Thursday, August 12, 2010

Bagaimana Kelantan Menyambut Ramadhan?

KOTA BHARU, 12 Ogos 10: Malam pertama solat terawih di Qaryah Ramadhan di sini menyaksikan khemah solat penuh dengan para jemaah yang seperti ternanti-nanti untuk bersama mengimarahkannya sempena program Ihya Ramadhan di Serambi Mekah bagi tahun 1431 Hijrah.

Program Ihya’ Ramadhan di Serambi Mekah adalah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan Qaryah Ramadhan dan dihoskan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri dalam ucapannya pada malam tersebut mengalu-alukan kedatangan para pengunjung dan para jemaah.

Beliau juga turut memperkenalkan dua orang imam dari Mesir (gambar di atas) yang akan mengimamkan solat di Qaryah Ramadhan iaitu Syeikh Rejab Saad Yaasin (imam tahun sebelumnya) dan Syeikh Ahmad Ramadhan Ayyub Muosa yang akan menjadi imam dua.

Menyentuh kedatangan kali ketiga Syeikh Rejab di Kelantan, Takiyuddin menyebut bahawa beliau juga menerima undangan untuk menjadi imam solat terawih di beberapa negara lain dengan tawaran bayaran yang berlipat ganda, tetapi ditolak semata-mata untuk bersama rakyat Kelantan.

Khemah solat tahun ini diperbesarkan lagi mampu menampung 2,000 jemaah untuk satu-satu masa. Manakala ketika adanya acara-acara besar, Qaryah Ramadhan akan dipenuhi lebih 5,000 jemaah. Tuan Guru Datuk Menteri Besar Kelantan akan merasmikan Qaryah Ramadan pada 3 Ramadhan ini.

Takiyuddin juga menyebut beberapa acara besar yang baru akan diadakan di Qaryah Ramadhan di samping acara-acara rutin iaitu Majlis Tilawah Al Quran antara pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT) pada 4 hingga 7 Ramadhan. Majlis Khatam Al Quran melibatkan 3,000 orang pula akan dilangsungkan pada 20 Ramadhan.

Sehubungan dengan itu MPKB-BRI akan menyediakan naskah Al Quran dengan cara sumbangan wakaf. Manakala pada malam di ambang kemerdekaan akan diadakan bacaan 1,000 Yaasin di samping forum Badar Qubra dan persembahan nasyid di mana Pemangku Raja Kelantan dijangka akan berangkat. (Harakahdaily.net)

1 comment:

sot said...

Alhamdulillah. Teruskan usaha memartabatkan Islam. Semoga Allah limpahkan rahmat dan keberkatan. Amiin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails