KL. JUN 23 10: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mantan menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim serta mufti Perlis Dr Juanda Jaya antara yang turut dikaitkan sama dengan 'Lingkaran Dr Asri, Wahabi, JI'. Malaysiakini, difahamkan, perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat anti-keganasan di Bukit Aman malam Isnin lalu yang melibatkan pegawai tertingginya diberikan penerangan tentang 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi, JI dan beberapa lagi pemimpin politik negara.
Dikatakan, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin didakwa memberikan penjelasan itu kepada pegawai yang hadir. Pembentangan Zamihan itu turut mengundang rasa gelisah di kalangan mereka. "Kami tidak mahu perkara ini bertukar kepada usaha pemburuan (pihak tertentu)," kata sumber yang hadir dalam program penerangan tersebut.
Difahamkan pada majlis yang dipengerusikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu, polis cuba menjelaskan ancaman JI terhadap Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Sementara itu, menurut Malaysiakini lagi, dalam perkembangan berkaitan difahamkan Umno, diketuai setiausaha kerjanya Datuk Ab Rauf Yusoh sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Dr Asri petang Isnin lalu di sebuah tempat yang tidak dinamakan di Lembah Klang.
Seorang ulama yang hadir pada pertemuan itu memberitahu, pertemuan dengan Ab Rauf dengan kira-kira 20 ulama itu bertujuan membincangkan mengenai pendirian mereka untuk menyertai Umno. Bagaimanapun, tambahnya, setakat ini ramai yang masih lagi belum membuat keputusan sama ada untuk memasuki Umno ataupun tidak. “Dalam perbincangan itu, Dr Asri memerlukan masa bagi berfikir untuk menyertai Umno," katanya.
Sumber berkenaan bagaimanapun menafikan mereka mahu mendapatkan 'perlindungan' dengan menyertai parti Melayu itu agar tidak dikaitkan dengan JI. "Kalau masuk Umno untuk selamatkan diri, (tetapi) orang yang langgar undang-undang, (pasti) kena juga (tindakan udang-undang)," katanya.
Menurut sumber itu, tindakan mengaitkan Wahabi dengan JI adalah isu yang lama. Justeru, beliau tidak faham kenapa ia ditimbulkan kembali. Isu selepas penahanan 12 warga asing dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan Dr Asri, di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) di Gombak Januari lalu.
Sementara itu Harakahdaily semalam menyebutkan, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mensyaki isu Jemaah Islamiah (JI) yang dibangkitkan pada waktu ini adalah usaha kerajaan Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran perbahasan rang undang-undang pindaannya di parlimen pada Julai ini.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kekeliruan mula timbul apabila isu 10 yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Januari lalu atas tuduhan pengganas antarabangsa dibangkitkan semula kini dengan tuduhan terlibat dengan JI.
Sembilan daripada yang ditahan enam bulan lalu itu, katanya telahpun dihantar pulang ke negara masing-masing tiga bulan lalu namun isu berkenaan kini dibangkitkan kembali.
"Banyak pihak termasuh GMI menimbulkan kecurigaan terhadap pendedahannya sekarang.
"Kita yakin ini adalah usaha pre-emptive kerajaan untuk menjustifikasi penggunaan dan pengekalan ISA," katanya pada sidang media GMI bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di parlimen hari semalam. (AK)
Jaga2 kerajaan BN dah mula mengamuk guna ISA....
ReplyDelete