Monday, August 23, 2010

Kes Along, Malaysia Masih Tidak Aman Lagi?

MAUT...seorang lelaki mati dipukul oleh along di Selayang semalam

Maut... seorang lelaki mati dipukul oleh along di Selayang semalam

KL 23 OGOS 10: Melihat kekasih hati dibelasah sekumpulan samseng upahan along, seorang kontraktor yang cuba tampil sebagai hero maut selepas dibelasah dengan kayu oleh penjenayah terbabit yang cuba mengutip hutang daripada wanita itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian itu Tan Boon Tat, 51, yang berasal dari Kampung Kayu Ara dikatakan makan bersama kekasihnya yang dikenali dengan nama Armiah dari Filipina.

“Berdasarkan siasatan awal, abang kepada Armiah diburu along berikutan kegagalannya melunaskan hutang sebelum menghilangkan diri.

“Berikutan itu along berusaha mencari adik mangsa yang dianggap bertanggungjawab untuk melangsaikan hutang dibuat abangnya,” katanya.

Susulan itu, kumpulan samseng upahan along berkenaan berjaya menjejaki Armiah sebelum berpura-pura duduk minum di medan selera terbabit.

“Selesai makan, Tan dan teman wanitanya yang dalam perjalanan untuk pulang ditahan samseng berhampiran tangga medan selera terbabit.

“Kumpulan samseng itu bertanya Armiah berhubung hutang yang dibuat oleh abangnya, namun dia enggan bertanggungjawab. Bagaimanapun, suspek mengugut wanita terbabit supaya menjelaskan hutang itu hingga berlaku pertengkaran,” katanya.

Samseng kemudian memukul wanita itu, menyebabkan Tan yang hanya mendiamkan diri terpaksa masuk campur untuk membantu.

Malangnya niat baik mangsa mengundang maut apabila suspek membelasahnya beramai-ramai dengan kayu hingga berlumuran darah.

“Suspek yang mendapati mangsa tersungkur tidak sedarkan diri kemudian bergegas melarikan diri dengan menaiki kereta model BMW dari lokasi kejadian,” katanya.

Susulan kejadian itu polis daerah Sentul segera bergegas ke lokasi kejadian, namun mendapati mangsa tidak lagi bernyawa dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Zakaria berkata, serangan itu menyebabkan mangsa cedera teruk di kepala akibat dihentak dengan kayu bertubi-tubi.

“Setakat ini polis percaya abang mangsa mampu membantu polis bagi menjejaki kumpulan pembunuh berkenaan. Polis kini menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana jenayah membunuh,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, empat anggota geng samun kafe Internet yang sekian lama diburu polis berjaya ditahan, pagi semalam.

Zakaria berkata, kumpulan penjenayah itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya dilakukan oleh anggota polis di Jalan Ipoh, Sentul, kira-kira jam 5 pagi semalam.

Menurutnya, suspek yang menaiki kereta Proton Wira disyaki baru melakukan samun kafe Internet di daerah Dang Wangi dan dalam perjalanan untuk melakukan jenayah sama di sekitar daerah Sentul.

“Hasil siasatan, dua daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah curi dan samun, manakala seorang lagi dikehendaki oleh polis Kuantan berhubung kes gaduh. Semua suspek diserahkan kepada polis daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

“Polis daerah Sentul turut melakukan siasatan terhadap kaitan suspek dengan kejadian rompakan kafe Internet di Kepong jam 2 pagi semalam. Dalam kejadian itu, penjenayah bersenjatakan parang menyamun pekerja kafe Internet terbabit sebelum melarikan diri,” katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Masih ada lagi kes along. Malaysia masih tidak aman lagi?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails