MV Rachel Corrie. — Gambar oleh Free Gaza Movement
GAZA, 5 Jun — Tentera Israel memintas kapal misi kemanusiaan — Rachel Corrie yang sedang menuju Gaza dengan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin. “Mereka (kapal misi Rachel Corrie) diikuti (kapal Israel),” kata Greta Berlin dari pergerakan Free Gaza.
Kapal itu tidak ditahan tentera Israel. Laporan terdahulu memetik seorang jurucakap kumpulan yang menyokong misi kemanusiaan itu berkata, ia ditahan kira-kira 55km dari Mediterranean.
Rombongan rakyat Malaysia juga dikatakan berada dalam kapal itu. Bagaimanapun tiada maklumat sama ada ia diserang ataupun sebaliknya. Dalam pada itu, laporan Bernama yang dikelurkan 12 tengah hari tadi menyebut, Rachel Corrie dijangka memasuki perairan Gaza kira-kira tiga jam lagi sekiranya tidak menghadapi apa-apa kesulitan.
Wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Sufi Yusoff ketika dihubungi berkata Rachel Corrie kini berada kira-kira 55 batu nautika dari pelabuhan Gaza. Enam warga Malaysia antara sukarelawan yang berada atas kapal itu.
“Pada ketika ini, kesemua anak kapal berada dalam keadaan selamat walaupun terdapat tiga buah kapal peronda mengekori kapal tersebut sejak tiga ke empat jam lepas,” kata Sufi yang juga pembantu kepada pengerusi PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamed.
Bagaimanapun, katanya, identiti kapal-kapal peronda tersebut yang berada kira-kira enam hingga 10 batu di belakang Rachel Corrie tidak dapat dipastikan tetapi disyaki milik Isreal berdasarkan kepada visual yang diterima.
Sambil menolak khabar angin yang tersebar di internet yang mengatakan bahawa Rachel Corrie kini dikepung tentera laut Israel, beliau mengulangi kenyataan PGPO awal pagi ini bahawa mereka mengalu-alukan wakil daripada badan antarabangsa terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB) untuk memeriksa Rachel Corrie.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak aktivis keamanan itu pada kira-kira 12.30 tengah malam, PGPO berkata para sukarelawan di atas kapal MV Rachel Corrie mengalu-alukan badan antarabangsa memeriksa kapal itu. Mereka mempelawa sebuah badan bebas, khususnya PBB untuk membuat pemeriksaan dan menentukan jenis kargo dalam kapal itu.
Para sukarelawan itu juga berikrar bahawa mereka terdiri daripada aktivis tidak bersenjata dan kapal itu tidak membawa sebarang senjata atau kelengkapan yang mungkin digunakan untuk tujuan berbahaya. (AK)
Komen Blog Ibnu Hasyim: Blog ini bersetuju dengan komen tulisan Abdul Shukur Harun (HarakahDaily) yang menyebutkan...
...Banyak yang dapat dipelajari dari peristiwa serangan ganas tentera rejim Israel terhadap kapal misi yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Rupanya ada hikmah peristiwa ini. Hendaknya mayarakat, khususnya umat Islam, wajar berfikir secara mendalam akan peristiwa ini. Natijah peristiwa ini ialah:
Pertama. Isu Gaza tidak lagi hanya menjadi isu umat Islam, tetapi kini telah menjadi isu kemanusiaan yang menjadi fokus masyarakat antarabangsa, khususnya negara Eropah. Perkembangan ini sangat menarik, menyebabkan Amerika kebingungan bagaimana hendak menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku selama ini dan tidak pernah diduganya.
Kedua. Selama ini penentangan terhadap pencerobohan Israel di Palestin, khususnya kepungan terhadap Gaza banyak disuarakan oleh umat Islam, justeru majoritinya adalah umat Islam. Tetapi kini senarionya berubah sama sekali dengan kebangkitan masyarakat antarabangsa menentang Israel kerana kekejaman Yahudi itu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat betamadun.
Ketiga. Kemunculan negara Turki yang mengambil inisiatif – bersama NGO hak asasi manusa di Eropah – untuk menyediakan kapal dan mengumpul bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ini menyebabkan kerajaan Turki dan rakyatnya muncul menjadi pembela nasib rakyat Gaza, di mana pemerintah Turki pimpinan Presiden Abdullah Gull dan Perdana Menteri, Recip Toyyeb Erdogan sebagai pembela rakyat Gaza.
Keempat. Keberanian Turki memberi amaran dan mencabar Israel kerana keangkuhan dan sikap tidak berperikemanusiaannya.
Kelima. Sikap positif pemerintah negara Eropah dan rakyatnya terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, akibat dikepung oleh Israel.
Keenam.Sikap tidak berperikemanusiaan pemerintah Mesir yang terus menutup sempadan ke Gaza melalui Rafah menyebabkan semua bantuan kemanusiaan melalui jalan darat ke Gaza terhalang. Hanya di saat akhir negara itu membuka sedikit sempadan dengan pemeriksaan sangat ketat dan hanya mereka yang mempunyai urusan amat penting baru mendapat surat izin dari kerajaan Mesir untuk rakyat Gaza menyeberang ke Mesir dan sebaliknya. Mesir hanya membuka sempadannya setelah masyarakat antara bangsa mengutuk Israel kerana tindakannya menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketujuh. Menyerlahkan sikap Israel yang terus berdegil untuk meneruskan sekatan ke Gaza dan enggan menerima keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya diadakan Suruhanjaya Penyiasat Antarabanga mengenai isu serangan terhadap misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Israel juga masih mendakwa serangan itu dimulakan oleh sukarelawan kemanusiaan di kapal tersebut yang kononnya membawa pelagai senjata, dakwaan ini dinafikan oleh pelbagai pihak.
Kesimpulan: Inilah perkembangan baru yang sangat menarik, membuka mata masyarakat antarabangsa mengenai kezaliman Israel. Selepas ini, jika masih ada lagi negara umat Islam, khususnya pemerintah negara Arab, yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel mestilah dihentikan. Sungguh malang, setelah masyarakat antarabangsa, khususnya masyarakat Eropah menentang kekejaman Israel, mengapa masih ada lagi negara Arab yang mengadakan hubungan dengan negara haram Yahudi itu?
No comments:
Post a Comment