Tuesday, August 31, 2010

Tok Guru Nik Aziz Jumpa Lailatul Qadar?

CATATAN SANTAI
Gambar, kembalikan ingatanku ke kampung halamanku semasa kecil-kecil dulu.

"ADA orang kata Tok Guru Nik Aziz dah jumpa Lailatulqadar, apa pendapat kamu?" seseorang bertanya saya, lepas solat terawih kelmarin.

Termenung juga saya, bagaimana nak menjawabnya?

Sambungnya lagi, "Kerana ada kitab menyebutkan, tanda-tanda kahadiran malam itu ialah, apabila terlihat nur terang benderang menyelinap di semua tempat dan cerok yang gelap gelita. Ada juga yang mengatakan terdengar ucapan salam dan kata-kata dari malaikat. Ada juga yang melihat pohon-pohon kayu dan segalanya tunduk sujud, rebah menyembah Allah SWT. Air sungai pun berhenti mengalir.. segalanya ganjil-ganjil. Di situlah permohonan doa sesiapa yang bertuah menemuinya akan dimakbulkan Allah." Jelasnya bersungguh-sungguh.

Saya harap
kawan saya itu mambaca huraian ini. Mari kita renung beberapa tafsir tentang Lailatul Qadar, seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Qadr. Terdapat beza pendapat tentang status surah ini. Samada Makkiyyah (diturunkan di Makkah) atau Madniyyah (diturunkan di Madinah).

Ada pendapat menyatakan ia adalah surah pertama diturunkan di Madinah. 'Kitab Al-Itqan' memilih pendapat yang menyatakan ia adalah makkiyyah. Maksud diturunkan adalah untuk menzahirkan Al-Quran dari alam ghaib kepada dunia syahadah.
Surah Al-Qadr menegaskan bahawa Al-Quran telah diturunkan dari Luh Mahfuz atau dari langit yang tertinggi (Jami al-Bayan, J. 15, hlm. 258) ke langit dunia iaitu Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar (Ruh al-Maani, J. 10, hlm. 198).

Ini ditegaskan lagi dengan sebuah hadis daripada Ibn Abbas yang menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan semua sekali malam Lailatul Qadar, pada bulan Ramadhan ke langit dunia (Jami al-Bayan, J. 15, hlm. 258).

Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud.

Pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti 'qadr' itu ialah 'kemuliaan'.

Kedua, bermaksud 'penentuan' kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuh oleh Rasulullah SAW dalam memberi pertunjuk kepada umat manusia.

Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad SAW. Itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan Nabi didalam gua Hira. Pada malam itu manusia diberi kemuliaan, dikeluarkan dari zulumat atau kegelapan kepada nur atau cahaya petunjuk Allah.

Jika diberi erti penentuan, bermaksud malam itu dimulai menentukan garis pemisah diantara kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam, syirik dengan tauhid. Penjelasan tersebut menunjukkan bahawa malam itu adalah malam yang istimewa berbanding dari segala malam (Hamka, J. 10, hlm. 8068). Malam yang membawa lembaran baru, turun wahyu ke dunia setelah terputus sekian lama.

Terdapat beberapa pendapat tentang peristiwa Lailatul Qadar, samada ia berlaku sekali atau datang pada setiap Ramadhan.

Menurut Ibn Umar, Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan (Jami al-Bayan, hlm. 209). Pendapat lain dari setengah ulama menyatakan, Lailatul Qadar berlaku sekali sahaja iaitu ketika Al-Quran mulai diturunkan pertama kali.

Mengenai Lailatul Qadar yang kita peringati dan berusaha memperbanyakkan amal ibadat pada malam-malam di bulan Ramadhan itu, adalah untuk memperteguh ingatan kita kepada peristiwa turunnya al-Quran. Kita hidupkan malam itu dengan mengambil berkat dan memperbanyakkan syukur kepada Allah SWT. Berdiri mengerjakan terawih dan qiamullail di bulan Ramadhan adalah bertepatan dengan malam turunnya Al-Quran (Hamka, hlm. 8071).

Menurut Syeikh Yusuf Amrullah, bapa Hamka, berpegang dengan pendapat Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa Lailatul Qadar yang sebenar hanya sekali iaitu malam mula-mula Al-Quran diturunkan. Yang kita buat amal ibadat didalam bulan puasa adalah mengingati Lailatul Qadar itu. Iaitu, memperingati dan memuliakan malam Al-Quran diturunkan. Kita ingati setiap tahun agar kita bertambah teguh memegang segala yang diturunkan Allah didalam al-Quran.

Hari kebesaran dalam Islam banyak yang diperingati dan menjadi amal ibadat seperti berpuasa pada 10 Muharam atau Asyura kerana mengenangkan beberapa kejadian pada Nabi-nabi yang terdahulu pada tarikh tersebut. Begitu juga dalam manasik haji telah dikaitkan dengan kejadian zaman lampau. Seperti Sa'i antara Bukit Safa dan Marwah, mengenangkan betapa sukarnya Hajar mencari air untuk anaknya Ismail, di lembah yang tidak ada tumbuh-tumbuhan. Kita juga disunatkan melontar Jamrah bagi memperingati perdayaan syaitan kepada nabi Ibrahim kerana akan menyembelih puteranya Ismail atas perintah Allah.

Apabila dikaitkan dengan menghidupkan malam Lailatul Qadar dapatlah diambil kesimpulan bahawa semua ibadat tersebut mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk membesarkan syiar Allah dan menambah taqwa dalam diri. Terdapat berbagai cerita mengenai tanda malam Lailatul Qadar, seperti yang disebutkan (kata kawan saya) di atas, dapat lihat kejadian yang ganjil-ganjil... Yang menurut Hamka 'semuanya ini adalah perkara yang tidak dapat dipertanggung jawabkan menurut ilmu agama yang sebenarnya'.

Terdapat beberapa hadis menceritakan tentang berlakunya Lailatul Qadar dan ia tetap berlaku atau berulang pada setiap bulan Ramadhan. Cuma tidak dapat dipastikan secara tepat malam keberapa ianya berlaku.

Kitab 'Fath al-Basri' menurunkan tidak kurang dari 45 qaul tentang malam terjadinya Lailatul Qadar, dinukilkan oleh As-Syaukani di dalam `Nailul-Authar'nya. Maka dianjurlah supaya setiap malam bulan Ramdhan diisi penuh dengan ibadat. Bagaimanapun terdapat juga riwayat kuat menyatakan, Lailatul Qadar itu ialah pada 10 malam akhir Ramadhan. Ertinya sejak malam 21, Nabi SAW lebih memperkuat ibadat dari malam-malam sebelumnya sampai beliau bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.

Abdullah bin Mas`ud dan Asy-Sya`bi dan Al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahawa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah kerana ada hadis yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.

Satu riwayat lagi menyatakan jatuhnya ialah pada 17 Ramadhan. Yang berpegang pada 17 Ramadhan ini mengambil istimbath dari ayat 41 surah an-Anfal bermaksud; "dan apa yang Kami turunkan kepada Hamba Kami pada Pemisahan hari bertemu dua golongan.."

'Hari bertemu dua golongan' ialah dalam peperangan Badar, pada 17 Ramadhan sedang `hari pemisahan' ialah hari turunnya al-Quran pertama, yang disebut juga 'malam yang diberi berkat' sebagaimana tersebut didalam surah 44 ad-Dukhan.

Maka oleh kerana berhadapan dua golongan di Perang Badar itu, golongan Islam dan golongan Musyrikin terjadi pada 17 Ramadhan, mereka menguatkan bahawa Lailatul Qadar mulai turunnya Al-Quran di gua Hira ialah 17 Ramadhan pula, meskipun jarak waktunya adalah 15 tahun.

Banyak hadis-hadis yang menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan (Ruh al-Maani, hlm. 191), dan ada pendapat hadis yang menetapkan pada malam 27.

Ada diceritakan terdapat dikalangan sahabat Rasulullah merasa hairan dengan cerita seorang lelaki dari bani Israel beribadat sepanjang malam kemudian berjihad menentang musuh diwaktu siang dan melakukannya selama 1,000 bulan. Dalam cerita lain menyatakan seramai 4 orang dari bani Israel beribadat kepada Tuhan selama 80 tahun dan mereka tidak melakukan maksiat atau keingkaran.

Datang Jibrail kepada nabi bertanyakan samada umatnya hairan dengan ibadat mereka itu. Allah telah turunkan yang lebih baik dari itu, lalu dibaca surah Al-Qadr. Dinyatakan juga bahawa pemerintahan nabi Sulaiman dan Zulqarnain selama 500 bulan. Maka Tuhan jadikan amalan pada malam Lailatul Qadar (bagi mereka yang mendapatnya) lebih dari tempoh kedua pemerintahan tersebut dan lebih baik dari seribu malam amalan lelaki bani Israel itu.

Wah, lumayan sungguh!

Dalam tafsir 'Ruh al-Maani' ada dinyatakan setengah ulama Al-Shafie berpendapat ada beberapa malam istimewa. Iaitu malam paling afdal ialah malam kelahiran nabi Muhammad SAW. Diikuti malam Lailatul Qadar, malam Israk dan Mkraj, malam Arafah, malam Jumaat, malam Nisfu Syaaban dan kemudiannya malam raya (hlm. 194).

Mengikut Anas dari nabi menyatakan, bahawa Allah SWT telah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) Lailatul Qadar dan tidak diberikan kepada umat sebelumnya. Keistimewaan lain berlaku pada malam Lailatul Qadar dinyatakan dalam ayat 4 yang menjelaskan bahawa malaikat dan roh turun pada malam itu dengan keizinan Tuhan. Yang dimaksudkan dengan `roh' ialah malaikat Jibrail dan ini pendapat jumhur ulama.

Ia disebut secara khusus kerana kemuliannya. Ada pendapat lain menyatakan nabi Isa AS turun untuk melihat umat dan menziarahi nabi Muhammad SAW. Ada juga pendapat mengatakan roh-roh orang mukmin turun untuk menziarahi keluarga-keluarga mereka. Ada pendapat satu lagi mentafsirkan kepada 'Rahmat' dari Allah.

Malaikat turun dari martabat mereka yang tinggi, sibuk dengan urusan Allah SWT untuk mengucap `salam' kepada orang mukmin. Oleh kerana mereka ramai, antara mereka turun secara kumpulan, ada turun dan ada yang naik semula. Oleh kerana kejadian mereka dari nur atau cahaya, maka tidakl timbul masalah kesesakan lalulintas. Malaikat yang ramai itu pergi mengunjungi tempat kdiaman orang mukmin, kecuali rumah yang terdapat didalamnya anjing, khinzir, arak dan patung.

Mereka megucup tasbih dan memohon keampunan bagi umat Muhammad SAW sehinggalah sampai waktu fajar barulah mereka naik semula ke langit. Melihat hal ini, mereka bertasbih memuji Allah SWT justeru bersyukur kepada Allah yang telah melimpahkan keampunan kepada umat Muhammad SAW. Pada malam tersebut Allah SWT telah melipatkan rahmatnya kepada seluruh orang mukmin masih hidup dan juga kepada yang telah mati.

Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya.

Jika kita mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, barangsiapa menunaikan solat maghrib dan isyak berjamaah sepanjang bulan Ramadhan, sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar. Bermaksud bukanlah suatu yang amat sukar untuk mendapatkan sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan mana-mana malam di bulan Ramadhan kecuali dengan melakukan ibadat dan paling minimum sembahyang berjamaah pada waktu maghrib dan isyak!

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan.

Dan sesiapa saja boleh menjumpainya, tidak semestinya Tok Guru Nik Abdul Aziz atau orang-orang seperti beliau, macam yang ditanyakan kawan saya di atas tadi.

Wallahu 'aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL 30 Ogos 2010.

4 comments:

  1. Sambungnya lagi, "Kerana ada kitab menyebutkan, tanda-tanda kahadiran malam itu ialah, apabila terlihat nur terang benderang menyelinap di semua tempat dan cerok yang gelap gelita. Ada juga yang mengatakan terdengar ucapan salam dan kata-kata dari malaikat. Ada juga yang melihat pohon-pohon kayu dan segalanya tunduk sujud, rebah menyembah Allah SWT. Air sungai pun berhenti mengalir.. segalanya ganjil-ganjil. Di situlah permohonan doa sesiapa yang bertuah menemuinya akan dimakbulkan Allah." Jelasnya bersungguh-sungguh.

    ReplyDelete
  2. Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan.

    ReplyDelete
  3. Mereka megucup tasbih dan memohon keampunan bagi umat Muhammad SAW sehinggalah sampai waktu fajar barulah mereka naik semula ke langit. Melihat hal ini, mereka bertasbih memuji Allah SWT justeru bersyukur kepada Allah yang telah melimpahkan keampunan kepada umat Muhammad SAW. Pada malam tersebut Allah SWT telah melipatkan rahmatnya kepada seluruh orang mukmin masih hidup dan juga kepada yang telah mati.

    ReplyDelete
  4. terima kasih infonya
    tentang keutamaan malam yang penuh hikmah ini
    sangat bermanfaat

    ReplyDelete