Tuesday, July 20, 2010

Matahari, Bulan & Bintang, Tentukan Kiblat -Prof Dr Mohd Zamri

SHAH ALAM, 19 Julai 10: Umat Islam bukan sahaja boleh menggunakan matahari sebagai panduan arah kiblat malah bintang dan bulan juga boleh digunakan untuk tujuan tersebut dengan syarat mereka mengetahui caranya.

Dalam gugusan bintang, terdapat satu buruj yang dikenali sebagai Orion berkedudukan tiga berderet dengan jelas menunjukkan arah kiblat.

Pensyarah Kanan Jabatan Fizik, Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Zambri Zainuddin menjawab soalan ketika memberikan informasi tentang tatacara cerapan angkasa yang diadakan di Dataran Kemerdekaan dekat sini, malam semalam.

Dalam taklimat ringkas menggunakan alat audio visual itu, Prof Dr Zambri bercakap khusus tentang Penerokaan Cakerawala Melalui Sains Astronomi yang turut dihadiri Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Menurutnya, program itu diadakan sempena sambutan 10 Tahun Falak Selangor dan Konvensyen Falak Selangor 2010 dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kelmarin.

Warga Shah Alam khususnya mengambil peluang itu untuk mencerap angkasa dengan menggunakan tujuh teleskop yang berbagai saiz namun hanya berpeluang sekitar satu jam awal sahaja kerana keadaan malam yang diselimuti awan tebal melindungi bulan dan planet lain.

Memulakan ucapannya, Dr Zambri membaca surah Al-An'am ayat 97 bererti “Dan Dialah (Allah) yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu agar kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan malam di darat dan laut. Sesungguhnya Kami (Allah) telah jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui”.

Dalam pada itu, Dr Zambri juga menyatakan Falak Malaysia telah dapat mencipta satu rekod baru di mana berjaya merakam objek anak bulan Syaaban berusia 16 jam yang sebelum ini rekod 19 jam dipegang oleh warga Arab.

Sementara itu, ujarnya, astronomi memberi takrifan bintang ialah seunit jasad berjisim 0.08 hingga 200 kali jisim matahari yang dapat melakukan penghasilan tenaga melalui tindak balas nuklear secara lakuran (fussion reaction).

Menurut spektrumnya, bintang diklasifikasikan menjadi tujuh kelas utama yang mana ia turut menunjukkan suhu, warna dan komposisi kimia.

Bintang yang terdekat dengan bumi ialah matahari yang mana jarak puratanya 150 juta km (0.3 minit kelajuan cahaya) dan bintang terdekat dengan matahari pula ialah Proxima Centauri yang berjarak 35 X 10 kuasa 12 km (4 tahun cahaya).

Planet Marikh pula hampir sama dengan bumi di mana sistem masanya juga 24 jam 37 minit 22 saat namun suhu puratanya adalah 218K bersamaan -55 darjah celcius yang menyukarkan manusia hidup di sana.

Dr Zambri juga menyatakan terdapat sebuah Gunung Olympus di Marikh yang merupakan gunung tertinggi dalam sistem suria dengan ketinggian 24 km dan luas kawahnya pula 500 km sedangkan tinggi Gunung Everest di bumi hanya 8,848 meter.

Bercakap tentang Balai Cerap Astronomi di Unversiti Malaya, Dr Zambri berkata, UM merupakan satu-satunya universiti yang memiliki kemudahan astronomi dan fizik angkasa paling lengkap, terkini dan canggih di Malaysia.

Di dalam Kompleks Balai Cerap UM yang mula beroperasi pada 2005, terdapat Balai Cerap An-Najm untuk bintang dan Balai Cerap As-Syam untuk matahari. (Harakahdaily net/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails