CANBERRA - Parti Buruh yang baru memerintah Australia sepenggal sejak 2007 lalu, semalam tewas tipis pada pilihan raya umum kebangsaan yang paling sengit dalam sejarah negara itu, namun lawannya, Perikatan Liberal gagal meraih majoriti mudah.
Sehingga pukul 11 malam tadi (waktu Malaysia), Buruh yang dipimpin Perdana Menteri, Julia Gillard sebagai wanita pertama mengetuai kerajaan sejak dua bulan lalu, hanya memenangi 70 kerusi manakala Liberal pimpinan Tony Abbott disahkan menerima 73 kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Australia mengesahkan Liberal berjaya mendahului tiga kerusi di depan Buruh dan jika ia berterusan, Parlimen Australia buat kali pertama dalam masa 70 tahun, akan tergantung tanpa pemenang.
Dewan Rendah Parlimen ada 150 kerusi dan parti bertanding perlu memperoleh sekurang-kurangnya 76 kerusi bagi membentuk majoriti mudah. Buruh pada 2007 memiliki 83 kerusi berbanding Liberal cuma 65 kerusi.
Tinjauan umum menunjukkan Liberal mungkin membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti kecil iaitu Nasional yang menang enam kerusi, Green (1) dan Bebas (4), seperti yang berlaku di Britain jika masih gagal meraih majoriti dua pertiga. - Agensi
No comments:
Post a Comment