Tuesday, July 20, 2010

Masalah Seks Punca Penceraian -PGSM

KL, 20 JUL 10: Perkara-perkara yang berkaitan dengan seks menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menjadi antara punca utama menyebabkan perceraian di kalangan pasangan beragama Islam.

Timbalan Presidennya Musa Awang mengakui pemerhatian mereka terhadap kes-kes yang dibawa ke mahkamah menunjukkan masalah berkaitan dengan seks menjadi antara punca mengapa pasangan mengemukakan permohonan mahu mengakhiri rumah tangga mereka.

Musa menjelaskan perkara itu berlaku kerana kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri. Selain itu jelas beliau, ketiadaan zuriat juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga.

“Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi,” katanya.

Sebenarnya punca masalah adalah kecil tapi bila masing-masing tidak duduk berbincang, ia sukar untuk dipulihkan, kata Musa ketika ditemui media baru-baru ini. Katanya, antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar. Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan perangkaan pecahan punca yang membawa kepada masalah bercerai.

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan. Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan, terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta didera.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

Kajian dibuat syarikat Pfizer pada 2008 menunjukkan 57 peratus lelaki dan 64 peratus wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka. Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73 peratus wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62 peratus lelaki turut dikatakan tidak puas.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.

Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Mengulas lanjut isu ini, Musa berkata apabila masalah tersebut tidak diselesaikan ia boleh menyebabkan pasangan terjerumus dalam fenomena berlakunya curang.

“Bila pasangan gagal mencari jalan penyelesaian ia boleh menjurus kepada berlakunya curang yang mana mempunyai kekasih gelap.

“Jadi apabila pasangan berlaku curang sudah tidak ada kepercayaan dan ia menjurus kepada penceraian.

“Selain itu, hubungan seks hambar itu juga disebabkan berlakunya berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di negara ini lebih mengutamakan kerjaya daripada kehidupan berkeluarga,” katanya.

Justeru, Musa berharap pelantikan dua hakim wanita syarie oleh Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini dapat membantu dalam menyelesaikan kes-kes yang melibatkan kekeluargaan dan cerai.

“Saya melihat pelantikan kedua-dua hakim wanita itu bagus untuk membawa kes-kes yang melibatkan kekeluargaan dan juga cerai.

“Ini kerana mereka mempunyai banyak pengalaman memandangkan mereka sebenarnya sudah lama bertugas sebagai pegawai penyelidik di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

“Jadi sudah pasti mereka mempunyai pengalaman yang luas,” katanya.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. (The Malaysian Insider/AK)

4 comments:

armouris said...

info tentang seks di SIHAT SELALU - Orgasma Pengukur Kepuasan Seks

ahmed said...

Timbalan Presidennya Musa Awang mengakui pemerhatian mereka terhadap kes-kes yang dibawa ke mahkamah menunjukkan masalah berkaitan dengan seks menjadi antara punca mengapa pasangan mengemukakan permohonan mahu mengakhiri rumah tangga mereka.

ali said...

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

zaid said...

Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi,” katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails