Wednesday, September 22, 2010

Isu Sosilawati: Lagi Kontraktor & Rakan Hilang



KL 22SEPT 19: Dua lagi individu, Shafik Abdullah, 37, dan sahabat baiknya semalam disahkan hilang selepas menemui suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, April lalu.

Shafik seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah bersama rakannya itu dilaporkan hilang oleh keluarga mereka lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam berkenaan di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan.

Sumber memberitahu Berita Harian, buat masa ini, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kaitannya dengan suspek utama kes Sosilawati.

Kehilangan mereka sudah dirujuk kepada Ibu pejabat Polis Daerah (Brickfields) untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, melihat kepada modus operandinya, besar kemungkinan kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama, katanya.

Sumber berkata, modus operandi kehilangan dua sahabat itu hampir sama dengan kes membabitkan jutawan kosmetik berkenaan sebelum dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38 di sebuah ladang persendirian milik suspek di Morib, Banting.

Kedua-dua mangsa memberitahu keluarga masing-masing hendak ke ibu negara bertemu seseorang (peguam), dipercayai suspek utama kes Sosilawati atas urusan perniagaan sebelum hilang. Malah, telefon bimbit juga gagal dihubungi, menyebabkan keluarga masing-masing diselubungi kebimbangan, lebih-lebih lagi selepas kes Sosilawati terbongkar.

Polis menemui kereta jenis Honda Stream milik Shafik di sebuah kondominium di ibu negara Mei lalu selepas keluarga mereka membuat laporan polis. Polis ketika itu menyiasatnya sebagai kes orang hilang sehinggalah pembunuhan kejam Sosilawati terbongkar kerana kedua-dua mangsa dipercayai menemui peguam yang sama, katanya. Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit bukan saja sahabat baik, malah dipercayai rakan kongsi dalam perniagaan batu permata.

Sementara itu, isteri Shafik, Samson Nahar Mohd Dali berkata, dia dimaklumkan polis, 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa penjenayah kejam itu dan kini hanya menunggu pengesahan. Katanya, berita itu dimaklumkan polis ketika berada di Banting, Selangor pada hari raya ketiga, 12 September lalu untuk membantu siasatan.

"Saya sedih bila mendapat tahu keadaan itu namun saya masih berharap agar peluang yang tipis itu akan bertukar menjadi satu keajaiban dan saya dapat bertemu kembali dengan suami," katanya.

Selain Shafik dan rakannya itu, Berita Harian sebelum ini turut melaporkan kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India sejurus tiba di Malaysia untuk meninjau peluang perniagaan, 18 Januari lalu selepas diyakini oleh suspek dan adik lelakinya, juga seorang peguam untuk berbuat demikian.

Sumber berkata, nasib semua individu terbabit masih belum dapat dipastikan, malah usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat diperoleh daripada kedua-dua suspek utama itu, selain enam lagi pekerja ladang persendirian milik mereka yang turut ditahan bagi membantu siasatan.

Usaha juga sedang dijalankan bagi mengenalpasti kes-kes lain seumpamanya yang mempunyai kaitan dengan mereka, katanya. (Sumber Berita Harian)

------------------------------------------------------------

Sila lawati E-Perpustakaan IH:
Dapatkan 8 e-buku IH percuma!
Klik di sini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails