." - Lim Kit Siang.

Yang ni tak nak ulas pulak?

Anonymous said...

Isu penggunaan nama Allah lebih dapat perhatian di Sabah sebab bumiputera Kadazan-Dusun di sana telah menggunakan perkataan tersebut.

Tapi di Sibu, rata2nya adalah kaum Cina. Nak buat hapa dia guna terjemahan Allah untuk God? sebab depa guna bahasa Mandarin...

Tapi apa pun, baguslah sebab ahli2 PAS ni buta hati, tak nampak sebab sebenar kenapa missionary Kristian ni nak gunakan nama Allah secara general untuk terjemahan kepada 'God'. Teruskanlah mainkan isu tu. Teruskan. Tunggu je nanti bila tiba masanya yang tepat nanti...

Anonymous said...

kenapa tak nak tukar god kepada allah dalam edisi inggeris, hanya untuk versi Bahasa Melayu...nak kelirukan orang islam Melayu ke.tolong beri komen

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails