Saturday, August 14, 2010

Farah Diana: Bertudung Hijrah Imej, Cukupkah?

HALAMAN HIBURAN

AL-HAMDULILLAH, pada asalnya niat mahu bertudung sudah lama disimpan. Dia merancang untuk berubah atau berhijrah ke imej bertudung selepas berkahwin dan memiliki anak pertama. Namun tidak sangka pula, pintu hatinya kini sudah terbuka luas untuk bertudung lebih awal daripada jangkaan, malah sebelum dia berkahwin lagi.

Itulah takdir yang dialami Farah Diana Anuar yang lahir dari program realiti TV popular, Akademi Fantasia musim kedua (AF2). Program yang melahirkan ramai wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Program yang mengajar remaja jauh dari cara hidup beragama. Kerana, aurat wanita, bukan hanya menutup rambut sikit-skit sahaja. Bahkan melibatkan nampak bentuk tubuh badan walaupun bertutup, atau suara yang membangkit syahwat lelaki.

Ditambah pula dengan lagu yang melalaikan dari tanggung jawab agama dan pembangunan negara. Apalagi bila dia terkenal dengan kelincahannya ketika menyanyi di pentas. Walaupun begitu Farah ternyata yakin dengan penghijrahan imejnya untuk menjadi muslimah lebih baik dan doanya agar perubahan yang dilakukan ini diperkenankan Allah SWT.

Malah bagi gadis berusia 25 tahun itu, perubahan imejnya hari ini bertepatan dengan hasrat sucinya memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri yang masih belum memadai itu. Berkongsi cerita detik permulaannya mengenakan tudung, niatnya itu terbuka selepas menjalani penggambaran di Kemboja bagi program Rasa Halal Orient, menerusi saluran Astro Oasis, seperti yang didedahkan oleh Kosmos! Online hari ini.

Sekembalinya ke Kuala Lumpur, Farah berubah imej menjelang 11 Julai lalu.

“Ketika berada di Kemboja, saya bersama krew Rasa Halal Orient telah berkunjung ke sekolah tahfiz di Pusat Islam Kemboja.

“Di sana, budak-budak remaja menghafal al-Quran. Bukan itu sahaja, mereka juga mempelajari ilmu dunia dan agama.

“Tapi apa yang menyedihkan saya ialah apabila melihat hidup mereka yang serba kekurangan. Mereka ada kipas angin, tapi tidak berfungsi. Baju tidak bergosok dan lampu pun tak ada kerana tiada bekalan elektrik.

“Paling menyayat hati, mereka hanya makan nasi berlaukkan sup sayur dalam talam dan makan beramai-ramai. Air mata saya hampir menitis, tetapi memandangkan saya sedang bekerja, saya tahankan sahaja. Bimbang pula tidak fokus untuk mengacara,” tambahnya.

Akui Farah, selepas itu apabila dia pulang ke Phnom Penh, barulah dia menangis dan ketika itulah timbul pertanyaan dalam benak fikirannya tentang pelajar-pelajar di sekolah tahfiz di Kemboja itu.

“Walaupun serba kekurangan, insya-Allah mereka mendapat tempat di dunia dan akhirat. Tapi diri saya pula macam mana? Kalau boleh, kita pun nak juga mendapat dunia dan akhirat juga.

“Tapi waktu itu saya belum pakai tudung lagi. Saya dalami dahulu ilmu-ilmu agama dan fahami yang mana patut dan tidak patut kita lakukan. Kemudian, saya mula beli tudung sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Farah memberitahu lagi..

“Kebetulan pula, pada suatu malam itu adalah malam Israk Mikraj, saya buat sembahyang sunat. Kemudian saya terus memberitahu ayah tentang niat saya itu dan dia turut gembira dengan perubahan yang ingin saya lakukan.

“Esoknya pula saya ada penggambaran Nasi Lemak Kopi O bersama Farah Adeeba. Dia ada tanya, dan saya kata hari ini baru nak mula (memakai tudung).

“Dia gembira sangat dan terus menghadiahkan beberapa tudung kepada saya. Siap buat pengumuman lagi dalam program itu,” ungkapnya yang kini lebih selesa dengan kerja-kerja pengacaraan.

Menurut Farah sejak dia bertudung, rezekinya semakin bertambah dengan kehadiran tawaran-tawaran iklan serta duta produk. Biasanya, bagi wanita yang telah berubah imej kepada bertudung, perwatakan mereka turut berubah menjadi lebih sopan.

“Bagi saya, jangan sampai ke satu tahap kita jadi hipokrit. Saya masih lagi menjadi diri sendiri. Cuma dari segi pemakaian, saya akan jaga. Tapi, bab ketawa terbahak-bahak, itu masih kekal,” tegasnya sambil meledakkan ketawa. “Sekali sekala perangai ‘gila-gila’ juga ada. Tapi bila umur semakin meningkat, ketawa saya yang besar itu macam dah berkurangan rasanya."

Menurutnya, dia masih mahu bergiat aktif dalam bidang nyanyian, selagi diterima peminat, dia tetap akan setia bergelar penyanyi. “Cuma kini, lagu-lagu saya akan lebih ke arah pengajaran, biarpun masih kekal dengan konsep lagu pop,” tuturnya.

Menurut Blog IbnuHasyim, adalah baik jika seseorang itu tahu apa yang dia tidak tahu, dan berazam untuk ambil tahu dan memperbaikinya. Adalah amat malang apabila seseorang itu tidak tahu apa yang dia tidak tahu, bahkan menganggap kerjabuatnya yang tidak baik itu, adalah kerja yang baik. Minta dijauhkan Allah SWT, kerana hal itu amat merbahaya. (2MA)

5 comments:

wan salmah said...

Alhamdulillah, syukur. Semakin ramai artis kita yang dah berkesedaran dan bertudung.

Saya telah berpeluang berjumpa dan berbual-bual dengan Farah semasa dia masih belum bertudung. walaupun hanya sekejap, Farah memang gadis yang sopan dan baik. Saya tidak hairan apabila melihat beliau bertudung dan mungkin beliau akan lebih baik daripada sesetengah orang/kita yang sudah lama yang bertudung.

Kita sendiri tidak dapat menjangka rahmah dan kasih sayang Allah yang terlalu luas tersebar ke seluruh alam tanpa batas.

Ibnu Hasyim said...

Amin. Alhamdlillah.

Panglima Perang Cyber said...

baguslah ada perubahan.hari tu saya ada puji penghijrahan artis kita.

tu tugas kita juga sebagai blogger.puji bertempat dan kritik dengan terhormat.

jemput ke blog saya.

harap dapat listkan di blog tuan blog saya.

demi ukhwah Islam...

Anonymous said...

Alhamdulillah...muga berterusan pakai tudung..pakai tudung lg cantik gilaaaa...hmmm .

PCL said...

alhamdulillah..suka dgn hijrahnya..mudah2an menjadi tauladan kepada wanita yg masih lg dlm kealpaan...

@mamadiana

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails