Judi sukan: Peminat bola pelbagai kaum kata ‘jangan halalkan’
KL. Jun 4 10: Hasil pungutan suara menunjukkan keputusan mengejutkan dengan golongan muda, yang meminati sukan, umumnya membantah keputusan kerajaan menghalalkan judi sukan, yang dipercayai akan bermula dengan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010. Rata-rata majoriti golongan muda daripada kalangan semua kaum utama negara ini yang ditemui di Lembah Klang membantah langkah tersebut.
Hampir 77 peratus responden yang ditemui berpendapat bahawa kerajaan tidak wajar melesenkan pertaruhan sukan. Hanya 23 peratus yang bersetuju dengan langkah itu. Peratusan dua pertiga membantah itu membabitkan pendirian responden Melayu dan Cina manakala seratus peratus responden golongan muda India tidak bersetuju sama sekali dengan langkah kerajaan itu.
Seramai 73 peratus dan 77 peratus masing responden Melayu dan Cina tidak bersetuju langkah melesenkan judi sukan. Mereka berpendapat keputusan melesenkan pertaruhan sukan akan memberikan kesan buruk kepada sukan dan juga masyarakat. Pendirian ini dilahirkan ketika beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan membabitkan kesemua kaum memprotes langakh kerajaan ini.
Setakat ini dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang dan Selangor memutuskan untuk tidak memberi kebenaran kepada operasi lessen judi sukan. Selain itu, imej sukan yang selama ini bersih akan tercemar apabila pertaruhan tersebut diluluskan selain mungkin akan wujud proses jual-beli dalam sukan, kata beberapa responden yang ditemui.
Operasi lesen peraturan atau judi memerlukan kebenaran pihak berkuasa tempatan. Hasil pungutan suara itu jelas membuktikan bahawa bukan sahaja orang Melayu tetapi kaum-kaum lain juga membantah usaha melesenkan pertaruhan sukan.
Salah seorang responden yang ditemui, Mohd Affendy Abu Bakar, 24, usaha kerajaan untuk melesenkan pertaruhan sukan akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat di negara ini.
“Apakah faedah yang boleh rakyat dapat apabila pertaruhan sukan diluluskan?
“Ia hanya memberikan lebih banyak kesan buruk kepada masyarakat berbanding kebaikan,” kata kakitangan swasta ini.
Seorang lagi kakitangan swasta, Noor Azam Zainal Abidin, 25 berkata keputusan untuk meluluskan pertaruhan sukan tidak memberikan sebarang faedah kepada masyarakat.
“Masyarakat tidak mendapat sebarang faedah, sebaliknya hanya memberikan kesan buruk dalam masyarakat.
“Jadi bagi saya adalah lebih baik kerajaan membatalkan hasrat tersebut bagi kebaikan semua pihak,” katanya.
Bagi pelajar, Khairul Anuar Salleh, 22 berkata kelulusan tersebut hanya memberikan kesan buruk kepada masyarakat selain mencemar imej sukan di negara ini. Bagaimanapun kakitangan swasta Wan Mohd Tarmizi Wan Ismail, 29, yang bersetuju dengan langkah kerajaan kerana langkah melesenkan akan menghalang perjudian haram daripada berleluasa.
“Saya setuju kerana saya lihat ia dapat menghalang perjudian haram ini daripada terus berleluasa.
“Tapi banyak perkara perlu dibuat untuk mengatasi masalah perjudian haram yang semakin berleluasa,” katanya.
Pendapatnya disokong kakitangan swasta, Chan Weng Chun, 30 yang bersetuju dengan cadangan kerajaa itu dan pada masa sama dapat menghalang perjudian haram daripada berleluasa.
“Sekarang kita lihat perjudian haram semakin berleluasa jadi cadangan kerajaan itu dapat menghalangnya.
“Selain itu, pihak berkuasa juga dapat mengawal perjudian haram ini dengan mudah apabila cadangan tersebut dilulusan,” katanya. (Sumber: The Malaysian Insider)
Komen blog Ibnu Hasyim: Agama-agama di dunia, majoritinya merujuk tentang keburukan judi kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Islam
Islam, secara jelas menyatakan haramnya judi. Allah ta'ala telah berfirman yang mafhumnya: "Wahai orang-orang mukmin. Sesungguhnya arak, judi, berhala, anak panah (judi) adalah najis (kotor) dari kelakuan syaitan. Jauhilah ia supaya kamu beroleh kemenangan. Sesungguhnya syaitan bertujuan menjadikan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan mendirikan solat". Al-Maidah, 90-91.
Ayat ini jelas menunjukkan pengharaman 'khamr' (arak) dan segala bentuk 'maysir' (judi). Tak payah diceritakan panjang-panjang, rata-rata orang Islam sudah tahu, kecuali beberapa kerat pemimpin UMNO.
Budha
Ajaran lama Budha Hinayana, menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; "membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi". Namun ajaran baru Budha Mahayana telah melonggarkan larangan ini dan ia hanya terpakai kepada yang mahu menjadi sami atau betul-betul menghayati ajaran Budha.
Juga tercatit dalam kitab lama Budha kisah masyhur 'Ratapan si Penjudi' (Gambler's Lament) yang menjadi pengajaran berguna apabila seorang penjudi yang kalah wang taruhan menyebabkan dia kehilangan anak dan isteri. Dalam kitab Budha, 'Tipitaka' juga ada menceritakan enam perkara bahaya akibat judi:
kedua bagi yang kalah akan tertekan kerana kehilangan wang,
ketiga tidak ada perkataan yang boleh digunakan untuk pembelaannya di mahkamah,
keempat dia akan dijauhi oleh rakan dan keluarga,
kelima dia akan susah untuk menemui jodoh kerana tiada yang mahu bersuamikan si penjudi dan
keenam mencari kekayaan atas pertaruhan menyebabkan kesengsaraan kepada orang lain (yang kalah)' .
Walaupun ajaran Budha tidak mengharamkan secara jelas aktiviti judi dan membenarkannya sekadar permainan rekreasi dan hiburan seperti permainan 'mahjung' atas dasar untung nasib atau 'ong'. Namun Budha memberi amaran keras bagi yang mempertaruhkan wang dan mengabaikan tanggungjawab keluarga sehingga hilang wang pertaruhan dan sumber mata pencarian.
Apa yang berlaku, aktiviti judi yang sedia ada di negara kita terutama di kalangan yang berpendapatan rendah telah menyebabkan kebobrokan rumah tangga dan ramai terperangkap dengan hutang dengan meminjam melalui 'Ah Long' dan ceti haram. Kesimpulannya Buddha juga melarang penganutnya berjudi.
Kristian
Bagi ajaran Kristian pula tidak ada kejelasan dalam pengharaman judi tetapi ajaran Kristian memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang seperti yang disebut di dalam Timothy 6:10 " Bagi mereka yang mencintakan wang ia adalah punca bagi segala kejahatan. Bagi mereka yang terlalu taksub berlumba mendapatkan wang dan mengabaikan tanggungjawab agama, seolah dia mencucuk dirinya dengan kesedihan di kemudian hari". Dalam Hebrew 13:5 pula mengatakan " Bebaskan dirimu dari kecintaan dunia (wang) dan berpadalah dengan apa yang kamu ada, kerana Tuhan telah mengatakan, ' Aku tidak akan tinggalkan kamu dan tidak akan membiarkan kamu (sentiasa menolongmu)'.
Majoriti gereja bersepakat menyatakan keburukan judi dan sebahagian membenarkan loteri kebajikan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga aktiviti judi 'Bingo' sebagai akiviti rekreasi yang popular di kalangan warga pesara di negara barat. Namun begitu majoriti gereja menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar 'melampau'.
Manakala gereja Prebysterian menolak terus segala bentuk judi termasuk loteri kerana atas hujah ia mengambil wang dari golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mengharapkan hadiah lumayan, tetapi hanya 'seorang dalam sejuta sahaja' yang memenangi hadiah wang yang dijanjikan.
Yahudi
Manakala bagi penganut agama Yahudi, para Rabbi (pemimpin agama Yahudi) menetapkan aktiviti judi dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan. Usaha kerajaan UK suatu ketika dahulu untuk menubuhkan kasino secara besaran atas alasan untuk menarik pelancong dan menambah pendapat negara mendapat kecaman dari rakyat. Di Amerika Syarikat pula, walaupun di peringat Federal (Pusat) membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya.
Nevada membenarkan lesen judi pada tahun 1931 dan menjadi sumber ekonomi utama negeri, diikuti Atlantic City dan New Jersey pada tahun 1976 dan Mississipi pada tahun 1990. Kebanyakan negeri lain di Amerika Syarikat masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial kecuali loteri kebajikan dan permainan Bingo oleh pertubuhan bukan kerajaan untuk tujuan kebajikan. Judi secara logiknya adalah permainan orang yang mempunyai lebihan wang dan tidak terasa apabila mereka kalah judi.
Oleh kerana itulah pusat perjudian yang terkenal di Eropah, Monaco, rata-rata penghuninya adalah hartawan dan selebriti. Dalam sesetengah negara berlumba membina pusat-pusat perjudian dengan anggapan ia dapat meningkatkan hasil pendapatan negara, lain pula halnya sebuah negeri kepulauan kecil di Pasifik, Vanuatu, yang berpenduduk hampir 300,000 orang dan majoriti beragama Kristian. Kerajaan Vanuatu telah meluluskan akta pengharaman judi di negara mereka sejak tahun 2006 dan ia tidak mendapat sebarang bantahan dari rakyat malah dialu-alukan.
Malaysia
Jadi hasil pungutan suara di atas sebenarnya bukanlah menunjukkan keputusan mengejutkan. Kerana realiti pemikiran golongan muda yang sihat, yang meminati sukan, umumnya membantah keputusan kerajaan menghalalkan judi sukan. Cuma kerajaan yang pura-pura pekak dan cuba menutupi 'kebodohan kepekakkan dan tiada kepekaan' terhadap rakyat mula terbongkar dari selubung tamak ekonomi.
Pihak kerajaan telahpun meluluskan lesen kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 yang akan menjelang tiba. Tentangan bukan sahaja datang dari pihak parti pembangkang dan orang Islam, bahkan dari pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat bukan Islam. Saranan dari bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar keputusan kerajaan tersebut dikaji semula amatlah dialu-alukan dan harus diteliti oleh pihak kerajaan.
Ia bukan sahaja dapat mereda suasana dan desakan majoriti masyarakat, bahkan bersesuaian dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di kalangan Negara-negara Islam terutama dalam negara menonjolkan diri sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa dan juga Pusat Halal Dunia. Walaupun lesen judi hanya dibenarkan untuk pelanggan di kalangan bukan Islam termasuk pekerja dan premis, namun judi bukan sahaja mendapat tentangan daripada masyarakat Islam tetapi bukan Islam sendiri.
Kesimpulanya, pungutan suara di atas adalah satu lagi bukti kerajaan BN masih pekak dan tidak peka terhadap kehendak rakyat pelbagai kaum di negara ini.
No comments:
Post a Comment