Sidang media Tee bagi menjelaskan dan menafikan dakwaan itu dihadiri oleh pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, timbalannya, Tony Pua, exco kanan Selangor, Teresa Kok dan juga Liu. Bagaimanapun keesokan harinya, jawatankuasa disiplin DAP mengumumkan bahawa mereka akan menyiasat dakwaan berkenaan dan diikuti oleh kenyataan Liu bahawa laporan polis akan dibuat ke atas Tee.
Pada hari berikutnya, negara dikejutkan apabila jawatankuasa disiplin parti itu terus memecat Tee atas dakawaan ahli majlis itu mengeluarkan surat sokongan kepada sebuah syarikat di mana anak lelakinya adalah seorang pengarah bagi mendapatkan kontrak.
Perkembangan itu cepat dipolitikan oleh MCA yang membidas DAP dengan dakwaan bahawa pemimpin parti itu mengetahui mengenai apa yang berlaku tetapi cuba menutupnya. Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh pemimpin DAP. Jangan mengarut, “Jangan mengarut jika anda (MCA) tidak tahu apa-apa,” kata Pua ketika dihubungi semalam.
Beliau menjelaskan pada mulanya Tee menafikan semua dakwaan berkenaan kepada jawatankuasa disiplin parti dan atas dasar percaya kepadanya, pemimpin DAP negeri mengambil keputusan menyokongnya pada sidang media 28 Julai lalu itu.
“Namun pengerusi kami (Ean Yong) membuat penjelasan pada hari tersebut bahawa kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak jika menjumpai bukti baru,” katanya.
Menurut Pua, tiga hari kemudian, jawatankuasa negeri menerima tiga salinan surat sokongan yang ditandatangani Tee yang digunakan bagi mendapatkan kontrak untuk syarikat anaknya.
“Kami mengambil keputusan untuk menyerahkan surat itu kepada jawatankuasa disiplin dan mereka mengambil keputusan memecat Tee pada sebelah petang setelah menyiasatnya.”
Beliau menjelaskan parti itu bukannya mengubah keputusan mereka tetapi bertindak serta merta berdasarkan perkembangan terbaru.
Berhubung dakwaan Tee menyalah-gunakan kepala surat dan cop rasmi Liu, Kok berkata perkara itu masih disiasat kerana kedua-dua mereka memberi kenyataan yang bercanggah.
Namun penjelasan kedua-dua Pua dan Kok tidak menghuraikan mengapa Liu tiba-tiba mengubah pendiriannya. Liu pada sidang media bersama Tee tidak membantah kenyataan ahli majlis itu, malah dalam kenyataan bertulis yang dibacakannya mengatakan “saya tiada masalah dengan surat sokongan itu”. (AK)
No comments:
Post a Comment