KL. Jun 17,10: Muslimat merupakan sayap penting dalam perjuangan Islam, semenjak zaman Nabi SAW silih berganti, bahu membahu bersama muslimin dalam membentengi agama Allah SWT.
Fasa awal dakwah, Sumaiyyah bersimbah darah di zaman makiyyah, ummu Nusaibah Binti Kaab menjadikan dirinya sebagai perisai kepada Nabi dalam pertembungan di medan Uhud, membenarkan bai’ahnya di Aqobah (ii).
Madinah pula menyaksikan kehebatan, Khaulah yang menjadi sumbu api semangat terhadap anak-anak lelakinya untuk menggapai piala syahid dijalan Allah. Aisyah, ummu mukminin gigih melakukan pencerahan kepada sahabat dan sahabiah terutama selepas kewafatan Nabi SAW.
Di belakang tokoh besar sahabat adalah srikandi yang sentiasa merangsang api semangat dan mengalirkan energi perjuangan. Di zaman moden ini, langit sejarah telah merakamkan seorang muslimat pejuang berdepan dengan kezaliman pemerintah.
Mendekam di penjara militer dengan seribu satu penyiksaan dan penistaan, namun beliau tabah mengharungi mehnah. Zainab al Ghazali, disebalik jeriji penjara adalah mercutanda sebuah catatan kanvas perjuangan, meruntuhkan gunung kezaliman yang menyelimuti ummah yang sedang terlena.
Saat Mesir menjadi sasaran Barat untuk diruntuhkan benteng akidah dan pi ncang akhlak, Allah menghantar tentera fikrah seperti Zainab al Ghazali untuk menjulang izzah, menggodam samudera kegelapan yang memayungi langit Mesir dan seluruh peta ummat Islam.
Kehebatan Zainab mencabar jahiliah moden terpaksa dibayar dengan harga yang mahal, Gamal Abdul Naseer tidak mengenal ampun samada muslimin atau muslimat yang lahiriahnya santun.
Zainab, Sayyid Qutb, Hameedah Qutb, Sheikh Abdul Kader Audah, Sheikh Fattah Ismail adalah sebaris tokoh yang disumbat ke penjara militer dan dibicarakan di mahkamah ‘kangaroo’, ribuan ‘hero tak didendang’ iaitu anggota Ikhwanul Muslimin diserkap dalam penjara dan mengalami penindasan yang tidak terperi sakitnya.
Lukisan hodoh kezaliman dengan rumbu-rumbu hitam menyesakkan relung dada, Zainab adalah contoh di zaman kontemporari bagaimana kezaliman tidak akan berhenti untuk menghalang para pejuang manakala para pejuang tidak akan pernah lelah untuk bangkit melawan.
Zainab al Ghazali, akan mengingatkan kita akan jalan panjang perjuangan, bahawa medan ini akan ditabur dengan duri dan seribu kejerihan yang menghambat. Pengkisahan kisah Zainab akan mengingatkan kita bahawa tidak pantas untuk kita pejuang untuk mempunyai penyakit ‘hubbu riasah’( kecintaan kepada kedudukan), sibuk dengan agenda menebar pesona dan sibuk untuk memposisikan diri supaya dipandang oleh manusia lain.
Kita yang ingin merengkuh kasih sayang Allah tidak akan melacurkan perjuangan untuk meletakkan diri kita setaraf dengan perjungan ‘women –lib’, kononnya untuk menuntut hak. Jangan kita meninggalkan manhaj Islam untuk menjadi kelihatan liberal kononnya untuk menyesuaikan diri dengan lingkungan dan juga tuntutan politik massa di era pemuafakatan politik yang menjanjikan sesuatu.
Ikhwanul Muslimin dan Zainab al Ghazali menjadi cerminan kepada kita dalam menjaga ketulenan manhaj perjuangan. Mungkin cabaran kepada kita di Malaysia lebih kompleks akibat kejayaan kita berada di serambi kuasa, namun ujian kuasa inilah menuntut kepada program amal tarbawi yang semakin serius.
Muslimat terutamanya akan diseret jauh kedalam untuk menghayati kisah hidup muslimat ‘bertulang besi, berurat dawai’ ini, sesepuh pejuang Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan fenomenal abad 20. Datanglah, kita membedah sejarah ibu berhati emas ini bagi mengambil pengajaran dalam menapaki jalan juang yang jauh ini.
Jom, teman-teman muslimin dan muslimat sekelian , kita menghadirkan diri ke program wacana Zainab al ghazali pada 19 Jun ini , bertempat di Dewan Seminar Masjid al Azim Pandan Indah Selangor.
Antara pembentang wacana ini ialah Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (DPPP), Ustaz Dr Zulkarnaen Hassan(DUPP), ustaz Riduan Nor. Program ini bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengahari.
Dianjurkan bersama oleh Dewan Muslimat PAS Selangor dan DMP Pandan serta Masjid al azim. Hubungi Puan Lin:0133539440, Nik,0193238455 untuk maklumat lanjut. (Sumber Harakah)
Komen Blog Ibnu Hasyim: Front Pembela Islam (FPI) Indonesia mengatakah 'teroris moral' (pengganas moral) telah menyerang umat Islam dunia, antaranya melalui serangan video lucah. Maka salah satu cara membina benteng pertahanan ialah seperti yang dilaksanakan oleh Dewan Muslimat PAS Malaysia. Iaitu program 'Wacana Zainab Al ghazali' yang akan diadakan pada 19 Jun ini , bertempat di Dewan Seminar Masjid al Azim Pandan Indah Selangor.
Jom sama-sama sokong serang pengganas moral dengan menghadirkan diri dan keluarga!!
Lihat sebelum ini..
- Luna Maya & Video Lucah, Publisiti Murahan
- Tawaran Video Seks Lucah Indonesia Suatu Penghinaan
- Keganasan Artis Lucah, FPI Beri Tempoh 3 Hari.
- Indo: Ariel, Luna & Cut Tari, Ganyang Teroris Moral
No comments:
Post a Comment