KL JULAI 12, 10:BEKAS mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa masyarakat Islam terbuka dalam menerima hakim wanita di mahkamah syariah kerana konteks dan keadaan semasa sudah berubah.
Katanya, apabila sesuatu keputusan itu dibuat, ia hendaklah mengambil kira keserasian antara teks (al-Quran dan Hadis) dan konteks dalam mengaplikasikannya.
"Barangkali, sebahagian pendapat silam itu, ada konteksnya yang tersendiri.
"Sedangkan kita hendaklah melihat isu-isu kehidupan ini dalam konteks yang semasa sebelum dipadankan dengan sesuatu nas atau teks yang barangkali lahir dalam konteks yang berbeza," katanya.
Beliau mengulas pelantikan dua hakim syarie wanita pertama negara - Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak - buat julung kalinya selepas mendapat perkenan Yang di-pertuan Agong pada Mei lepas.
Masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Mohd Asri menjelaskan kaedah penghakiman pada masa ini amat berbeza apabila hakim tidak lagi bergantung kepada ijtihad (mengeluarkan hukum sendiri) sendiri sepenuhnya, tetapi berasaskan kepada enakmen bertulis.
Tugas tak seberat mahkamah sivil. "Apatah lagi, mahkamah syariah di negara ini bukan untuk mengendalikan kes-kes jenayah berat yang mana itu berada di bawah mahkamah sivil.
"Ertinya, tugasan hakim mahkamah syariah di negara ini tidak seberat mahkamah sivil dan tidak sebeban hakim-hakim zaman dahulu.
"Jika bebanan hakim-hakim dahulu antara punca sebahagian sarjana mengharamkan mereka memegang jawatan tersebut, hal ini tidak wujud dalam konteks mahkamah syariah negara ini," katanya.
Selain itu, Dr Mohd Asri yang juga pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) berhujah, tujuan asas sesuatu penghakiman untuk mencari keadilan dan "bukannya soal gender".
"Jika lelaki pun tetapi tidak adil apa ertinya? Maka, yang mesti ditegaskan dalam hal ini adalah bagaimana hendak mencapai keadilan dalam hukuman. Itulah maqsad atau tujuan sesuatu penghakiman.
"Apakah jika wanita menjadi hakim akan menyebabkan kurang adil dari lelaki? Dari segi realiti hari ini ada wanita yang menjadi hakim di mahkamah sivil di negara ini bahkan di dunia seluruhnya.
"Apakah dengan jelas terbukti bahawa mereka tidak dapat bertindak secara adil? Jika tiada bukti, asas larangan dalam masalah ini adalah lemah," tambah Dr Mohd Asri. (Malaysiakini/AK)
No comments:
Post a Comment