Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mahu semua anggotanya memberikan ketaatan dan wala' (kesetiaan) kepada parti dan pemimpinnya yang "menjalankan tugas sepanjang masa, bukannya bermusim".
Katanya, kesemua pemimpin tersebut - yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang termasuk ulama dan profesional - dipilih sendiri oleh ahli-ahli dalam muktamarnya tahun lalu.
"Adunan ini jugalah yang memperkasakan PAS untuk memimpin negara, dengan menolak jahiliyah sekularisma yang meminggirkan Islam dan memisahkan urusan dunia daripada Islam," katanya.
Berucap dalam muktamar ke-56 parti itu di Pengkalan Chepa hari ini, Abdul Hadi juga mengingatkan anggota dan pemimpinnya tidak terpedaya dan "hanyut bersama luncai di luar parti yang berkeliaran dengan labu-labunya".
"Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru," katanya di hadapan kira-kra 2,000 perwakilan dan pemerhati.
Sementara itu, menyentuh soal hubungan dalam Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata selepas beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, terutamanya di Sibu, telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerak kerja yang baik.
Bagaimanapun, tambah Adul Hadi (kanan) lagi, penyertaan parti Islam itu dalam gerakan politik Islam mewajibkannya meneruskan persaudaraan ukhuwah (persaudaraan) dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh.
"Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf (barisan) perjuangan Islam bersama PAS.
"Ukhwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab amal Islami yang syumul (lengkap) di segenap pelusuk negara," katanya. -Malaysiakini.com
Antaranya menyebutkan, "... Abdul Hadi juga mengingatkan anggota dan pemimpinnya tidak terpedaya dan "hanyut bersama luncai di luar parti yang berkeliaran dengan labu-labunya"..." Tiada pula disebutkan sebagai '...blog, 'luncai' luar parti...', seperti tajuk berita Malaysiakini itu. Kita hairan mengapa Malaysiakini memilih tajuk itu. Dari mana sumber MK dapat sehingga mengaitkan 'luncai luar parti itu ditujukan kepada blog-blog?
Begitu juga dengan petikan ini, "Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru," katanya..."
Kenyataan inipun masih belum menampakkan 'telatah luncai-luncai itu' adalah blog-blog. Apa tujuan Malaysiakini mengaitkannya?
Oleh: Blog Ibnu Hasyim
No comments:
Post a Comment