KOTA BARU, 27 SEPT 10: Filem Animasi Jepun adalah antara cakera video digital (DVD) yang dikesan paling bahaya untuk ditonton oleh kanak-kanak di negara ini kerana mempunyai unsur negatif yang boleh merosakkan minda.
Pengerusi Lembaga Penapis Filem, (LPF) Datuk Mohd Hussain Shafie berkata ramai masyarakat di negara ini tidak mengetahui mengenai bahaya sesetengah cerita filem animasi kerana kurang peka terhadap kandungan DVD dan beranggapan ia hanya sebuah cerita rekaan seperti kartun yang sesuai untuk kanak-kanak.
"Banyak cerita animasi dari Jepun telah kita haramkan kerana walaupun ia merupakan cerita animasi yang dikatakan sesuai untuk golongan kanak-kanak tetapi ia tetap lebih kepada golongan dewasa.
"Ada antara kandungan cerita itu memaparkan animasi wanita dengan pakaian singkat, membuka dada dan beberapa adegan yang tidak elok untuk ditontoni oleh golongan kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Bersama Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem Dan Penguatkuasaan Cawangan Kelantan di sini hari ini.
Dialog berkenaan merupakan kali pertama diadakan LPF di negeri ini yang turut dihadiri wakil dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan dan menghimpunkan beberapa penerbit, pengedar dan penjual VCD dan DVD di negeri ini.
Tanpa menyebut jumlah animasi yang telah diharamkan katanya lebih membimbangkan apabila kebanyakan filem animasi yang dibawa masuk ke negara ini mempunyai beberapa siri atau episod yang panjang.
Ini menyebabkan pihaknya terpaksa membuat penelitian yang lebih bagi memastikan tiada kandungan yang tidak sesuai dalam setiap episod yang dikeluarkan, kata Mohd Hussain.
"Masalahnya, cerita animasi dari Jepun ini panjang sirinya, berpuluh-puluh episod, kadang-kadang dalam satu atau dua episod kandungannya yang kita tengok semuanya okey, tetapi masuk episod keenam baru ada adegan buka-membuka (baju), ini yang bahaya," katanya.
Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap penghasilan animasi sebegitu beliau berkata pihaknya terpaksa mengambil tindakan mengharamkan animasi yang terlalu berisiko untuk ditontoni kanak-kanak dan didapati tidak dapat disunting.
"Kalau ada benda yang tak boleh dipotong maka kita akan haramkan kesemua siri atau episod berkenaan dari disiarkan," katanya.
Mohd Hussain bagaimanapun berkata, sikap segelintir ibu bapa atau penjaga yang terlalu mengambil mudah dan menggantikan kesibukan masa mereka untuk anak-anak dengan membelikannya pemain VCD dan cerita-cerita animasi untuk tontonan, menyebabkan ramai kanak-kanak yang masih terdedah menonton animasi yang boleh merosakkan minda.
"Apa yang terbaik adalah ibu bapa atau penjaga itu sendiri mengawal dan menjaga apa yang ditontoni anak-anak mereka, kalau beli animasi lihatlah dulu kandungan animasi itu sebelum berhasrat untuk membenarkan anak-anak menontonnya," katanya.
Selain itu Mohd Hussain menegaskan tapisan yang dibuat LPF bagi sebarang filem di negara ini bukan kerana mahu menyekat hak masyarakat untuk menonton filem-filem berkenaan tetapi ia lebih kepada menjaga kepentingan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama, golongan dan usia di negara ini.
Menyifatkan tapisan filem yang dibuat pihaknya seumpama undang-undang jalan raya yang perlu dipatuhi oleh semua pihak, beliau berkata ia dibuat untuk keselamatan dan kesan jangka panjang terhadap perkara baik dan buruk yang akan membentuk masyarakat daripada apa yang ditontoni. - BERNAMA
Ada kaitan...
2 comments:
ape sgt la animasi tu.... lain la kalo hentai~~~ memang sah2 menghairahkan~~~
LOL RIP ANIME IN MALAY xD
Post a Comment