Saturday, August 07, 2010

2 Bangkai Pesawat Malaysia Dijumpai Di Aceh?

Aceh pandangan dari atas pesawat..

JAKARTA OGOS 7 10:
Pasukan Polis dari Aceh Besar sudah memasuki hutan sejak empat hari lalu bagi mencari bangkai pesawat yang dikatakan dikesan di kawasan pergunungan Aceh Besar baru-baru ini, yang dikaitkan dengan pesawat dari Malaysia yang hilang di Aceh lebih 20 tahun lepas.

Pegawai Perhubungan Awam Polis Aceh, Pesuruhjaya Kanan Farid Ahmad Saleh berkata, pasukan mencari itu kini sedang menuju ke lokasi di Pergunungan Bukit Barisan, namun pihaknya belum dapat memberi kepastian sama ada pesawat itu sememangnya dari Malaysia atau tidak dan sama ada terdapat kerangka manusia di dalamnya.

Maklumat yang diterima berhubung penemuan bangkai pesawat itu bercanggah daripada data yang ada, termasuk lokasi ia ditemui, yang sebelum ini dikatakan di Pergunungan Leuser di wilayah Aceh Tenggara.

Ada maklumat juga bahawa ia bangkai pesawat kecil pengangkut logistik, yang mungkin terhempas pada tahun 2006, namun semua maklumat itu belum dapat dipastikan sehingga pasukan mencari memberi laporannya.

"Perjalanan ke sana memakan waktu sekitar tiga hari perjalanan darat dan sampai saat ini belum kembali lagi. Kawasan itu juga sukar mendapat signal telekomunikasi sehingga kami tak ada komunikasi apapun dengan pasukan di lapangan," katanya.

Polis melancarkan usaha mencari lokasi itu setelah ada laporan bahawa penduduk tempatan yang mencari kayu di hutan berkenaan dikatakan menemui sebuah bangkai pesawat beserta kerangka manusia di dalamnya.

Polis sehingga ini belum dapat menentukan kebenaran laporan oleh penduduk tempatan itu.

Keterangan Farid hari ini turut menyangkal laporan sebelum ini yang mengatakan bangkai pesawat itu dikesan dari udara oleh polis tempatan. Pegawai perhubungan awam itu berkata keadaan hutan yang tebal tidak memungkinkan bangkai pesawat itu boleh dikesan dari udara, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang agak buruk di kawasan itu pada masa ini.

Beliau juga menafikan bahawa Ketua Polis Aceh Besar Agus Susanto telah memberi maklumat seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan dua hari lalu, yang turut mengaitkan pesawat dari Malaysia dengan penemuan bangkai pesawat itu.

"Saya sudah memberitahu Ketua Polis Aceh Besar, beliau membantah telah memberi kenyataan dan data seperti dalam akhbar itu, dan sampai saat ini Ketua Polis Aceh Besar belum bersedia memberikan kenyataan kerana memang belum ada kejelasannya," kata beliau.

Akhbar tempatan itu sebelum ini melaporkan bahawa bangkai pesawat itu ditemui oleh polis beserta kerangka manusia di dalamnya.

Ia turut memetik kenyataan seorang pegawai lapangan terbang Polonia Medan mengenai beberapa pesawat dari Malaysia yang dilaporkan hilang di Aceh pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Di KUALA LUMPUR, Jabatan Penerbangan Awam sedia bekerjasama dengan Polis Indonesia sekiranya bangkai pesawat yang ditemui di pergunungan Aceh Besar Selasa lepas disahkan pesawat Malaysia yang dilaporkan hilang lebih 20 tahun lalu.

Timbalan Pengarahnya Idros Abdul Rahman berkata kerjasama itu meliputi penyediaan dokumen berkaitan seperti rekod pesawat serta menghantar pegawainya ke sana bagi membantu siasatan.

"Status mengenai pesawat tersebut masih samar-samar dan kami belum lagi dapat apa-apa laporan daripada pihak berkuasa sana, tetapi jabatan akan cuba bantu dan bekerjasama dengan mereka sekiranya bangkai pesawat itu adalah sah milik Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berdasarkan rekod, dua pesawat dari Malaysia dilaporkan terhempas di Aceh iaitu sebuah pesawat kecil Twin Otter pada tahun 1989 dan sebuah pesawat Skyvan pada tahun 1993, yang dikatakan belum ditemui kerana pesawat berkenaan dipercayai terhempas dalam hutan tebal.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment