Wednesday, June 16, 2010

Karnival K'tan: Red Carpet Langgar Persetujuan. Siapa Dalang?


KOTA BHARU, 16 Jun 10: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama dengan Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan negeri tidak akan menghadiri majlis perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 yang akan berlangsung pada malam ini.

Ini kerana, pengurus acara berkenaan, Red Carpet Worldwide, didakwa telah melanggar dan tidak menghormati persetujuan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra yang telah bersetuju untuk berangkat bagi merasmikan fiesta berkenaan sebagaimana yang dipersetujui banginda menerusi surat bertulis 14 Jun lalu juga tidak akan hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengerusi Karnival Kelantan Fiesta 2010, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, kerajaan negeri telah diketepikan dan tidak dihormati dalam membuat keputusan.

“Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam program Fiesta Kelantan yang akan berlansung bermula 16 hingga 19 Jun ini.

“Pihak Red Carpet tidak menghormati persetujuan dan persefahaman yang diberikan oleh kerajaan negeri, antaranya kenyataan rasmi Red Carpet Worldwide, di dalam akhbar mengatakan yang merasmikan program ini adalah Perdana Menteri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di sini tengah hari tadi. Red Carpet Worldwide, melalui siaran-siaran di seluruh bandar, mengatakan mereka adalah penganjur dengan kerjasama sahaja daripada kerajaan negeri. “Ini satu gambaran jelas perlanggaran persefahaman oleh Red Carpet Worldwide,” ujarnya.

Takiyuddin menambah, beliau turut dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustafa Mohamad, bahawa Menteri Besar Kelantan, tidak dibenarkan untuk berucap dalam majlis berkenaan walaupun juga telah dipersetujui sebelumnya. Pada 5 Mei lalu, Exco telah bersetuju untuk menganjurkan program itu secara bersama antara kerajaan negeri dengan Red Carpet Worldwide dengan beberapa syarat.

Katanya, sebelum ini program berkenaan dirancang antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan Red Carpect yang bertindak sebagai event management.

“Antara syarat yang dipersetujui bersama antaranya majlis perasmian itu akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan, Muhammad Faris Petra.

“Yang keduanya, antara yang bakal berucap pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujarnya.

Katanya lagi, Pengerusi Jawatankuasa Induk juga telah melantik empat orang anggota Exco kerajaan negeri bagi mengurus program tersebut. Jelasnya, antaranya Haji Abdul Fatah Mahmud, Datuk Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, Dr Muhammad Fadzli Hassan dan beliau sendiri mengikut portfolio masing-masing.

Katanya lagi, keempat-empat Exco berkenaan juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk telah diberi tanggungjawab untuk mengangkat surat kepada Pemangku Raja untuk menjemput bagi merasmikan majlis berkenaan pada 16 Jun, iaitu malam ini.

“Alhamdulillah dua hari lepas, iaitu 14 Jun lalu saya telah menerima surat dari istana memaklumkan Pemangku Raja telah menyatakan persetujuan baginda untuk berangkat malam ini di stadium.

“Namun beberapa hari ini, kerajaan negeri mendapat maklum dan telah ditunjukkan bukti yang jelas pihak Red Carpet Wordwide tidak mematuhi persetujuan dan persefahaman yang telah dicapai bersama,” ujarnya lagi.

Katanya, jika Menteri Besar tidak berucap, kemungkinan pihak Red Carpet akan berucap bersama Perdana Menteri. Sehubungan itu, kerajaan negeri mengumumkan untuk menarik diri dari menyertai program berkenaan di mana semua pemimpin kerajaan negeri, para pegawainya juga tidak akan hadir malam ini.

Jelas Takiyuddin lagi, acara-acara yang bakal dipersembahkan malam ini melalui TIC seperti persembahan 1,000 pesilat, persembahan gendang besar, kejohanan bola sepak street soccer dan program di bawah majlis kerja raya juga ditarik balik. (Harakah/AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Nak masuk bilik rumah orang, janji nak ikut syarat tapi tak ikut. Biadap! Patut diterajang keluar ikut tingkap, baru tahu siapa dalangnya?

1 comment:

Anonymous said...

Langgar janji itu bukan budaya Islam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails