Tuesday, August 24, 2010

Husam Menang Saman.. Dan Saman Lagi.

Datuk Husam, saman lagi, jangan bagi can...

KOTA BHARU, 24 Ogos 10: Bekas anggota parlimen (MP) Tanah Merah, Datuk Ir Shaari Hassan hari ini diarah mahkamah membayar ganti rugi kepada anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa ekoran kes saman fitnah.

Penyelesaian kes saman fitnah tersebut dicapai di luar mahkamah dan telah direkod Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Ahmad Zaidi Ibrahim. Kes saman tersebut difail Husam pada 23 Febuari 2008 ekoran Shaari mengeluarkan kenyataan yang dianggap memfitnahnya pada satu ceramah. Pada ceramah yang diadakan di Masjid Padang Lalang, Tanah Merah pada 25 Disember 2007 Shaari menyebut Husam seorang yang hanya bertopengkan PAS.

Selain itu disebut juga anggota Exco terbabit adalah manusia yang terkaya di Kelantan kerana mempunyai wang sebanyak RM30 juta yang mana wang tersebut diberi oleh tauke-tauke balak. Berikutan fitnah tersebut Husam telah memohon defendan memohon maaf dan menuntut sejumlah ganti rugi dibayar terhadapnya.

Husam ketika bercakap kepada pemberita bagaimana pun enggan menjelaskan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar bekas anggota parlimen dari Barisan Nasional (BN) terbabit.

“Cukup sekadar saya katakan jumlah gantinya puas hati bagi pihak saya. Saya berharap kes ini menjadi sebagai satu pengajaran.

“Kita perlu juga menjaga air muka orang lain jangan mengaibkan seseorang di hadapan orang ramai,” katanya di pejabatnya di Kota Darulnaim.

Pada kes tersebut Husam diwakili peguam Hisyam Fauzi, manakala Shaari Azmi Abdullah. Husam juga memberitahu terdapat lapan lagi kes saman yang dikemukanya terhadap beberapa pihak termasuk dua kes terhadap Utusan Malaysia dan dua (The New Strait Times). Menurutnya saman terhadap Utusan Malaysia dibuat ekoran penerbitan berita mendakwa beliau meletak jawatan seperti disiar akhbar terbabit pada 21 November 2009.

Sementara itu dalam kes yang lain, iaitu tuntutan royalti petroleum megeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri dijangka memfailkan saman terhadap Petronas kerana pecah kontrak pada 30 Ogos ini di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur.

“Esok writ tuntutan saman itu akan dibawa kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan.

”Dan sekiranya mendapat kelulusan, saman itu akan difailkan terhadap Petronas pada 30 Ogos ini. Seorang peguam terkenal Thomy Thomas akan memfail bagi pihak kerajaan negeri,” katanya tanpa memberitahu mahkamah mana di Kuala Lumpur.

Menurutnya saman tersebut pada peringkat awal dijangka difail pada 31 Ogos dengan kira semangat kemerdekaan.,Bagaimanapun, kata beliau tarikh tersebut merupakan hari cuti, maka tarikh 30 Ogos lebih sesuai dengan semangat kemerdekaan sekarang.

Kata beliau kes saman terbabit berbeza dengan apa yang dilakukan kerajaan PAS Terengganu pada 2000, memandangkan ada afidavit bertulis daripada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang sanggup menjadi saksi utama.

”Biar pun kes tuntutan royalti dibawa ke mahkamah namun perundingan masih terbuka bagi menyelesaikan isu tersebut.

”Dengan mengambil semangat Ramadan sekarang adalah peluang terbaik bagi pihak terbabit untuk membayar royalti kepada Kelantan,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri.

Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak kepada Petronas dan kerajaan pusat berdasar kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 setelah carigali minyak dilakukan di kawasan perairannya. Ditanya surat Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, katanya Datuk Seri Najib Razak mungkin sibuk untuk menjawab surat penjelasan mengenai royalti petroleum. (Sumber Harakah/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails