Saturday, July 17, 2010

Cabaran Baru UMNO, Melayu Liberal, Melayu Alat..

'
KL JUL17 10: Kepelbagaian Melayu adalah antara cabaran baru yang perlu dihadapi Umno bagi memastikan parti itu terus kukuh di atas landasannya. Laporan Bernama.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata antara kepelbagaian Melayu itu termasuk wujudnya golongan "Melayu liberal" dan "Melayu alat."

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kangar hari ini, beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi bimbang jika cabaran itu tidak ditangani segera, ia akan menimbulkan masalah kepada parti dan orang Melayu.

Menurutnya, sikap golongan Melayu liberal bukan sahaja merugikan bangsa sendiri, tetapi ada di antara mereka yang tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Mereka (Melayu liberal) anggap perjuangan Melayu sebagai sudah ketinggalan zaman," katanya sambil menambah bahawa golongan itu tidak memikirkan masa depan bangsa sendiri kerana telah menikmati kehidupan yang selesa.

Beliau berkata Melayu alat pula adalah golongan yang sering terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu sehingga mudah diperalat tanpa memikirkan masa depan negara dan bangsa.

Mohd Puad berkata jika orang Melayu begitu mudah diperalat oleh mana-mana pihak yang ingin melihat kehancuran, ia akan menjadi ancaman kepada Umno.

Sehubungan itu, katanya, Umno perlu bergerak di atas semangat perjuangan yang tinggi dan berterusan. "Saya lebih suka menyebut moto "perjuangan" bagi Umno kerana ia lebih sesuai dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini", katanya yang mengaku taksub kepada perjuangan murni parti itu.

Terdahulu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang juga Ketua Umno Bahagian Kangar dalam ucapannya berkata, Umno perlu menjadi juara kepada perpaduan bagi menjana kemakmuran negara serta keharmonian rakyat berbilang kaum dan ia perlu menjadi contoh perpaduan itu. -Bernama (AK)

1 comment:

Anonymous said...

bukankah perubahan itu sunatullah? selama ratusan tahun, manusia lahir dan mati, bertemu, berperang, bersilaturahmi, berakomodasi dan berasimilasi, manusia bermigrasi dan berinteraksi dengan zaman-zaman dan peradaban sebelum dan selepas mereka. bagaimanapun, pak menteri melayu berphd tak habis-habis berkokok siang malam tentang liberalnya atau totoknya manusia melayu hari ini; kononnya bimbang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails