Monday, June 28, 2010

4 Bulan 111 A/Luar Nikah, Shahrizat Salah Ibubapa?



KL, 28 JUN 10: Utusan Malaysia melaporkan 'Ibu bapa perlu didik anak lelaki, perempuan jauhi zina', seorang rakan pernah memberitahu bahawa gejala anak dara hamil luar nikah sudah lama berlaku, tetapi tidak dihebohkan oleh media.

Tidak dapat dipastikan adakah kenyataan itu betul kerana ia diucapkan tanpa sokongan kajian dan angka. Namun, sejak kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia dilancarkan pada April lalu, banyak sungguh kes buang anak dilaporkan.

Walau apa pun situasinya, gejala gadis bawah umur hamil luar nikah nampaknya semakin menjadi-jadi dari sehari ke sehari. Ia dibuktikan oleh statistik dan angka yang jika dilihat amat menakutkan ibu bapa.

Statistik terbaru yang didedahkan oleh Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong menunjukkan sebanyak 111 kes remaja bawah umur mengandung dilaporkan berlaku tahun ini iaitu dari tempoh Januari sehingga April 2010.

Bayangkan dalam tempoh empat bulan, sebanyak 111 remaja bawah umur terlibat dalam gejala tidak berakhlak sehingga melahirkan anak luar nikah. Tentu pendedahan itu mencetuskan kebimbangan kepada ibu bapa yang mungkin ketika ini sedang membayangkan jika anak-anak gadis mereka sendiri terjebak dalam gejala itu.

Dalam pada diburu kebimbangan dan sekadar menunggu kerajaan menggerakkan usaha membendung gejala tersebut daripada terus merebak, adalah lebih baik ibu bapa sendiri melakukan sesuatu untuk menjaga anak-anak remaja sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Kedua-duanya perlu diberi perhatian kerana anak lelaki juga boleh menjadi punca kehamilan luar nikah.

Seperti kata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ibu bapa tidak boleh lepas tangan dalam isu sosial itu kerana kakitangan agensi kerajaan tidak cukup untuk pergi memeriksa setiap rumah di seluruh negara. Memang benar apa yang dikata kerana agensi kerajaan mempunyai banyak tugas lain yang lebih memerlukan kudrat mereka untuk menjamin kehidupan rakyat keseluruhan sejahtera dan harmoni.

Justeru, ibu bapa perlu kembali kepada peranan asal dalam sesebuah rumah tangga iaitu mengasuh sendiri anak-anak, bukannya menyerahkan 100 peratus kepada pembantu rumah untuk mengurus anak-anak. Memang diakui ibu bapa sekarang terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga kerana jika tidak, pasti ‘dapur tidak berasap’ atau cukup makan sahaja. Tetapi janganlah kerana itu, ibu bapa mengelak untuk memainkan peranan dalam membentuk tingkah laku anak-anak, selain memberi didikan ilmu dunia dan akhirat yang seimbang.

Jika diteliti, kebanyakan kes remaja hamil luar nikah berasal dari keluarga yang berpecah-belah atau ibu bapa langsung tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan anak-anak kerana sibuk bekerja. Kurangnya interaksi antara ibu bapa dan anak membuatkan anak berasa diri mereka dipinggirkan dan ketika itulah, mudah bagi mereka terpengaruh dengan perkara yang tidak bermoral.

Masa yang terluang tanpa pengetahuan ibu bapa akan digunakan untuk menonton video lucah atau melihat gambar-gambar lucah yang banyak dipaparkan di skrin komputer melalui Internet.

Pengaruh itu boleh merangsang diri anak-anak remaja yang ketika itu sedang mengalami ‘kecelaruan hormon’ yang jika tidak bijak dikawal boleh mendorong mereka untuk melakukan hubungan seks bebas sama ada dengan teman lelaki atau rakan sekolah. Itulah yang banyak dilaporkan.

Tetapi jika ibu bapa sentiasa mendampingi anak-anak, pasti setiap pergerakan dan kegiatan mereka dapat dihidu sekali gus diperbetulkan sebelum terlambat. Sesekali memeriksa pesanan mesej di telefon bimbit atau komputer peribadi atau menyelongkar bilik tidur anak-anak, tidak ada salahnya.

Lakukan tanpa pengetahuan mereka supaya anak-anak remaja yang terkenal dengan sikap mudah merajuk dan cepat panas baran tidak memberontak kerana kehidupan peribadi mereka diceroboh. Jika ditemui sesuatu yang mencurigakan, ibu bapa boleh mengajak anak-anak berbincang tanpa terus menuduh. Perbincangan berhemah lebih baik daripada ‘menyerang’ anak-anak.

Memberi batasan waktu terakhir kepada anak-anak untuk pulang ke rumah boleh dipraktikkan sejak anak-anak awal remaja. Bak kata orang ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, maka semua pembentukan tingkah laku anak-anak perlu dilakukan sejak anak-anak masih kecil. Ini bermakna anak- anak akan membesar dengan nilai-nilai hidup yang positif sekali gus menjadi seorang dewasa yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Komen Ibnu Hasyim: Jangan salahkan ibubapa sahaja, seperti kata Menteri pembangunan wanita di atas. Kerajaan BN, nombor satu salah besar. Menolak pendidikan penuh Islam, dengan tidak perlu memaksa orang bukan Islam. Pendidikan yang membawa pembangunan berteraskan sebuah negara berdasarkan Islam, bukan sekular. Bukan dengan media-media ganas, termasuk keganasan moral seperti tv-tv di Malaysia. Sila buat kajian mengapa tidakberlaku kelahiran anak luar nikah sebanyak Malaysia di negeri seperti Iran dan Arab Saudi? (AK)

1 comment:

  1. SEMUA agenda program UMNO BN adalah penyumbang utama kepada perzinaan ini.
    Sebagai contoh bila Jeslina Hashim anak mami Penang ditangkap minum arak di disco Kuala Lumpur, yang mula-mula melenting marah keapda pegawai JAWI adalah SHARIZAT JALIL.
    KENAPA Utusan tidak pernha mendedahkan hal ini?
    Sekarang dia nak salahkan ibubapa pulak?
    Kenapa dulu dia tak salahkan mak bapak Jeslina Hashim tu dulu?
    Oh mungkin sekarang YB Bayan Lepas Zaharin Hashim pun boleh bagi komen sebab depa ni satu kapal.

    ReplyDelete