Saturday, June 12, 2010

Pertingkat Kebajikan Pemandu Teksi -Husam Musa

KOTA BHARU, 12 Jun 10: Kerajaan Negeri Kelantan bertanggungjawab memastikan kebajikan pemandu-pemandu teksi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya komited memastikan perkhidmatan untuk rakyat di pertingkatkan dari masa ke semasa.

Menurut beliau, kerajaan negeri berusaha membangunkan prasarana lebih baik termasuk melebarkan dan membaik pulih jalan raya untuk kemudahan rakyat. Oleh kerana itu katanya, Kelantan menuntut hak royalti minyak sebanyak RM2 bilion yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat.

"Jika kita dapat RM2 bilion ini, kita akan memberi lebih kebajikan dan kesejahteraan terhadap rakyat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-38 Persatuan Kebajikan Driver-Driver Kelantan. (PKDK) di Auditorium Mara dekat sini semalam. PKDK merupakan sebuah persatuan yang menggabungkan pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa seluruh Kelantan.

Husam berkata pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa turut bertanggungjawab untuk membantu mempromosikan program-program kerajaan. Antara program yang harus dipromosikan ialah Dinar Emas yang dilancarkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Husam juga mengingatkan pemandu-pemandu teksi, selain berusaha mempertingkatkan rezeki, mereka tidak harus lupa beribadah kepada Allah.

"Jika ada penumpang kita boleh pasang keset Tok Guru, berzikir dan sebagainya.

"Jika tidak ada penumpangpun, pemandu harus berzikir kepada Allah keran hanya dengan zikrullah, akan menenangkan hati," ujarnya.

Sebelum itu Pemangku Yang Di Pertua PKDK, Ismail Abdullah berkata persatuan tersebut ditubuhkan pada tahun 1961. Ia merupakan antara persatuan yang tertua di Kelantan, menggabungkan pemandu-pemandu dari 13 jajahan seluruh Kelantan. (2MA)

No comments:

Post a Comment