Friday, July 30, 2010

M'sia-S'pura Bincang Penempatan KTMB -Bernama


KL.JUL 30 10: Pegawai-pegawai kanan Malaysia dan Singapura bertemu di Kuala Lumpur pada hari Selasa dan Rabu bagi membincangkan dengan lebih lanjut Perkara-perkara Yang Dipersetujui (PoA) berhubung tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Wisma Putra semalam, Menteri Luar Datuk Sri Anifah Aman dan rakan sejawatannya George Yeo berkata pertemuan itu adalah yang pertama selepas persetujuan mengenai perkara itu dicapai kedua-dua pemimpin negara Mei lepas.Semasa Permukiman Pemimpin di Singapura pada 24 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong bersetuju mengambil langkah bagi menggerakkan isu-isu dalam PoA berhubung tanah milik KTMB itu.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Mohd Isa manakala Singapura oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya Peter Ho.

Susulan pertemuan itu, dua jawatankuasa kecil ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil mengenai Penempatan Semula Stesen Kereta Api KTMB dan Jawatankuasa Kecil
Penubuhan M-S Pte Ltd.

Kedua-dua pihak mengulangi komitmen masing-masing bagi melaksanakan sepenuhnya persetujuan yang dicapai dalam Kenyataan Bersama pada 24 Mei, iaitu penempatan semula stesen kereta api KTMB dari Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP), penempatan kemudahan bersama kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta api di WTCP, dan penubuhan M-S Pte Ltd.

Menurut kenyataan itu kedua-dua pihak gembira dengan kemajuan yang dicapai Pasukan Pelaksanaan Bersama dan bersetuju bahawa pertemuan seterusnya akan diadakan hujung Ogos ini di Singapura.

Kedua-dua negara juga berbincang mengenai pelaksanaan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir
Selatan.

Ini merupakan pertemuan keempat membabitkan Jawatankuasa Teknikal Bersama yang menyaksikan kedua-dua pihak mengulangi komitmen masing-masing untuk menghormati serta mematuhi keputusan ICJ selain melaksanakan keputusannya.

Jawatankuasa bersama itu menyemak kerja Jawatankuasa Kecil megenai Kerja-Kerja Ukur Bersama dan Jawatankuasa Kecil mengenai Maritim dan Pengurusan Angkasa Lepas serta Perikanan.

Ia turut memuji Jawatankuasa Kecil mengenai Kerja Ukur Bersama yang selesai merangka memorandum persefahaman mengenai ukur hidrografi bersama di dalam dan di sekitar Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang perlu melalui proses kelulusan dalaman kedua-dua negara.

Pada Mei 2008, ICJ di The Hague, Belanda menganugerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada Singapura, manakala Batuan Tengah dan Tubir Selatan diberikan kepada Malaysia.
Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails