Thursday, July 15, 2010

Xinjiang, Melihat Titik Hitam Dari Langit

CATATAN PERJALANAN CHINA 5
Depan sekali, YB Abdul Latif Abd Rahman Timb Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan, NGO Negeri Kelantan, dalam penerbangan dari Beijing ke Urumqi.

Memasuki negeri Xinjiang, dari udara..

BURUNG besi China Airline berlepas terbang dari Bandar Beijing menuju ke Bandar Urumqi. Kami rombongan delegasi Kerajaan Negeri Kelantan berada di dalam perutnya.

Rombongan di ketuai oleh YB Dato Haji Husam Musa bagi mempromosikan suatu acara besar. Iaitu, Pameran Laksamana Cheng Ho dan Perdagangan Antarabangsa China yang akan berlangsung di Kota Bharu pada 5-10 Oktober tahun ini. Turut bersama rombongan ini ialah YB Tuan Haji Zulkifli Mamat yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Kerajaan Negeri dan YB Abdul Latif Abd Rahman Timb Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan, NGO Negeri Kelantan.

Kebetulan saya duduk di sebelah YB Abdul Latif. Teringat sewaktu mula bertemu dengannya di airport KLIA semasa diperkenalkan. "Oh, Ibnu Hasyim. Saya kenal lama, baru saya bertemu penulisnya sekarang, sudah banyak kali khatam buku sejarah PAS yang kamu tulis ('1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?' -Terbitan GG Edar 1993), sejak saya di universiti lagi!"

Lepas itu bila ada kesempatan, kami berbincang beberapa perkara dalam politik tanah air, terutamanya mengenai PAS. Kini penerbangan menuju Urumqi.

Urumqi adalah ibukota Xinjiang. Xinjiang (Tionghoa: 新疆; pinyin: Xīnjiāng; Wade-Giles: Hsin1-chiang1; Uighur: شىنجاڭ), adalah nama lengkap 'Daerah Otonomi Uighur Xinjiang'. Yakni sebuah daerah otonomi di Republik Rakyat Cina. Xinjiang bersempadan dengan Daerah Otonomi Tibet di sebelah selatan, dan Qinghai serta Gansu di tenggara. Juga bersempadan dengan Mongolia di sebelah timur. Rusia di utara, serta Kazakhstan, Kirgizia, Tajikistan, Afganistan, dan Kashmir di barat. Xinjiang juga mencakup sebagian besar wilayah Aksai Chin — dituntut oleh India sebagai sebahagian dari Negara Jammu dan Kashmir.

"Xinjiang" secara harfiah bermakna 'Sempadan Baru' atau 'Daerah Baru'. Nama yang diberikan semasa Dinasti Mancu. Nama perli, atau dianggap sebutan sinis menyakitkan hati pejuang kemerdekaan Xinjiang yang lebih condong guna nama lokal bersejarah dan beretnik seperti Turkestan Cina, Turkestan Timur atau Uighuristan. Kerana tiga nama itu oleh suku Han menganggapnya sebagai penentang.

Saya terus merenung, melihatnya melalui jendela pesawat, tanah gersang, kering kontang melintasi padang pasir dan memandang gambaran yang jauh.. tapi dengan ilustrasi yang lebih dekat.

Kehidupan padang pasir di bumi China..

"Bersempadan dengan sebelah barat laut Cina, dan seperti halnya wilayah Tibet, Xinjiang menjadi hal mutlak yang sangat penting bagi keamanan negara," kata Wenran Jiang, seorang pakar asal Cina dari Universitas Alberta, kepada AFP kira-kira setahun lalu selepas berlaku rusuhan kaum di Arumqi. "Beijing tidak akan berkompromi dengan cara apapun terhadap wilayah ini."

Mencakup lebih dari 1.6 juta km persegi, Xinjiang mengambil 1/6 dari seluruh wilayah Cina. Daerah bergurun pasir dan bergunung serta sedikit penduduknya menjadi daya tarik tersendiri bagi wilayah tersebut kerana perlombongan, pertanian serta energi. Negeri Xinjiang menjadi wilayah kaya dengan sumber daya dan menjadi pengeluar minyak kedua terbesar di China menghasilkan minyak 24.7 juta tan.

"Dengan penurunan cadangan di Heilong Jiang dan Shandong, Xinjiang menjadi wilayah dengan pertumbuhan yang sangat strategik setiap tahun," kata Ren Xianfang seorang penganalisis di IHS Global Insight.

Xinjiang menjadi wilayah bergolak sejak pasukan keamanan pemerintah komunis Cina diturunkan ke wilayah tersebut secara besar-besaran untuk bertindak keras terhadap Muslim Uighur yang melakukan demonstrasi menentang penindasan dan diskriminasi di wilayah itu. Dikatakan, sedikitnya 184 orang menurut versi pemerintah, terbunuh dan ribuan lainnya ditahan dalam rangka pengamanan yang dilakukan pasukan keamanan Cina.

Penduduk asli Xinjiang berasal dari ras-ras Turki yang beragama Islam, terutama suku Uighur (45.21%) dan suku Kazakh (6.74%). Selain itu, di Xinjiang juga terdapat suku Cina Han, yang berjumlah sekitar 40.58%. Peratus suku Han di Xinjiang meningkat secara drastis dari 6% sejak tertubuh Republik Rakyat Cina (1949) hingga lebih dari 40% pada masa ini.

Xinjiang telah berkembang pesat sejak tahun 80an, yang akhirnya menarik gelombang imigran dari etnik Han ke wilayah tersebut, hidup berdampingan dengan etnik Muslim Uighur. "Sangat sedikit etnik Uighur yang bekerja di industri minyak disana," kata Jean Fran Ois Huchet, pengarah dari pusat kajian Prancis pada Cina kontemporer di Hongkong.

"Penduduk Muslim Uighur telah terjebak dan terkurung di daerah desa dalam sistem pertanian yang sangat sedikit memiliki nilai tambah," kata Jean lagi. Namun ada beberapa wilayah yang menghasilkan kapas, mereka berjuang untuk memperoleh kemajuan dalam bidang ekonomi.

Suasana tenang damai di perkampungan Xinjiang, walaupun berada dicelah-celah pergunungan pasir dan batu pejal. Bayangkan bagaimana padang pasir dihijaukan.

Daerah ini dikuasai oleh kelompok tentera Bingtuan, menguasai wilayah pertanian yang sangat luas. Mempekerjakan lebih dari 2.2 juta pekerja yang ramainya etnik Han. Menyebabkan Etnik Uighur yang minoriti, berbahasa Turki lebih dari 8 juta penduduk, telah menganggap pemerintah mengerahkan, memindahkan jutaan etnik Han di wilayah mereka dengan tujuan akhir memusnahkan identiti dan kebudayaan mereka.

Mereka juga menyebut projek baru pemerintah mahu menerapkan pengajaran bahasa Mandarin di sekolah-sekolah Xinjiang, menggantikan dialek lokal mereka. Bukan itu sahaja, Xinjiang juga menjadi wilayah tempat kerajaan Cina melaksanakan uji-coba nuklier bawah tanah selama beberapa dekad. Menjadikan wilayah itu sebagai tempat strategik, apa lagi bila dilihat dari segi geopolitik Cina, kerana berbatasan dengan 8 negara, termasuk Afghanistan dan Pakistan, yang Cina anggap sebagai ancaman utama mereka.

Ku renung-renung lagi..

Masih terungkap kisah, walaupun sudah setahun berlalu.. (Lihat Urumqi, Kota Istimewa Di China?). Diberitakan, rasa sangsi dan curiga masih menebal di kalangan penduduk Islam Uighur dengan penduduk kaum Han di bandar Urumqi, wilayah Xinjiang. Bukan seperti peristiwa 13 Mei 1969 di Malaysia, yang sudah ditelan zaman.

"Kawalan keselamatan bagus sekarang tetapi dalam hati saya tetap bimbang. Perasaan itu masih belum luput." kata seorang penduduk kaum Han, Encik You Jia.

Menurut satu sumber lagi, Urumqi, ibu negeri wilayah Xinjiang, menyaksikan keganasan pada 5 Julai tahun lalu apabila etnik minoriti Uighur meluahkan rasa marah mereka selama berdekad-dekad berhubung pemerintahan China di wilayah itu dengan bertindak menyerang etnik majoriti Han. Beberapa hari kemudian, kumpulan penunjuk perasaan Han yang berang membalas dendam keluar ke jalan-jalan mencetuskan kekacauan etnik terburuk di China bagi tempoh beberapa dekad.

Pergolakan itu meragut hampir 200 nyawa dan mengakibatkan 1,700 yang lain cedera. Sejauh ini, 26 orang telah dijatuhi hukuman mati kerana terlibat dalam rusuhan itu. Apa yang lebih ketara ialah insiden itu menonjolkan keretakan dalam hubungan etnik di wilayah itu. Kerana itu, selepas rusuhan tahun lalu, China telah melancarkan beberapa dasar yang diharap dapat membantu wilayah Xinjiang, yang kaya dengan sumber gas dan minyak, mencapai stabiliti dan pembangunan.

Pemerintah memaklumkan akan menghantar bantuan pembangunan berjumlah 10 bilion yuan ($1.02 bilion) ke wilayah itu bermula 2011 sebagai cubaan untuk menaik taraf kehidupan etnik Uighur dan menghapuskan perasaan tidak puas hati. Para pemimpin China juga menekankan semua kumpulan etnik dilayan dengan sama rata.

Dasar pemerintah memindahkan penduduk Han ke wilayah Xinjiang telah menyebabkan jumlah golongan itu meningkat daripada lima peratus dalam 1940 an kepada lebih 40 peratus sekarang. Awal tahun ini, pemerintah wilayah malah mengumumkan langkah untuk merancakkan pengambilan pekerja di Xinjiang. Ini termasuk menetapkan semua perniagaan dan projek menggajikan lebih ramai pekerja daripada etnik minoriti. Meskipun demikian, penduduk setempat Uighur berkata undang-undang ini tidak selalu dipatuhi.

Di sebalik usaha pemerintah untuk meredakan rasa tidak puas hati kaum etnik Uighur, penduduk etnik Han pula yang marah. Mereka mendakwa penduduk Uighur diberi keistimewaan yang tidak adil, semata-mata ekoran status minoriti mereka. Antara lain, penduduk Uighur dikatakan diberi kelonggaran bagi dasar perancangan keluarga yang membenarkan setiap pasangan mempunyai hanya seorang anak.

Selang setahun rusuhan keganasan etnik terburuk dalam tempoh beberapa dekad di negara itu, pemerintah China telah memasang 40,000 kamera pemantau definisi tinggi di Urumqi. Kamera keselamatan 'tahan rusuhan' dipantau polis di lebih 4,000 lokasi umum termasuk di jalanan, bas, sekolah dan pusat beli-belah. Itulah yang terjadi.

Tiba-tiba YB Ustaz Abdul Latif yang disebelahku bangun berdiri menjenguk ke tingkap, "Masya Allah. Lihat awan bagaikan salji yang memutih, beriringan dengan pesawat.. Hebatnya keagungan Allah.. Allahu Akbar!"

Ada yang menyambut, "Allahu akbar!"

Subhanallah, semuanya dalam penglihatan Allah, walaupun seekor semut hitam, merayap di atas batu hitam, di malam gelap pekat yang hitam... Apalagi dalam usaha membersihkan titik hitam di negeri Xinjiang, dalam negara 'tirai bambu' yang mempopularkan Laksamana Cheng Ho, hingga berkesinambungan ke Negeri Cek Siti Wan Kembang.

Titik hitam yang dilihat dari langit.. dari agama langit, menjemput anda, pendakwah dan mujahidin-mujahidin ke sana. Allahu 'aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan China 5
alamat e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com
KL
Julai 14, 2010.

Sila lihat..

1 comment:

Anonymous said...

Melalui contoh yg baik, puak Han akan masuk Islam...dan akan berdamai.

Sewaktu tidak berkuasa penuh: 1.Eloklah Semarakkan Dakwah.
2.Kekerasan akan hanya menarik keganasan.

Dakwah menyatukan kita, tak kira bangsa dan puak.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails