Monday, August 09, 2010

Abu Bakar Ba'ashir Ditahan Lagi.

Abu Ba'ashir berkata beliau tiada kaitan dengan kumpulan militan seperti didakwa. — Gambar Reuters

JAKARTA, 9 Ogos 10: Polis antikeganasan Indonesia hari ini menahan ulama terkenal Abu Bakar Ba'ashir ekoran dakwaan hubungan beliau dengan kem-kem latihan puak militan Islam di Aceh. Penahanan itu dibuat dua hari selepas unit D88 menangkap dua orang yang dipercayai mahu menyerang Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketua unit antipengganas Ansyaad Mbai memberitahu Reuters, polis mempunyai bukti kukuh yang Abu Bakar ada hubungan dengan kem-kem latihan di wilayah Acheh, yang merancang untuk melakukan serangan ke atas pemimpin mereka.

Abu Bakar adalah ketua kumpulan radikal Jemaah Ansharut Tauhid (JAT) dan pengasas madrasah al-Mukmin di Ngruki, Solo yang melahirkan beberapa graduan yang kemudian terbabit dalam serangan pengganas di Indonesia.

International Crisis Group yang berpejabat di Brussels dalam laporannya bulan lalu mendakwa kumpulan berkenaan terbabit dalam komplot keganasan yang berjaya digagalkan oleh polis. Pada Mei lalu, Abu Bakar, yang pernah didakwa berperanan sebagai ketua kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI), menafikan penglibatannya dengan sekumpulan suspek militan yang ditahan dalam beberapa serbuan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Ketika itu, media tempatan melaporkan, beberapa suspek yang ditahan pada Mei lalu berhubung penemuan sebuah kem latihan militan di wilayah Aceh tiga bulan sebelum itu, mempunyai kaitan dengan JAT pimpinan Abu Bakar. Semua suspek itu dilapor telah ditahan pada 6 Mei dalam satu serbuan antikeganasan di sebuah bangunan di selatan Jakarta yang digunakan sebagai pangkalan JAT, kumpulan yang diasaskan oleh Abu Bakar pada 2008.

Bagaimanapun, Abu Bakar memberitahu akhbar Indopos bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan militan seperti yang didakwa.

“Saya telah dianiaya. Saya tidak tahu dan tidak terlibat dengan sebarang pergerakan serta latihan di Aceh.

“Dari segi organisasi dan aktiviti, JAT berbeza dengan kumpulan-kumpulan pengganas di Aceh. Tetapi JAT masih dikaitkan dengan pergerakan militan,” katanya seperti yang dipetik akhbar terbabit.

Penemuan kem latihan di Aceh Februari lalu membawa kepada operasi serbuan antikeganasan di seluruh negara ini. Abu Bakar sebelum ini pernah dipenjarakan kerana menjalin hubungan dengan JI, namun beliau kemudian dibebaskan.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia Inspektor Jeneral Edward Aritonang berkata Abu Bakar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan pengganas termasuk merancang latihan ketenteraan untuk kumpulan pengganas di Aceh.

Ulama yang sering dikaitkan dengan kejadian bom Bali pada suatu ketika dulu itu, ditahan di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat pada pukul 8.15 pagi ini dan sedang dibawa ke Markas Besar Polis Indonesia di sini untuk disoal siasat.

Hasil siasatan polis mendapati Abu Bakar berperanan aktif menyiapkan rancangan awal latihan ketenteraan bagi kumpulan pengganas di Aceh, menentukan pelantikan beberapa orang sebagai pemimpin kumpulan pengganas, merestui dan mendanai kegiatan latihan kententeraan itu.

“Beliau mengetahui semua rangkaian latihan dan rancangan yang berlangsung di Aceh kerana beliau secara rutin mendapat laporan-laporan daripada pengelola lapangan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Besar Polis Indonesia di sini.

Seperti diberitakan bahawa Abu Bakar Ba’asyir ditangkap pagi jam 8 bersama rombongan yang sedang bertolak dari Cimahi menuju Solo. Rombongan terdiri dari dua kereta, kijang krista yang ditumpangi Abu Bakar Ba’asyir dan isteri, dan kereta terrano hitam yang ditumpangi staf Abu Bakar Ba’asyir.

Sejumlah khabar menyampaikan bahwa Abu Bakar Ba’asyir berkunjung ke Jawa Barat dalam rangka mengisi ceramah di Cimahi yang bertema tentang tarhib Ramadhan. Kerana larut malam dan keadaan pimpinan Pesantren Al-Mukmin Ngeruki ini cukup kepenatan, akhirnya staf beliau memutuskan untuk berangkat ke Solo keesokan harinya.

Dalam perjalanan pulang inilah, Abu Bakar Ba’asyir dan rombongan ditahan team Antiteror Densus 88. Dalam penangkapan itu, salah satu cermin kereta rombongan pecah. (AK)

2 comments:

Anonymous said...

good points and the details are more specific than somewhere else, thanks.

- Thomas

Anonymous said...

last week our class held a similar talk about this topic and you show something we haven't covered yet, thanks.

- Kris

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails