Wednesday, September 15, 2010

Bunuh Jiran Untuk Bayar Hutang.


DI rumah flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson inilah tempat Norliza dan anaknya mati dibunuh pada 3 September lalu.


SEREMBAN - Polis merungkai kes pembunuhan seorang ustazah dan anaknya di rumah mereka di Port Dickson pada 2 September lalu yang dipercayai dilakukan oleh jiran mereka.

Jirannya itu, seorang lelaki berumur 34 tahun, dikatakan membunuh dan menyamun Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, bagi mendapatkan wang untuk melangsaikan hutangnya.

Suspek yang telah 12 hari direman sejak 6 September lalu dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.

"Jiran mangsa dipercayai menghadapi masalah kewangan selepas tidak mendapat kontrak pemasangan paip gas sejak beberapa lama.

"Hasil samun terhadap mangsa kesemuanya berjumlah RM2,800. Suspek telah menggunakan untuk membuat bayaran hutang tertunggak seperti pembayaran rumah, kereta dan sebagainya," kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu menziarahi 2 beranak yang dibunuh itu dan memberi sumbangan peribadi kepada keluarga tersebut di kampung asal Tumpat Kelantan pada 5 Sept lalu, melahirkan rasa dukacita di atas peristiwa yang menimpa keluarga mangsa Allahyarhamuha Norliza Ishak dan anaknya Amyrul Aiman Mohd Yusof, 11 yang mati dibunuh Khamis sebelum itu.

Menurutnya, sepatutnya bulan Ramadan bulan mulia yang juga bulan kebesaran bagi umat Islam tidak seharusnya peristiwa berkenaan berlaku.

"Namun kerana membelakangkan ajaran Islam, mereka sanggup melakukan perkara itu walaupun dengan membunuh,"ujarnya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, Kelantan.

Lihat sebelum ini.

1 comment:

Anonymous said...

Dalam dunia kapitalis wang menjadi tuhan mereka.
Kekayaan mesti dicapai dengan apa cara sekalipun. Kedua-dua kes ini membuktikan dunia kapitalis hanya mengejar material dan melupakan kemanusiaan. Kehaiwanan dalam belantara kapitalis tidak kenal apa itu ehsan. Kerana manusia telah bertukar menjadi haiwan yang hanya mahu mengisi nafsu material yang melampaui perut. Haiwan hanya mengisi perut mereka sementara mereka lapar dan akan berhenti apabila kenyang. Manusia dalam dunia kapitalis akan makan dan terus makan sehingga mereka sakit. Dan nafsu material ini melampaui segala macam hiasan dan mahu terus berjalan dengan bongkak di atas muka bumi ini.
Kebanggaan dirilah menjadi kepala segala nafsu yang menukar manusia dari sifat ehsan kepada binatang buas yang tidak boleh berhenti dari menjadi hamba nafsu material walaupun perut sudah kenyang.
Manusia menjadi sejenis haiwan yang tidak boleh tidur bukan kerana perut lapar tetapi kerana merasa kurang dengan material duniawi di sekelilingnya.
Mungkin manusia kerap lupa yang perlu dibawa ke dalam liang lahad hanyalah sehelai kain putih buat menanti mayat mereput dimakan ulat dan cacing tanah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails