▼
Friday, July 16, 2010
Kerjasama K'jaan, Nik Aziz Sedia Temui TPM
KL 16 JUL 10: Bernama melaporkan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia menemui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana-mana sahaja untuk berunding atas prinsip hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat dan bukannya untuk tujuan politik.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di Kota Bharu hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin sedia menemui beliau demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam, Nik Aziz berkata beliau tidak mahu berunding dalam erti kata hubungan politik dan perpaduan Islam kerana "soal politik, PAS sudah menutup pintu untuk berunding."
"Tapi kalau soal royalti, saya mahu pengerusi jawatankuasa pembangunan ekonomi, kewangan dan kebajikan, Datuk Husam Musa ada bersama," katanya.
Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno semalam berkata, Umno sedia menjalin kerjasama dengan PAS kerana Umno menyokong perjuangan agama Islam dan orang Melayu. Nik Aziz berkata sudah tidak ada peluang untuk berunding mengenai perpaduan antara PAS dan Umno kerana parti itu sudah membuat keputusan sejak dua tahun lalu selagi Umno tidak menukar dasarnya.
"Masalah perpaduan Islam dan bangsa Melayu akan selesai jika Umno sedia menukar dasarnya daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam," katanya. (AK/Bernama.)
No comments:
Post a Comment