Adalah haram pihak-pihak lain merampas hak rakyat Kelantan, yang perlu diagihkan oleh kerajaan negerinya. Kelantan perlu dimerdekakan dari perampasan dan perompakan hak mereka.
Kenyataan Mahasiswa:
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA
Isu tuntutan royalti menjadi agenda besar seluruh rakyat Kelantan yang inginkan hak mereka untuk mendapatkan wang tersebut. Perjuangan menuntut royalti bukannya bersifat desakan, tetapi ianya bersifat tuntutan hak yang telah dirampas oleh pihak tertentu.
Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama sebanyak 0.2%.
Melihat kepada angka dan statistik tersebut, jumlah penduduk majoriti Kelantan adalah kalangan orang Melayu. Mahasiswa juga melahirkan rasa hairan kenapa kerajaan sekarang yang dikemudi oleh sebuah parti melayu tidak memandang betapa perlunya untuk diberikan royalti kepada rakyat Kelantan yang sememangnya berada dalam ekonomi yang kurang baik.
Jumlah isi rumah miskin tegar di Kelantan ialah 10.6 peratus atau seramai 3,550 orang. Statistik 2008, jumlah penduduk Kelantan adalah 1,453 000. Dengan jmlah 1 billion yang dituntut, maka rakyat Kelantan mendapat manfaat berjumlah RM600 bagi setiap penduduk secara nisbahnya.
Dengan pemberian royalti juga, jumlah kemiskinan tegar sudah pasti dapat dikurangkan. Mahasiswa memandang berat sosio ekonomi rakyat yang sepatutnya sudah tidak timbul masalah kemiskinan tegar dikala negara sudah hampir munuju negara membangun sepenuhnya menerusi wawasan 2020.
Dengan tema rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, pihak kerajaan pusat patut mempertimbangkan hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan “wang mereka” demi kegunaan sara hidup seharian. Kita juga menuntut agar suatu audit yang lengkap tehadap penyaluran royalti sekiranya diberikan kepada kerajaan negeri.
Jika kerajaan negeri gagal menyampaikan royalti tersebut kepada rakyat Kelantan, maka mahasiswa dan rakyat boleh memberikan hukuman yang setimpal pada pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya jika kerajaan pusat berdegil dengan pendirian tersebut, maka amat wajar rakyat untuk mahasiswa dan rakyat Kelantan memberikan pengajaran kepada sepatutnya pada pilihanraya akan datang.
MAARUF CLUB UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
Berpaksikan kepada sebuah negara yang menjadikan teras demokrasi sebagai tunjang kesepakatan bersama, maka adalah wajar untuk Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri memainkan peranan masing-masing berteraskan kepada semangat Perlembagaan.
Pembahagian kuasa ini yang telah sekian lama diadaptasi di dalam sistem demokrasi berparlimen ini mestilah dipatuhi supaya wujud kesepakatan dan toleransi di dalam mengatur urus pentadbiran sesebuah negeri dan negara. Apa yang jelas, semua negeri termasuk Kelantan bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975/76 memperuntukkan bahawa negeri-negeri akan mendapat bayaran tunai sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai di dalam mana-mana negeri berkenaan. Oleh itu, mahasiswa berpendirian tegas bahawa perjanjian yang telah dimeterai antara Petronas dan Kerajaan Kelantan ini mestilah diakui kandungannya dan tidak dicabuli tanpa sebarang justifikasi yang absah lantaran wujud apa yang dilihat sebagai berkepentingan politik.
Mahasiswa menilai bahawa isu royalti Kelantan sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah tanpa perlu melibatkan rujukan kepada proses undang-undang kerana kandungannya amat jelas dan mudah difahami, sebagaimana diperjelas oleh Tengku Razaleigh Hamzah, penggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan individu yang bertanggungjawab memperbadankan Petronas.
Apa yang cukup dikesalkan, ada pula pihak luar yang terlebih sudu daripada kuah kerana memandai-mandai mentafsir peruntukan perjanjian tersebut seolah-olah penggubal draf tersebut salah dalam memahami kandungan yang ditandatangani.
Di bawah Akta Pembangunan Petroleum, 1974 (PDA), setiap daripada 13 Negeri di Malaysia telah menandatangani Perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap Negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan 5% daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.
Kerumitan ini tidak wujud sewaktu Pertonas ditubuhkan pada 1974 dan hanya berbangkit selepas 1999. Contohnya, selama 22 tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 1978 hingga Mac 2000, Petronas membuat bayaran tunai kepada Terengganu dua kali setahun di bawah PDA, Perjanjian dan Geran Penyerah Hak, meskipun minyak dihasilkan ratusan batu di luar pantai Terengganu.
Hanya ketika pembangkang membentuk Kerajaan Negeri Terengganu selepas Pilihan Raya Umum pada November 1999, Petronas berhenti membuat bayaran tunai kepada Terengganu, walaupun dalam masa yang sama Petronas masih lagi mengeluarkan minyak di luar pantai Terengganu tanpa membayar bayaran seperti sepatutnya dan diamalkan sebelumnya.
Amat menyesali hakikat ini, mahasiswa menggesa pihak Kerajaan mematuhi perjanjian asal yang telah dimeterai secara persetujuan bersama ini kerana permainan tarik tali sebegini pada akhirnya hanya akan merugikan rakyat terbanyak yang bakal mendapat faedah secara langsung.
Mahasiswa juga berpendirian bahawa pemberian wang ihsan kepada agen Kerajaan Pusat untuk disalurkan kepada Negeri Kelantan adalah ralat dan menyalahi semangat demokrasi kerana rakyat Kelantan telah membuat pillihan Kerajaan secara sah melalui sistem demokrasi untuk mengurus atur dan mengawal selia segala perkara berkaitan kepentingan mereka.
Oleh itu, jika Kerajaan masih berdegil untuk mematuhi perjanjian ini, mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk mengajak dan memobilisasi seluruh anak muda bagi menolak corak pentadbiran sebegini yang jelas tidak bersifat mesra demokrasi dan menyalahi peruntukan perundangan.
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Mahasiswa Universiti Putra Malaysia khususnya PMIUPM juga turut menyokong dasar dan hak-hak tuntutun negeri Kelantan bagi isu royalti minyak ini. Kami memandang serius hal ini dari aspek keadilan kepada rakyat dan juga integriti sebuah kerajaan sebagai “Federal Government” yang bertanggung jawab terhadap negeri-negeri di bawah naungannya.
Konsep keadilan dan ketelusan pemerintahan sebuah kerajaan menjadi dasar utama memastikan nasib rakyat terbela dan juga menjamin masa depan negara yang maju. Inilah asas perjuangan mahasiswa yang mana menjadi semak dan imbang kepada pemerintah negara.
Dalam isu tuntutan royalti, mahasiswa memandang bahawa kerajaan sepatutnya menolak ketepi agenda politik parti dan memfokuskan pada isu kebajikan rakyat terlebih dahulu. Jika tidak, amanah sebagai pemerintah negara sudah semestinya diabaikan kerajaan pusat.
Timbul juga beberapa keraguan pada kami yang mana jika benar apa yang dikatakan oleh kerajaan pusat iaitu royalti bukan milik kerajaan negeri Kelantan, tentunya tidak ada kenyataan dari Ku Li iaitu MT UMNO sendiri yang juga orang penting dalam menggubal dasar Petronas dahulu dan juga Tuan Haji Hassan Ahmad, bekas bendahari Petronas yang terang-terang menyokong tuntutan royalti untuk kerajaan Kelantan.
Selain itu, jika kerajaan pusat juga benar ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan dan juga kerajaan negeri, kenapa duit yang dikatakan sebagai ‘wang ehsan’ itu tidak terus diberikan kepada kerajaan negeri tetapi ianya hanya disalurkan kepada JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan). Sudah tentu kerajaan negeri tidak dapat menggunakan dana ini untuk tujuan pembangunan yang dirancang diperingkat negeri.
Oleh itu,sekali lagi kami selaku mahasiswa menegaskan kepada kerajaan, samada pusat atau negeri, bahawa keadilan dalam pemerintahan perlu menjadi satu amanah yang besar dan dijaga dengan betul. Sebagai pemimpin negara, perlu menunjukkan contoh integriti yang tinggi dan baik kepada semua lapisan masyarakat samada pekerja sektor awam dan swasta, mahasiswa sebagai pelapis pimpinan negara serta masyarakat am khususnya.
Inilah menjadi kayu ukur sejauh mana mampunya kerajaan pemerintah sekarang mampu mentadbir negara dengan baik.
TUNTUTAN BERSAMA
1. Berikan hak royalti yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan tanpa ada sebarang diskriminasi2. Jangan tipu rakyat yang sudah maklum tentang fakta dan isu royalti yang berlaku
3. Besikap adil kepada rakyat Kelantan tanpa mengira batasan politik kerana kita rumpun 1Malaysia
4. Mahasiswa akan membawa isu ini ke kampus sekiranya ia tidak diselesaikan secara berhemat
Justeru kami mewakili mahasiswa dan juga rakyat Kelantan menyatakan secara tegas pendirian kami bahawa isu royalti bukanlah agenda politik kepartian, kerana ia adalah hak yang perlu dituntut. Turut sama dinyatakan dalam sidang media ini beberapa tuntutan penting dari pihak kami agar diberi perhatian sewajarnya.
Sekian, terima kasih.
Ahmad Syazwan bin Muhammad HasanPresiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
Pasir Puteh Kelantan
Muhammad Zaki Bin Sukery
Presiden
Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM )
Kota Bharu Kelantan
Abdul Razak bin Omar
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia ( PMIUPM )
Kota Bharu Kelantan
Mohd Khairul bin Abdullah Halim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia ( PMIUTM )
Kota Bharu Kelantan
Wan Baihaqi bin Wan Abd Rahman
Presiden
Persatuan Pelajar Islam Universiti Tenaga Nasianal ( PPI UNITEN )
Tumpat Kelantan
Sokongan bersama:
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)Ikatan Study Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISI UKM)
Persatuan Mahasiswa Kelantan Darul Naim Universiti Kebangsaan Malaysia (PERDANA)
Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PERDANA)
Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM)
Dari Blog Ibnu Hasyim
No comments:
Post a Comment